RAHSIA KEHEBATAN PARA SAHABAT Yazdigrid terpaksa pulang membawa - TopicsExpress



          

RAHSIA KEHEBATAN PARA SAHABAT Yazdigrid terpaksa pulang membawa kehampaan. Luka dihatinya belum terubat bahkan menambahkan lagi luka yang ada. Tiada apa-apa faedah berperang dengan orang Islam. Benarlah firman Allah SWT, “Barangsiapa yang telah disesatkan Allah, sekali-kali kamu tidak mendapatkan jalan (untuk memberi petunjuk) kepadanya.” (An-Nisak: 88) Meskipun begitu, Yazdigrid itu terus buta mata hatinya. Dia masih merintih bantuan daripada Raja China. Dia menghantar utusan kepada Raja China untuk meminta bantuan. Sebelum apa-apa, Raja China bertanya mengenai sifat-sifat tentera Islam yang sedang diperangi oleh Parsi. Raja China bertanya, “Adakah mereka menepati janji?” Jawab utusan Yazdigrid, “Ya.” “Apakah yang diseru oleh mereka sebelum memerangi kalian?” “Mereka menyeru kami supaya memilih satu daripada tiga perkara. Pertama, agama mereka. Jika kami menerimanya, mereka akan melayani kami seperti layanan sesama mereka. Jika tidak, kami terpaksa membayar cukai atau menghadapi peperangan.” “Bagaimana ketaatan mereka terhadap pemimpin mereka?” “Mereka adalah kaum yang paling taat kepada pemimpin mereka.” “Apakah yang mereka halalkan dan apakah yang mereka haramkan?” Utusan itu pun menceritakan mengenai perkara-perkara yang haram dan halal dalam agama Islam. Raja China bertanya lagi, “Adakah mereka mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram?” “Tidak.” “Sesungguhnya kaum itu tidak hancur selagi mereka tidak mengharamkan perkara yang halal dan menghalalkan perkara yang haram.” Raja China meneruskan pertanyaan, “Ceritakan kepadaku mengenai pakaian mereka.” Utusan itu menceritakan perihal pakaian kaum Muslimin yang sangat sederhana. Soalnya lagi, “Bagaimanakah keadaan tunggangan mereka?” “Mereka menunggang kuda Arab.” Kemudian, utusan itu menjelaskan mengenai sifat-sifat kenderaan yang digunakan oleh kaum Muslimin tersebut. Sambut Raja China, “Inilah sebaik-baik benteng pertahanan.” Kemudian, utusan itu menceritakan dengan lebih jelas mengenai sifat unta, derumannya serta bangunnya untuk membawa muatan. Akhirnya, Raja China itu merasa takjub dengan sifat-sifat yang ada pada kaum Muslimin. Lalu, Raja China menulis surat kepada Yazdigrid. Surat itu tertulis, “Sebenarnya, tidak ada keberatan bagiku untuk mengirim pasukan besar kepadamu. Aku boleh mengatur tentera yang banyak untukmu. Barisan hadapan berada di Marwa dan ia memanjang hingga barisan terakhir berada di China. Namun begitu, jika benar maklumat daripada utusanmu mengenai sifat-sifat musuh yang memerangimu, mereka pasti dapat menghancurkan gunung jika mereka menginginkannya. Jika aku membantumu dengan seluruh bala tenteraku, pastilah mereka akan menghabisiku dan membinasakanku. Maka berdamailah dengan mereka dan terimalah segala tuntutan mereka.” (Tarikh, Ibnu Jarir) Akhirnya Kisra Parsi terus kecewa. Dia sudah tidak mampu berbuat apa-apa selain menetap di wilayahnya sahaja dalam keadaan hina. Suatu masa di zaman kekhalifahan Sayidina Usman, Kisra Yazdigrid ini pun terbunuh. Maka, itulah Kisra terakhir Parsi sebelum empayar Parsi akhirnya hilang daripada peta dunia. (Riwayat Ibnu Jarir) ______________________________ Kisah ini merupakan sedutan daripada Bab 14, buku “Himpunan 20 Kisah Pahlawan Islam” (Khairy Tajudin, Galeri Ilmu Sdn Bhd). Dapatkan banyak lagi kisah-kisah menarik melalui page ini. jom like Himpunan Kisah Pahlawan Islam dan kongsi
Posted on: Mon, 09 Sep 2013 02:28:49 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015