Proses pemindahan rakyat Malaysia di Mesir bergantung kepada MKN - TopicsExpress



          

Proses pemindahan rakyat Malaysia di Mesir bergantung kepada MKN 2013/08/19 - 19:52:36 PM KUALA LUMPUR: Proses pemindahan rakyat Malaysia di Mesir bergantung kepada hasil pemantauan dan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN), kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Beliau berkata setiausaha MKN Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab kini berada di negara bergolak itu dan keadaan di sana akan dipantau dari semasa ke semasa, sebelum sebarang keputusan dibuat. Bagaimanapun beliau berkata kesemua 3,300 pelajar di Mesir telah dipindahkan dari kawasan panas ke lokasi lebih selamat sejak sebelum Ramadan dan dipantau pada setiap waktu. "Jadi keputusan proses pemindahan bergantung kepada MKN sebab mereka berada di lapangan. Sekarang ini bila kita tengok Al Jazeera, CNN semua nampak teruk, tetapi bila kita pergi ke sana hanya kawasan-kawasan tertentu sahaja panas," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di majlis rumah terbuka Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Wisma Felcra di sini hari ini. Hishammuddin berkata penaja, agensi dan kementerian berkaitan akan menentukan jenis pengangkutan untuk membawa pulang pelajar dan Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Pertahanan akan membuat keputusan akhir. "Apabila dua keputusan itu telah terjawab, itu tanggungjawab kita (Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pertahanan) menentukan sama ada untuk membawa mereka pulang secara komersil, terus (ke lapangan terbang) atau gunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia sekiranya lapangan terbang ditutup," kata Hishammuddin yang juga pemangku Menteri Pengangkutan. Ditanya sama ada pusat pemindahan masih di Jeddah seperti dilaksanakan dalam Ops Piramid sebelum ini sekiranya proses pemindahan itu dilaksanakan, beliau berkata pusat pemindahan itu tidak lagi di Jeddah, tetapi di beberapa lokasi lain yang telah dikenal pasti dan akan diumumkan kemudian. Sementara itu Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memaklumkan kesemua 182 pelajar tajaan Mara di Mesir berada dalam keadaan selamat, manakala 1,481 pelajar di bawah tajaan agensi itu yang berada di tanah air kerana bercuti, diarah menangguhkan pelajaran mereka di sana. "Setakat ini saya dapat berhubung dengan pegawai di Kaherah dan pelajar di Mansurah dan kita dimaklumkan pelajar kita di sana dalam keadaan terkawal dan saya telah mengarahkan mereka berada di tempat selamat supaya nanti nak bawa mereka pulang mudah," katanya sambil menyarankan kerajaan untuk terus membawa pulang semua pelajar Malaysia berikutan keadaan tidak menentu. Dalam perkembangan sama, Shafie berkata kementeriannya dengan kerjasama Mara akan mengkaji negara lebih selamat dan diiktiraf pengajian tingginya dalam bidang perubatan untuk dihantar di bawah agensi itu sebagai rancangan jangka panjang.
Posted on: Mon, 19 Aug 2013 12:02:09 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015