Sedikit keadilan untuk Ustaz Nasrudin Hassan - Oleh: Timmy - TopicsExpress



          

Sedikit keadilan untuk Ustaz Nasrudin Hassan - Oleh: Timmy Say SEPTEMBER 27, 2013 Merujuk kepada berita “Ketua Pemuda PAS kalah pemilihan parti di kawasan sendiri” yang disiarkan The Malaysian Insider (TMI) pada 26 September 2013. Di sini saya ingin menambah dua perkara kepada laporan tersebut supaya ia boleh dilihat dalam konteks yang lebih tepat. Ya betul, daripada segi faktanya, Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hasan tewas dalam pertandingan jawatan Naib Yang Dipertua Indera Mahkota pada 15 September lalu. Tapi yang lebih tepatnya ialah Ketua Pemuda PAS tewas di satu pertandingan yang tidak dihadirinya. Ingin dijelaskan bahawa ketika pemilihan itu berlangsung, Nasrudin berada di program Hari keluarga Dewan Pemuda PAS Malaysia berlangsung pada 14-16 September 2013 di Tasir Kenyir, Terengganu. Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Presiden PAS. Pada majlis itu juga Nasrudin tercedera lututnya ketika bermain futsal. Ustaz Suhaimi Saad juga serba salah ketika memenangi pertandingan yang tidak dihadiri Nasrudin sendiri. Bukan niat beliau untuk terpaksa berlawan dengan Nasrudin, yang jelas tidak berniat merebut jawatan tersebut. Ketika ditanya wartawan, saya percaya Suhaimi hanya boleh mengesahkan bahawa beliau menang tanpa mengulas lanjut seperti yang dibuat beliau di Astro Awani dan juga The Malaysian Insider. Namun, beliau tidak boleh mengelak cara laporan itu bakal disiarkan kerana Nasrudin sememangnya mempunyai ‘disadvantage’ daripada segi liputan media yang diberikan kepadanya selama ini. Dalam laporan The Malaysian Insider turut memetik kata-kata seorang penganalisis politik yang tidak dinamakan berbunyi: “Ini pengajaran buat beliau (Nasrudin) dalam arena politik. Kena selalu bersederhana. Jangan anggap lebai, baik dan syumul tidak boleh ditegur. Ulama bukan maksum dan mereka perlu berdepan realiti.” Saya tidak mahu mengulas sama ada komen di atas betul atau pun silap, saya biarkan pembaca menilainya sendiri. Yang ingin saya utarakan ialah kepada sesiapa yang mengenali Nasrudin secara dekat akan merasai kesederhanaannya. Nasrudin juga pemimpin PAS yang pertama yang berani membuat pengisytiharan harta secara terbuka di muktamar yang lepas. Mengenai dakwaan Nasrudin tidak boleh ditegur, berdasarkan pengalaman saya berinteraksi dengan beliau, beliau adalah antara pemimpin PAS yang paling boleh ditegur, diajak berbincang dan terbuka menerima pandangan. Cara bercakap Nasrudin juga antara yang paling berhemah dan mudah mendekati tanpa ego sebagai seorang pemimpin berjawat Ketua Pemuda PAS, ahli Majlis Syura mahupun kini seorang ahli parlimen. Yang mengenali Nasrudin secara dekat akan tahu, apabila Nasrudin berlalu di depan anda, yang lalu ialah Ustaz Din yang rendah diri, tinggi hemahnya – dan bukan Ketua Pemuda PAS, ahli Majlis Syura mahupun Ahli Parlimen. Saya juga antara ramai yang kadang-kala tidak bersetuju dengan sesetengah kenyataan dan pendekatan Nasrudin melihat sesetengah isu politik dan sosial (di mana saya selalu menegur dan juga busybody memberikan pendapat). Namun, apabila tiba soal berbicara mengenai akhlak Nasrudin, saya akan menjadi orang pertama yang mempertahankan beliau kerana daripada segi ini, saya sendiri tidak dapat mencapai tahap ketinggian akhlak beliau, yang boleh saya katakan wajar dijadikan contoh kepada ramai pemimpin hari ini. Mudah untuk menuduh orang tidak boleh ditegur tanpa melihat pada cermin bahawa sendiri selalu merasakan diri betul.
Posted on: Sat, 28 Sep 2013 02:36:31 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015