Selamat pagi semua. Sengaja admin nak buat kau orang tak tentu - TopicsExpress



          

Selamat pagi semua. Sengaja admin nak buat kau orang tak tentu hala bila membaca petikan novel ini. Biar novel n meletup bagaikan goreng pisang panas bila berada di pasaran nanti. Bacalah ya.... PAGI-PAGI lagi Firuz Eidil sudah bangun dan bersiap untuk ke pejabat. Entah kenapa hari ini dia begitu semangat dan berazam mahu menjadi lebih baik daripada apa yang dilaluinya dalam tempoh sebulan yang lalu. Tidurnya malam tadi lena diulit mimpi bersama Elfira. Apakah itu petanda bahawa dia masih ada harapan untuk bertemu gadis itu lagi. Jika ya, dia akan pastikan Elfira menjadi miliknya. Jika selama ini dia tertanya-tanya apakah perasaannya pada Elfira tapi hari ini dia telah mendapat jawapan pasti. “Selamat pagi Fea. Rindu betul saya kat awak,” sapa Firuz Eidil girang sebaik sahaja berada di hadapan gadis itu. “Selamat pagi bos. Wah, gembira nampak pagi ni! Bagaimana cuti? Tak ada ole-ole untuk saya ke?” usik Sofea nakal. Firuz Eidil ketawa mendengar pertanyaan Sofea. “Alamak Fea saya terlupalah. Jangankan kata ole-ole untuk awak, untuk keluarga saya pun saya tak beli,” beritahu Firuz Eidil sambil tangannya menepuk-nepuk dahi. Sofea menggeleng-geleng. Geli hatinya melihat tingkah bosnya itu. “Tak apalah bos, saya gurau aje tadi.” “Kalau begitu saya masuk dulu. Oh ya, tolong buatkan saya kopi ‘o’.” “Yes boss!” Firuz Eidil terus melangkah masuk ke pejabatnya dan melabuhkan punggung di kerusi yang telah sebulan ditinggalkan. Rindunya dia pada bilik itu. Tangannya didepakan lalu diletakkan di belakang kepala sambil bersandar ke kerusi. Seketika kemudian Sofea melangkah masuk dengan senyuman mekar di bibir. “Bos, ni kopi ‘o’ yang diminta.” Kopi ‘o’ itu diletakkan di atas meja. Firuz Eidil menghidu aroma kopi itu dengan penuh keasyikkan. “Terima kasih Fea.” “Kasih diterima.” Sofea ketawa kecil. Firuz Eidil turut sama ketawa. Lama sungguh dia tidak bergurau dengan setiausahanya. Hatinya tiba-tiba terusik. Bayangan Elfira memenuhi ruang matanya. “L,” ucap Firuz Eidil tanpa sedar. Sofea terpaku sebentar. Dia yakin dengan apa yang didengar. Walaupun agak perlahan namun dia yakin nama itulah yang disebut Firuz Eidil. Dia tak salah dengar. “Bos cakap apa?” Sofea sengaja bertanya. Firuz Eidil kembali ke alam nyata. Wajah Sofea ditatap. Pandangannya redup. “Tak ada apa-apa. Awak dengar apa?” “Soalan tak boleh dijawab dengan soalan bos. Jangan risau saya tak dengar apa-apa pun.” Firuz Eidil turut sama tersenyum dan dia berasa lega apabila Sofea tidak mendengar butir bicaranya. “Kalau tak ada apa-apa lagi, saya keluar dulu,” pinta Sofea setelah mendapati Firuz Eidil hanya berdiam diri. “Fea!” Sofea berpaling. “Ya bos, apa lagi yang saya boleh tolong?” Nak tanya ke tak ni? Kalau tak tanya nanti menyesal pulak. Tapi kalau tanya, apa pulak kata Fea? Susahnya! Bisik hati kecil Firuz Eidil. “Bos okey ke?” “Ha? Saya okey. Tak apalah awak boleh keluar sekarang.” “Okey.” Sofea terus melangkah keluar. “Tak nak tanya konon. Macamlah aku tak dengar yang kau sebut nama L. Cakap ajelah yang kau rindu kat dia atau kata ajelah yang kau dah sukakan dia. Susah betul lelaki zaman sekarang ni. Dah suka, tak nak cakap. Sanggup pendam perasaan seorang diri. Ni kategori lelaki apa aku pun tak tahu. Nak kata dayus, tak. Nak kata pengecut, tak nampak macam pengecut. Malu tapi mahu kot. Kelakar betul.” “Apa aje yang awak omelkan tu Fea?” soal Tan Sri Mikhail yang tiba-tiba sahaja muncul di hadapannya. “Ops!” Sofea yang tidak sedar