Perkongsian dari mutiara hikmah yang dipinjamkan daripada - TopicsExpress



          

Perkongsian dari mutiara hikmah yang dipinjamkan daripada kata-kata Ustaz Pahrol. Moga ada manfaatnya insyaAllah. Gunakanlah prinsip “Ujian hidup ialah satu didikan langsung daripada Tuhan”, insyaAllah kita akan dapat kekuatan dan ketenangan dalam menghadapi hidup ini. Percayalah, Allah mendidik kita melalui kesusahan, kesenangan, pujian mahupun cercaan. Apabila bertemu kesusahan, Allah mendidik kita erti sabar. Apabila kesenangan bertamu, Allah mengajar kita erti kesyukuran. Apabila si miskin datang, itu peluang untuk mengamalkan sifat pemurah. Tetapi apabila si kaya menjengah, jangan pula terjejas sifat Qanaah. Ingat, Tuhan mendidik kita pada setiap masa, peristiwa dan manusia. Hakikatnya, hidup adalah sebuah sekolah yang mana orang, situasi dan kondisi yang menjadi punca ujian itulah sebenarnya guru kita. Sentiasa ada maksud tersirat yang perlu kita pelajari daripada semua itu. Hadapilah ujian hidup dengan mencari maksud disebalik takdir-takdir Allah itu. Dengarlah suara tarbiah dan dakwah yang berbisik setiap kali kita diuji. Ingatlah kebaikan dan keburukan hanya ada pada penilaian insan, tetapi disisi Allah, apa yang ditakdirkanNya pasti suatu kebaikan. Maka carilah kebaikan itu dengan mata hati nescaya kita mampu melihat hikmah yang tersembunyi. Jangan mengeluh dan memberontak, asyik mempersoalkan mengapa dan kenapa, justeru kita tidak akan dapat mengubah reality. Bukankah takdir akan sentiasa mengatasi tadbir? Seharusnya kita tunduk dan akur pada takdir dengan mengatur sebaik-baik tadbir. Terimalah sesuatu ujian itu dengan pasrah, tetapi jangan sesekali kita mengalah. Hati tunduk akur bertemankan sabar namun akal ligat berputar mencari jalan keluar! Kerana itu jadilah kita seorang hamba yang menjadikan aqidah sebagai akar jati diri, syariat sebagai kompas hidup dan akhlak sebagai senjata diri. Carilah kebaikan, milikilah kebaikan dan warisilah kebaikan. Ingatlah kebaikan itu bukan hanya pada yang harum dan indah, tetapi juga ada pada yang busuk dan hodoh. Bukankah najis itu boleh ditukar menjadi baja dan penawar bias ular itu datangnya daripada racunnya jua. Akhir kalam, tidak cukup kita hanya menjadi baik tetapi berilah kebaikan. Jika kita menghulur kebaikan, kebaikan itu akan pulang semula pada kita. Walaupun mugkin kebaikan kita tidak akan mengubah orang lain yang tetap bersikap negative terhadap kita, namun kebaikan itu sebenarnya telah pun menggembirakan dan menenangkan diri kita sendiri. Hapuskanlah dendam, iri hati dan marah yang bersarang dalam jiwa. Kemaafan pasti akan membuahkan kebaikan. Kebencian akan membuahkan kejahatan. Belajarlah menyayangi sesiapa jua, nescaya kita akan menjadi semakin jahil tentang kebencian dan permusuhan. Pasti ada maksud Tuhan menjadikan manusia wujud secara bersama di atas dunia ini. Seolah-olah Tuhan telah berpesan, belajarlah sesame insan nescaya kita akan terasa didikanNya…
Posted on: Sun, 02 Feb 2014 06:22:02 +0000

Trending Topics




© 2015