Rangka manusia berselerak Kuala Selangor: Seorang pemilik kebun - TopicsExpress



          

Rangka manusia berselerak Kuala Selangor: Seorang pemilik kebun kelapa sawit di Kampung Hujung Permatang, di sini, terkejut sebaik menemui tengkorak dan rangka manusia berselerakan di celah timbunan pelepah daun kelapa sawit miliknya, petang kelmarin. Pemilik kebun dikenali sebagai Eng Leong, 50-an, kemudian memaklumkan penemuan berkenaan kepada polis, kira-kira jam 4.30 petang. Sumber berkata, pemilik kebun terbabit menemui tengkorak dan tulang berkenaan sewaktu mahu membersihkan kebun yang diusahakan bersama keluarga sejak beberapa tahun lalu. Menurut sumber, sepasukan polis dihantar ke lokasi penemuan rangka berkenaan dan mendapati ia adalah rangka seorang lelaki berdasarkan keadaan fizikal tulang yang ditemui. “Rangka yang ditemui dipercayai sudah berada di kawasan itu lebih dua minggu lalu dan dipercayai milik lelaki berusia antara 20-an hingga 30-an. “Siasatan lanjut mendapati ada antara tulang yang ditemui berselerakan mungkin kerana dimakan haiwan liar,” katanya. Katanya, tengkorak dan tulang yang ditemui itu kemudian dihantar ke Hospital Tanjung Karang untuk bedah siasat. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Deputi Superintendan Md Asri A Wahab mengesahkan penemuan rangka itu dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Menurutnya, hasil keputusan bedah siasat semalam memaklumkan bahawa punca kematian masih belum dapat dipastikan berikutan keadaan struktur tengkorak yang sempurna dan tiada kesan luka. “Keadaan tulang yang reput juga menyukarkan polis mengesan punca kematian. “Bagaimanapun, pihak polis akan menghantar rangka itu untuk padanan Deoxyribonucleic Acid (DNA) di Jabatan Kimia, Isnin ini,” katanya. Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta agar menghubungi IPD Kuala Selangor atau Sarjan Mejar Mohd Sari Mohd Isadi di talian 03-32891222 untuk menyalurkan maklumat.HM
Posted on: Sat, 17 Aug 2013 02:49:13 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015