kedatangan Tan Sri Mikhail terkejut beruk. Agaknya beruk pun tak terkejut macam dia. Namun cepat-cepat dia berlagak seperti tiada apa-apa. “Tan Sri, terkejut saya dibuatnya!” ujar Sofea sambil mengurut-urut dadanya. “Awak sihat ke tak ni?” “Hisy Tan Sri ni, kalau saya ada kat sini, maknanya saya sihatlah. Tan Sri nak jumpa Encik Firuz ya? Dia ada kat dalam.” Sofea segera menukar topik perbualan. Tidak betah rasanya berlama-lama dengan Tan Sri Mikhail. “Pandai awak tukar topik ya. Tak apalah, saya memang nak jumpa Firuz. Hari ni saya nak bawa dia jumpa dengan PA Tan Sri Lukman.” Sofea sekadar mengangguk. Fuh! Agak-agaknya dia dengar tak apa yang aku cakap tadi. Minta-minta tak dengarlah aku kutuk anak dia, omel Sofea sambil melabuhkan punggungnya di kerusi. Pandangannya kembali menatap komputer. Tan Sri Mikhail menolak pintu pejabat Firuz perlahan-lahan dan melangkah masuk. “Rajinnya anak papa. Baca apa tu?” sapa Tan Sri Mikhail sebaik sahaja melangkah masuk. “Biasa sahaja pa. Baca pasal projek pembinaan kita di Cameron Highlands. Boleh tahan hebat jugak projek ni.” “Jadi apa pendapat Firuz tentang projek tu?” “Bagus! Ianya dapat memberi keuntungan kepada dua belah pihak. Tapi selalunya Syarikat Bumi Jaya lebih senang mengendalikan projek mereka sendiri. Jadi kenapa kali ni, dia bergabung dengan kita?” “Sebenarnya, Tan Sri Lukman memang berhajat untuk menjalinkan usahasama dengan Firuz Land tapi tak kesempatan. Kebetulan dia mahu membina sebuah pusat peranginan di Pahang, jadi dia ajak Firuz Land turut serta.” “Oh, macam tu ceritanya.” “Along dah bersedia nak jumpa dengan PA Tan Sri?” “Sudah papa.” Firuz Eidil berkata dengan penuh yakin. “Bagus, beginilah anak papa. Bersemangat!” “Pengalaman mengajar kita untuk menghargai apa yang kita miliki. Betul tak papa?” Tan Sri Mikhail mengangguk. Gembira. Anaknya sudah semakin matang dalam menjalani kehidupan dan sudah semakin bijak mengawal kata hati. “Boleh kita pergi sekarang?” tanya Tan Sri Mikhail. “Tentu saja boleh Tan Sri,” jawab Firuz Eidil sambil mengambil fail mengenai projek di Cameron Highlands di atas tray. Mereka berjalan seiringan. Sofea menghulur senyuman manis buat Firuz Eidil dan Tan Sri Mikhail. “Fea, saya dan Tan Sri nak keluar. Kalau ada sesiapa cari saya suruh mereka tinggalkan pesanan sahaja.” “Baik bos.” Sofea menghantar pemergian majikannya itu dengan ekor mata. Sebaik sahaja kelibat kedua-duanya hilang, Sofea segera menghubungi Elfira. Talian berjaya disambungkan. Kedengaran suara Elfira di hujung talian. “Helo L.” “Ya Fea ada apa?” “Mat Singa dengan Tan Sri Mikhail menuju ke syarikat kau sekarang. Kau dah bersedia nak jumpa dia ke?” “Oh, aku ingatkan apalah tadi. Aku dah tahu pun hal ni. Fea, sekarang ni aku bukan lagi L. Aku adalah Amira. Kau tak usahlah bimbang tentang aku. Aku akan jadi pelakon yang terbaik. Kalau Fauziah Nawi tengok aku berlakon mesti menangis,” seloroh Elfira. “Tapi dia mesti cam kau.” “Fea, dia sendiri tak pernah tahu tentang nama aku. Dia cuma tahu nama aku Elfira dan tak pernah tahu nama penuh aku. Di mata dia, aku hanya anak orang kampung. Kau jangan risaulah. Pandailah aku nanti. Aku nikan pelakon terbaik.” “Kau ni dalam saat macam ni pun masih nak bergurau lagi ke? Tapi aku percaya, dia mesti cam muka kau.” “Fea, dalam dunia ni, ada 7 orang yang hampir sama raut wajahnya. Jadi apa yang nak dibimbangkan. Kau dulu pun tak cam masa mula-mula tengok aku kan? Jadi, kau rasa si Mat Singa tu boleh cam aku ke?” “Yalah, teori kau aje yang betul. Suara kau tu mana berubah.” “Siapa kata tak