Saddam Hussein al Majid at Tikriti Info menarik berkaitan - TopicsExpress



          

Saddam Hussein al Majid at Tikriti Info menarik berkaitan Saddam Lahir di perkampungan al Awja di Wilayah Tikrit, sebuah wilayah di utara Iraq pada 28 April 1937 dari sebuah keluarga pengembala kambing. Maut di tali gantung pada 30 Disember 2006 ketika berusia 69 tahun. Perkataan ‘Sadd’ dalam bahasa Arab bermakna empangan. Nama Saddam memberi maksud ‘seseorang yang sentiasa bersedia untuk mengadapi’. Saddam tidak pernah mengenali bapanya Hussein al Majid yang menghilangkan diri ketika usia beliau 3 bulan dalam kandungan ibunya. Bapa tirinya, Ibrahim al Hassan memperlakukan beliau dengan kasar dan keras. Mungkin memori pahit ketika kecil bersama bapa tirinya membentuk cara Saddam berfikir dan bertindak. Selepas menghabiskan pengajian di sekolah menengah, Saddam memasuki kuliah undang-undang di Iraq tetapi meninggalkan universiti pada tahun 1957. Di usia 20 tahun, walaupun masih terlalu muda, beliau turut terlibat dalam Revolusi 14 Julai 1958 yang meletakkan batu nesan kepada semua keluarga Diraja Iraq dan mengangkat Jeneral Abdul Karim Qaasim sebagai Perdana Menteri. Sesuai dengan makna namanya sebagai seorang yang sentiasa bersedia untuk menghadapi apa saja, pada tahun 1959, Saddam yang ketika itu seorang pegawai muda dalam tentera terlibat pula dalam cubaan bunuh terhadap Perdana Menteri Abdul Karim Qaasim sedangkan sebelum ini dia antara salah seorang yang terlibat mengangkat Perdana Menteri ini. Konvoi Perdana Menteri diserang di Jalan Ar Rasyid di tengah-tengah Baghdad tetapi tembakan yang tidak tepat dari Saddam Hussein menggagalkan cubaan bunuh ini dan Saddam melarikan diri ke Mesir. Antara alasan cubaan bunuh ini kerana Perdana Menteri Iraq tersebut menolak cadangan Presiden Mesir, Gamal Abdul Nasser menggabungkan beberapa negara Arab termasuk Iraq dan Mesir bagi membentuk ‘United Arab Republic’. Di Mesir, beliau menyambung semula pengajian undang-undang yang tergendala dulu. Presiden Gamal Abdel Nasser sangat mengasihinya sehingga beliau dijadikan anak angkat Presiden. Sebab itulah saya pernah mendengar ungkapan Saddam yang menyebut, “Bapaku Gamal Abdel Nasser...” Kembali semula ke Iraq pada tahun 1964, ketika itu negara di bawah pemerintahan Presiden dari Parti Baath yang turut dianggotai Saddam, Presiden Abdul Salam Arif. Kerana kesalahan terlibat dalam cubaan bunuh dan melarikan diri dari Iraq sebelum ini, Saddam dipenjarakan pada 1964 sekembalinya beliau ke Iraq. Akhirnya pada tahun 1967 beliau dibebaskan yang sebenarnya tindakan pembebasan individu seperti Saddam ini seolah memakan diri sendiri bagi Presiden Abdul Rahman Arif yang memerintah ketika itu. Saya katakan memakan diri kerana pembebasan itu memberi ruang kepada Saddam untuk merancang rampasan kuasa tanpa pertumpahan darah bersama-sama Jeneral Ahmad Hassan al Bakr sehingga menjatuhkan Presiden Abdul Rahman Arif pada 1968. Jeneral Ahmad Hassan al Bakr diangkat sebagai Presiden pada 1968, sementara Saddam sebagai timbalannya. Ahmad Hassan al Bakr memerintah sehingga 1979 apabila kuasa diserahkan kepada Saddam pada 16 Julai 1979. Saya selalu menyebut, Saddam seorang yang sukakan peperangan. Buktinya, bermula tahun 1979 beliau menjadi Presiden, lebih kurang setahun selepas itu pada September 1980 bermulalah Perang Iran-Iraq. Sebabnya kenapa berlakunya perang ini perlu dibincangkan secara khusus. Perang Iran-Iraq berakhir pada 8 Ogos 1988. Hanya 2 tahun tanpa peperangan. Selepas itu pada 2 Ogos 1990, Kuwait pula diserang. Sebabnya juga pelbagai, antaranya Iraq menuduh Kuwait mencuri minyaknya secara ‘penggerudian condong’. Maknanya penggerudian di lakukan di dalam Wilayah Kuwait yang bersempadanan dengan Iraq tetapi dilakukan secara menyondong lalu memasuki wilayah Iraq melalui dalam bumi. Ada juga dikatakan alasan, ia berpunca kegagalan Iraq membayar balik hutang kepada Kuwait yang berjumlah USD80 bilion. Dana yang dipinjam untuk membiayai kempen Perang Iran-Iraq sebelum ini. Suka dimaklumi bahawa negara-negara Arab berdiri di sebelah Iraq ketika era Perang Iran-Iraq. Mungkinkan atas dasar semangat asobiyyah Arab? Tindakan Kuwait yang meningkatkan pengeluaran minyak mereka sehingga menjejaskan pendapatan negara-negara pengeluar yang lain termasuk Iraq juga dikatakan antara puncanya. Kelemahan pertahanan Kuwait digambarkan apabila pencerobohan Iraq ke atas Kuwait hanya mengambil masa selama 2 hari sahaja. Tentera elit Iraq, Iraqi Republican Guard ternyata tidak diberikan tentangan oleh tentera Kuwait. Beberapa hari selepas itu, Saddam mengistiharkan Kuwait adalah ‘Wilayah ke 19 Iraq’.
Posted on: Mon, 02 Sep 2013 05:55:22 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015