Perkongsian dari blog Tuan Haji Ahmad Azam Pengajaran Ketiga: - TopicsExpress



          

Perkongsian dari blog Tuan Haji Ahmad Azam Pengajaran Ketiga: Hijrah sebagai strategi perjuangan jangka panjang. Perintah Hijrah dari Mekah ke Madinah oleh Allah ta’ala kepada Rasulullah s.a.w. bukanlah suatu langkah lari dari perjuangan, tetapi ianya adalah langkah strategik perjuangan jangka panjang. Seringkali para pejuang Islam terpaksa membuat keputusan strategik jangka panjang bila berhadapan dengan suasana ruang dakwah semakin sempit di negara sendiri. Begitulah dilema yang perlu dihadapi oleh Youssef Nada. Apabila beliau dibebaskan dari penjara dan merana selama 2 tahun di dalamnya, beliau menyambung pelajarannya yang tergendala di Alexandria University di bidang pertanian. Setelah tamat pengajian, beliau telah membantu menguruskan syarikat tenusu milik ayahnya yang ketika itu memasarkan satu pertiga dari pasaran susu segar di Iskandariah. Ketika itu beliau telahpun berumur 28 tahun. Namun demikian, sebagai seorang bekas banduan dan masih merupakan ahli Ikhwan Muslimin, kehidupannya sentiasa di dalam pengawasan polis dan bila-bila masa boleh ditangkap semula. Walaupun bebas dari penjara, tetapi kehidupannya sentiasa tertekan kerana sentiasa diawasi. Justeru itu, beliau mengambil keputusan untuk berhijrah dari Mesir dengan tujuan untuk membantu Ikhwan Muslimin dari luar. Memandangkan kepakaran beliau adalah dalam bidang bisnes, beliau bertekad membantu kegiatan dakwah Ikhwan hasil dari keuntungan perniagaannya. Berbekalkan nawaitu yang suci, beliau telah berhijrah ke Vienna, Austria pada tahun 1960. Sejak itu, beliau tidak lagi memandang ke belakang, malah terus memajukan perniagaannya sebagai International Trader yang disegani oleh banyak pihak. Pada tahun 1968, ketika berumur 38 tahun dan masih bujang, beliau telah bergelar sebagai The King of Cement in the Mediterranean – Raja Simen Mediterranean dengan memiliki 38 buah kapal dagang dan memiliki US$45 juta nilaian besi keluli untuk bahan binaan di negara persekitaran Mediterranean. Strategi berhijrah dari Mesir bagi mengelakkan diri dari terus dianiaya oleh pemerintah Mesir turut diikuti oleh ramai lagi pemimpin Ikhwan Muslimin yang bertebaran ke negara Arab lain dan diseluruh Eropah dan juga Amerika Syarikat. Antaranya termasuklah Sheikh Yusuf Qaradawi yang berhijrah ke Qatar, Said Ramadan (ayah Tariq Ramadan, tokoh pemikir Islam mutakhir) ke Switzerland, Kamal Helbawi ke United Kingdom, Mahmoud Abu Saud (tokoh Ekonomi Islam) dan menantunya, Dr.Ahmed el-Kadi ke Amerika Syarikat. Kesan semerta dari strategi hijrah ini ialah berkembangnya manhaj harakah Islamiyyah model Ikhwan Muslimin ke seluruh dunia.
Posted on: Wed, 17 Jul 2013 01:04:28 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015