Selamat Berehat Tuan Guru "Mana Abeya?" Tuan Guru terus bertanya - TopicsExpress



          

Selamat Berehat Tuan Guru "Mana Abeya?" Tuan Guru terus bertanya demikian apabila bangun dari tidurnya. Barangkali pendingin hawa yang dipasang di dalam bilik wadnya agak kuat sehingga kesejuka turut terasa di urat nadi saya yang jauh lebih muda dari Tuan Guru. "Abeya tadi sudah pulang ke rumah. Tengah hari ini beliau akan ke Korea melawat anaknya di sana.." Saya jelaskan kepada Tuan Guru. Abeya ataupun nama sebenarnya Zakaria merupakan seorang bekas anggota polis yang berkhidmat sebagai pengawal keselamatan Tuan Guru semenjak tahun 1990. Beliau tidak pernah berenggang dari Tuan Guru. Walaupun beliau seorang polis, tetapi Tuan Guru amat percaya kepadanya dalam apa jua urusan. Sehingga Tuan Guru bersara dari jawatan Menteri Besar, Abeya tetap diberikan kepercayaan untuk menjadi pengawal keselamatan Tuan Guru. "Kalau begitu tak apalah, kirim salam kepadanya..." kata Tuan Guru. Saya menelefon Abeya untuk menyampaikan salam Tuan Guru. Tanpa dijangka Abeya sanggup datang semula ke wad HUSM. Kata Abeya, beliau sedang di dalam perjalanan menuju ke lapangan terbang. Saya tahu Abeya tidak akan ke lapangan terbang melainkan dalam keadaan masa yang sudah cukup hampir dengan pelepasan. Namun dalam hal ini, Abeya sanggup memohon khusus dari MAS untuk menangguhkan penerbangan ke Kuala Lumpur seterusnya ke Korea semata-mata ingin balik berjumpa dengan Tuan Guru. Akhirnya Abeya sampai ke wad VIP HUSM, telah sedia menunggu ialah beberapa orang ahli keluarganya. Semua yang ada di dalam bilik wad berkenaan diminta keluar bagi memberikan ruang yang selesa kepada Abeya untuk berbicara dengan Tuanguru. Nampak kelihatan seolah-olah Tuanguru agak keletihan kerana langsung tidak bangun dari tidurnya di atas sofa jauh sekali dari mengukir senyum. Saya memerhati dari jauh. Semenjak saya meletakkan jawatan di dalam Harakahdelay, inilah kali pertama saya bersua dengan Tuan Guru. Saya ditugaskan ke Kelantan semata-mata untuk menemuramah Tuan Guru dan Menteri Besar Kelantan. Alhamdulillah, tengah hari tadi sudah berjaya saya menemuramah Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar. Sempat juga saya hulurkan beberapa soalan perangkap dan besok tentu sekali saya akan siapkan artikel dengan memetik sebahagian sahaja temuramah tersebut untuk disiarkan kepada umum. Lantaklah,bukan ada sesiapa tahu, lagipun memang kerja saya membuat temuramah yang panjang dan memetik sebahagian isi sahaja untuk membina persepsi. Abeya masih berbicara dengan Tuan Guru. Pertemuan empat mata tersebut saya lihat begitu lama. Barangkali ada sesuatu yang dibicarakan oleh kedua-dua mereka. Abeya dan Tuan Guru, dua insan yang sama-sama memegang jawatan pada tahun 1990 dan sama-sama meletakkan jawatan pada tahun 2013. Mana tidaknya, Abeya pengawal keselamatan Tuanguru sudah tentu akan turun bersama-sama Tuan Guru. Panjang sekali mereka berbicara, saya agak pasti ada amanat yang penting untuk Abeya. Adakah Tuan Guru meminta Abeya menggantikan beliau sebagai Menteri Besar? Ish karut, bukankah Kelantan sudah ada Menteri Besar? Atau Tuan Guru mahu Abeya menjadi anggota Exco? Sudah tentu lebih mengarut kerana senarai exco sudah ada... Barangkali Tuan Guru mahu melantik Abeya menjadi Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan menggantikan salah seorang Timbalan Pesuruhjaya yang akan digugurkan khabarnya? Barangkali itu agak munasabah. Saya menyenaraikan beberapa kemungkinan. Tetapi apa yang pasti Tuan Guru mahu memberitahu sesuatu yang sangat penting. Saya sudah berkira-kira untuk menulis rencana besok hari. Sudah tentu ada perkara penting yang diberitahu oleh Tuan Guru kepada Abeya. Perkara ini sangat penting sehingga menjangkaui semua kepentingan. Jika tidak amat mustahil Tuan Guru dalam keadaan yang sangat uzur, telah memanggil Abeya untuk datang ke sisi. Saya sedang berkira-kira untuk menyenaraikan seribu kemungkinan. Tuan Guru kelihatan khusyuk mendengar tutur kata Abeya. Saya mengambil beberapa gambar dari jauh. Nampak Tuan Guru kurang melayan, tetapi saya kira sudah cukup ia menjadi bahan untuk rencana yang akan saya tulis. Sejenak kemudian Abeya melangkah keluar, terus saya bertanya, "Apa yang diberitahu oleh Tuan Guru?" "Tuan Guru pesan jika ke Korea, jangan lupa belikan dia teh Korea, katanya sangat manis dan segar.." Kata Abeya. "Oooh... ingatkan penting sangat, tapi harap jangan diberitahu orang lain. Sebab saya ingin tulis artikel tentang Abeya ni. Untuk promosi muktamar..." Saya membisik kepada Abeya. "Kepala hotak kau!!" Jerkah Abeya... sedar-sedar darah mengalir dari hidung saya. Selamat berehat Tuan Guru. -------- Zulhilmi Bongsu merupakan penulis artikel ini, seorang wartawan yang sudah 40 tahun bertugas di pelbagai agensi berita. Terakhir beliau bertugas sebagai editor Harakahdelay dan di antara yang memainkan peranan menyiarkan propaganda menaikkan pemimpin tertentu di dalam PAS. Sekarang beliau bertugas sebagai Editor Utama di The Malaysian Outdoor.
Posted on: Fri, 23 Aug 2013 17:43:34 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015