Petikan SELENDANG SUKMA: Sejak bertemu Ilham jiwa Dewi sentiasa - TopicsExpress



          

Petikan SELENDANG SUKMA: Sejak bertemu Ilham jiwa Dewi sentiasa resah. Anak kelahiran Singapura itu telah menyebabkan dia tidak lena tidur dan sering berlamun. Seperti Raja Anak Wungsu, dia memilih Gunung Kawi sebagai tempat bertafakur sejenak. Menjadi kebiasaannya ke situ untuk mencari ketenangan. Sebatang sungai suci bernama Pakerisan perlu diseberangi sebelum dia sampai ke Pura Gunung Kawi. Terdapat sebatang titian batu selebar tiga meter yang menghubungkan kawasan lembah dengan pura. Dengan berkaki ayam Dewi melangkah dengan lembut dan sopan ketika menyeberangi sungai. Jiwanya dibuai lembut seperti rumpun-rumpun padi yang meliuk-liuk ditiup angin. Dia tidak lupa mengikat selendang kegemaran berwarna hijau pucuk daun di pinggang. Selendang itu jugalah yang dipakainya ketika pertama kali bertentangan mata dengan Ilham seminggu yang lalu. Candi bentar pura berupa sebuah gerbang setinggi tiga meter yang diperbuat daripada batu pasir berwarna merah dan dihiasi potongan dan ukiran batu granit berwarna kelabu. Walaupun Pura Gunung Kawi adalah pura bagi agama Hindu, puncak candi bentar itu ditandakan dengan patung Buddha yang sedang bertafakur. Pertembungan dua tradisi agama ini pada zaman dahulu telah menghasilkan kewujudan yang tenang. Begitulah yang juga didambakan Dewi ketika itu. Dia perlu menemukan kesejahteraan antara dua anasir yang sedang melanda jiwanya. Dia akur bahawa Ilham beragama Islam manakala dia sendiri beragama Hindu. Bagaimanakah dia dapat menemukan keharmonian antara kedua-dua agama ini jika dia mahu meneruskan hubungan dengan Ilham? Atau dia hanya perlu menghindarkan diri daripadanya bagi mencapai ketenangan kembali? Tetapi mengapakah dia tidak dapat melupakannya sejauh ini? Jiwa Dewi berkecamuk dengan pelbagai perasaan yang tidak menentu. Agama Hindu yang diwarisinya telah mendarah-daging dalam diri. Dia tidak dapat mengharungi kehidupan tanpanya. Setiap helaan nafas, hasrat dan tingkahnya berpandukannya. Dia tidak akan dapat meninggalkannya demi apa atau sesiapa pun. Dia kurang pasti bagaimana Ilham akan menghadapi pertembungan dua kepercayaan ini? Atau mungkin dia hanya bertepuk sebelah tangan kerana Ilham tidak berminat terhadapnya. Maka persoalan itu tidak timbul pada dirinya? Dewi berasa resah dan bingung memikirkannya. Mengapakah sesuatu itu menjadi bertambah berat jika diri sendiri yang menghadapinya? Perbezaan kepercayaan antara mereka begitu ketara, ibarat air dengan minyak. Pasti tidak dapat bercampur. Namun masih adakah jalur-jalur persamaan yang dapat dijadikan landasan untuk bersatu atau sekurang-kurangnya membuka ruang memulakan jalinan rohani yang sihat dan indah antara mereka berdua? Dewi sangat-sangat mengharapkannya walaupun dia kurang pasti bagaimana dia dapat mengajak Ilham mencari titik pertemuan itu?
Posted on: Sun, 15 Sep 2013 08:37:42 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015