Refleksi, Revisitasi dan Revitalisasi Gerakan Islam Abad Ke - TopicsExpress



          

Refleksi, Revisitasi dan Revitalisasi Gerakan Islam Abad Ke 21 Nota 6 Tasawur, citra dan fikrah Gerakan Islam berasaskan kepada orientasi Ikhwan (lebih dominan) dan Jamaat (sekunder) dengan pemikiran dari karya Al-Shahid Hassan Al-Banna (banyak disebut tetapi sedikit diikut), Al-Shahid Qutb (khususnya radikalism dari Maalim fi’l-Tariq), Abul A’la Mawdudi (tentang faham Negara Islam dan Jihad beliau yang revolusioner), Ayatullah Khomeini (sedar atau tanpa sedar karya beliau Wilayatul Faqih – Hukumah Islamiyyah menjadi rujukan utama tentang konsep negara dan kerajaan Islam bagi Gerakan Islam khususnya faham kepimpinan ulama sebagai kepimpinan negara dan politik). Yang lain termasuklah karya-karya Shaykh Mustafa Mashur (golongan yang gugur dalam dakwah dan fiqh dakwah), Shaykh Fathi Yakan (paling popular Maza Ya’ni), Shaykh Sayyid Hawa (Tarbiyatuna Ruhiyyah dan Jundullah Akhlaqan wa Saqafatan), dan yang lain dari Shaykh Sayyid Sabiq (Fiqh Sunah), Shaykh Mustafa As-Sibaí (Istirakiyat Al-Islam), Shaykh Dr Karim Zaidan (Usul Dakwah) dan Al-Shahid Shaykh Sayyid Ramadhan Al-Buti (Fiqh Sirah). Dan sudah pasti tidak ketinggalan Shaykh Dr Yusuf Al-Qaradhawi dengan pelbagai karya penting beliau tentang dakwah dan harakah. Kesemua karya dari tokoh-tokoh ini jika dianalisis dan disistemisasikan membentuka satu pendekatan atau manhaj atau uslub yang dinamakan sebagai Fiqh Al-Harakah iaitu cara-gaya atau orientasi bagaimana dakwah, harakah dan kebangkitan Islam wajar difahami, hayati dan dikembang-luaskan. Fiqh Al-Harakah inilah yang secara keseluruhannya membentuk tasawur, citra dan fikrah para aktivis pendokong dan gerakan Islam di seluruh dunia termasuklah gerakan-gerakan Islam yang tumbuh di Malaysia dari PAS, ABIM dan JIM sehinggalah kini ISMA, HALUAN, IKRAM dan WADAH dari tahun 1970an sehinggalah kehari ini sepanjang lebih 40 tahun atau satu generasi. Disebalik dominasi Fiqh Al-Harakah ini, satu perkara yang tidak mendapat perhatian gerakan-gerakan Islam ialah pemikiran yang dikemukakan oleh Malik Bennabi (1905-1973) tokoh pemikir Algeria yang sewaktu dengan Al-Shahid Sayyid Qutb (1906-1966). Malik Bennabi adalah antara sarjana Islam kontemporari yang mengikuti manhaj Ibnu Khaldun (1332-1406), dikenali sebagai Bapa Ilmu Sosiologi dan Sejarah dalam pemikiran sosio-politik yang menekankan kepentingan pembinaan peradaban Islam berbanding persoalan negara semata-mata. Malik Bennabi malah mengkritik pendekatan Sayyid Qutb yang dilihat lebih sempit pada menyatakan tasawur, citra dan fikrah Islam. Menarik sekali pendekatan Malik Bennabi banyak diikuti oleh Gerakan Al-Nahda (ditubuhkan 1981) di Tunisia yang sekarang ini menguasai Kerajaan Tunisia khususnya oleh pengasas dan pemimpin utamanya Shaykh Rachid Al-Ghannushi (1941-kini). Jalur pemikiran Malik Bennabi yang mewarisi pemikiran Ibn Khaldun yang cuba diterokai oleh Al-Nahda ataun Ennahdah ini mungkin boleh menawarkan satu opsyen baru bagi Gerakan Islam bagi menggantikan kelesuan atau kebuntuan yang dialami oleh Gerakan Islam semasa dalam menangani kemelut sosio-politik umat juga mungkin dalam menghadapi cabaran liberalism dan pluralism. Ini bagaimanapun tidak bermakna realiti sosio-politik yang dialami Shaykh Rachid Al-Ghannushi dan Al-Nahda itu akan menjadi satu Carbon Copy baru bagi Gerakan Islam. Yang lebih utama ialah apa yang boleh dipelajari dari pemikiran Ibn Khaldun dalam konteks perjuangan membina peradaban Islam di Abad Ke 21 ini. Inilah yang pernah penulis maksudkan gagasan Fiqh Al-Hadharah sebagai ganti kepada Fiqh Al-Harakah. AM
Posted on: Tue, 01 Oct 2013 04:24:11 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015