berubah. Dulu aku kasar, sekarang ni kalau aku cakap lembut dan sopan aje. Mana dia nak perasan.” “Suka hati kaulah L. Asalkan kau bahagia.” “Terima kasih Fea.” Ada ketawa di hujung talian. “Tapi kau ingat, jangan sesekali bocorkan rahsia aku. Janji tau.” “Tu kau janganlah risau. Biar pecah di perut, takkan pecah di mulut.” “Terima kasih Fea.” “Kasih diterima. Okeylah L. Aku ada kerja nak buat ni. Malam nanti kau cerita apa yang berlaku okey.” “Okey. Kau takkan terlepas satu cerita pun dari aku.” Talian telefon segera dimatikan. Elfira tersenyum. Dia menyandarkan tubuhnya. Bayangan Firuz Eidil menjelma di ruang mata Dia sudah tidak sabar melihat aksi lelaki itu. Helaan nafas dilepaskan perlahan-lahan. ELFIRA sedang leka menyemak kertas kerja projek di Cameron Highlands. Tiba-tiba interkomnya berbunyi. Kedengaran suara setiausahanya, Fadhilah di talian. “Cik Amira, Tan Sri Mikhail dari Firuz Land dah sampai,” beritahu Fadhilah. “Suruh mereka masuk,” arah Elfira. Elfira segera membetulkan pakaian dan cara duduknya. Dia mahu nampak berkarisma di hadapan Firuz Eidil. Seketika kemudian, pintu biliknya diketuk. Kelihatan Fadhilah membukakan pintu dan menjemput tetamu masuk. Elfira terus mengukir senyuman. “Silakan Tan Sri, encik,” ujar Fadhilah membawa mereka bertemu dengan Elfira. “Terima kasih.” “Apa khabar Tan Sri,” sapa Elfira mesra. “Alhamdulillah, sihat. Cik Amira, saya perkenalkan, ni anak saya, Firuz Eidil.” “Hai, saya Amira. Apa khabar Encik Firuz Eidil?” Elfira memperkenalkan dirinya sebagai Amira. Firuz Eidil terpempan tatkala pertama kali memandang wajah Amira. Jantungnya berdegup kencang. Dia seperti merasakan Elfira hampir dengannya dan suara itu serupa benar dengan suara Elfira. Cuma wanita di hadapannya kini lebih berkarisma daripada Elfira. Senyuman itu membuatkan dia mengingati Elfira. Apakah dia sedang bermimpi? “Firuz, kenapa diam sahaja? Cik Amira tanya tu,” tegur Tan Sri Mikhail sambil menepuk bahu anaknya. Hairan dia melihat anaknya yang tiba-tiba terpaku kaku. Firuz Eidil terkejut apabila ditepuk Tan Sri Mikhail. Dia tersengih. Mukanya merah menahan malu. “Maaf, saya Firuz. Saya sihat.” Mereka saling berbalas senyuman. “Silakan duduk,” pelawa Elfira. “Terima kasih,” ucap Tan Sri Mikhail. “Ehem...” Tan Sri Mikhail berdehem kuat hingga mengejutkan Firuz Eidil. Firuz Eidil terpinga-pinga. Dia memandang ke arah Tan Sri Mikhail. Tan Sri Mikhail memberi isyarat agar anaknya itu duduk. “Jemput duduk Encik Firuz,” pelawa Elfira. Elfira hanya tersenyum. Dalam hatinya hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa susahnya dia menahan ketawa melihat gelagat Firuz Eidil. Namun kerana rasa hormat pada Tan Sri Mikhail, dia menahan ketawanya. Firuz Eidil hanya mampu tersengih. Dia tidak tahu kenapa jantungnya bergetar hebat. Mendekati Amira seperti mendekati Elfira. Tetapi dia sedar orang yang berada di hadapannya adalah seorang yang hebat. Bukan seperti Elfira, gadis yang begitu keras kepala, kasar dan seperti tidak berwawasan. Gadis di hadapannya ini benar-benar memikat hatinya. Fadhilah muncul dengan menatang minuman untuk diberikan kepada tetamu. Pandangan mereka bertiga tertumpu kepada Fadhilah. Cawan-cawan yang berisi air kopi itu diletakkan di atas meja. Kemudian dia berlalu keluar dari bilik Elfira. “Jadi, apa yang boleh saya bantu Tan Sri, Encik Firuz,” tanya Elfira memulakan bicara. Kakinya disilangkan. Gaya wanita korporat jelas terpamer. Tan Sri Mikhail dan Firuz Eidil begitu kagum dengan karisma gadis di hadapan mereka. “Tiada apa. Cuma sedikit penerangan tentang