Rompin, 4 Sep 2013 - Demi mempertahankan nyawa dan maruah ibu - TopicsExpress



          

Rompin, 4 Sep 2013 - Demi mempertahankan nyawa dan maruah ibu serta adik perempuannya, seorang lelaki nekad bertempur dengan dua daripada lima penyamun yang memasuki rumah mereka di FELDA Keratong 5, Muadzam Shah di sini, hingga cedera parah terkena 11 tetakan di tangan hingga menampakkan tulang, kaki dan perut, awal pagi semalam. Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, Mohd Arsyad Othman, 26, parah terkena 11 tetakan ketika melawan dengan penyamun bertopeng dipercayai warga asing bersenjatakan dua parang dan tiga kayu. Melihatkan Mohd Arsyad ditetak berkali-kali, ibunya, Zaharah Bakar, 57, melaungkan ‘Allahuakbar’ kerana tidak mampu berbuat apa-apa apabila dikepung tiga penjenayah bersama anaknya, Nor Adibah, 23. Menceritakan detik cemas itu, Mohd Arsyad berkata, dengan kudrat yang ada dia cuba melawan penyamun terbabit kerana bimbang akan mengapa-apakan ibu dan adik perempuannya. “Saya yang ketika itu tidur di ruang tamu tersedar apabila mereka memukul belakang saya dengan kayu. “Selepas itu, saya lihat lima penyamun berada dalam rumah dengan tiga daripada mereka sudah mengepung ibu dan adik,” katanya yang kini stabil selepas mendapatkan rawatan di Hospital Muadzam Shah (HMS) di sini. Mohd Arsyad berkata, seorang penyamun terbabit cuba menetaknya di kepala, namun dia sempat menahan dengan tangan sebelum mencapai sebatang besi dan terus berlawan. “Tanpa mempedulikan kesakitan, saya melawan walaupun penyamun itu melibas parang berulang kali sehingga mengenai beberapa bahagian badan. Ketika itu saya hanya terfikir keselamatan ibu dan adik perempuan walaupun nyawa saya jadi taruhan,” katanya yang bekerja kampung. Anak keenam daripada tujuh beradik itu berkata, melihatkan tindakan agresifnya, penyamun terbabit melarikan diri dan hanya sempat mengambil dompetnya mengandungi wang tunai RM400 dan satu komputer riba. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Yahya, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu. ~via Berita Harian
Posted on: Wed, 04 Sep 2013 10:05:19 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015