projek di Cameron Highlands tu,” Jelas Tan Sri Mikhail. Elfira menghadiahkan senyuman paling manis buat Firuz Eidil. Dia sedar Firuz Eidil tidak senang duduk dengan keadaan itu. Lelaki itu tampak resah. Bahkan lelaki itu juga seperti tidak fokus dengan apa yang dibicarakan oleh Elfira dan Tan Sri Mikhail. Dia lebih banyak mendengar daripada mengeluarkan sebarang pendapat. Mata lelakinya lebih senang menatap setiap inci tubuh Elfira. Sesekali dia cuba bandingkan Amira dan Elfira. “Jadi Encik Firuz nak atau tak ikut saya ke Cameron Highlands?” aju Elfira. “Firuz, Cik Amira bercakap dengan kamu tu,” celah Tan Sri Mikhail mengeraskan sedikit suaranya. “Ha? Oh... a... a... apa dia?” “Kenapa dengan kamu ni Firuz? Papa lihat dari tadi kamu seperti tidak fokus dengan apa yang kita bincangkan,” tegur Tan Sri Mikhail. “Maaf. Saya tak berapa sihat hari ni.” Firuz Eidil mencipta alasan. Tidak sanggup dia menatap wajah Tan Sri Mikhail yang sudah merah menahan geram. Jelingan papanya itu sudah cukup membuatkan hatinya kecut. Elfira tertawa kecil. Nampak ayu di penglihatan Firuz Eidil. Hati lelakinya bergetar. “Maafkan saya Cik Amira,” pinta Firuz Eidil. “Tak apa. Jadi Encik Firuz setuju tak nak ikut saya ke Pahang?” soalnya kembali. “Ha? Ya! Berapa lama kita nak ke sana?” “Sehari pun dah cukup Encik Firuz. Pembinaan pun baru aje berjalan dalam dua puluh peratus. Jadi tak banyak yang kita nak buat. Cuma tulah, kita nak lihat sistem kerja mereka. Tapi mungkin saya kat sana tiga hari. Saja nak bercuti,” terang Elfira. “Okey. Kalau macam tu saya jemput Cik Elfira?” “Tak apa saya pandu kereta sendiri. Kita jumpa kat sana ajelah nanti.” Firuz Eidil mengangguk. Wajah Elfira ditatap lama. Tan Sri Mikhail yang perasan akan situasi itu, berdehem kuat. Membuatkan Firuz Eidil sedikit terperanjat. Pandangannya dikalihkan kepada Tan Sri Mikhail. Pandangan mereka bertemu. Firuz Eidil tidak mengerti akan pandangan papanya. “Kalau begitu Cik Amira, kami minta diri dulu,” celah Tan Sri Mikhail. “Baik. Kita jumpa lusa Encik Firuz.” “Okey, jumpa nanti.” Mereka bertiga saling berbalas senyuman. Elfira menghantar mereka sehingga ke muka pintu. Sebaik sahaja mereka melangkah pergi, Elfira menghenyakkan punggungnya di atas sofa. Firuz, Firuz, tak sangka aku, kau tergamam sampai begitu sekali. Ni kalau aku cerita pada Fea mesti dia ketawa sakan, kata hati kecilnya. Wajah Firuz Eidil yang tergamam masih terbayang jelas di ruang mata. Apakah perasaannya? Gembirakah dia melihat keadaan Firuz Eidil yang seperti itu? Sukar untuk diramal rasa hati. Apa yang dia tahu sekarang, rasa rindunya pada lelaki itu seperti terubat. Wajah Firuz Eidil yang berada di telefon bimbitnya dilihat satu per satu. Senyuman terukir di bibir. “Cantikkan Cik Amira itu?” ujar Tan Sri Mikhail memecahkan kesunyian. “Papa cakap dengan along ke?” soal Firuz Eidil. Dia cuba bersikap tenang. Walhal hatinya bergetar setiap kali papanya menyebut nama Amira. “Tak adalah. Papa cakap dengan dashboard ni.” Tan Sri Mikhail menunjukkan ke arah dashboard kereta. Firuz Eidil tergelak besar. Dia tahu papanya memerlinya. Masakan dashboard itu boleh berkata-kata. “Kenapa kamu gelak?” “Saja nak gelak.” “Along, papa serius ni.” “Okey, along gurau ajelah. Papa cakap apa tadi?” “Papa cakap Cik Amira itu cantikkan?” “Hmm... Cik Amira? Cantik! Memang cantik,” pujinya. Memang tidak dinafikan, gadis yang baru dikenalinya hampir sejam yang lalu memang cantik. Jika dibandingkan Elfira dengan Amira, memang macam langit dan bumi. Elfira tidak mampu menandingi Amira. Tapi Elfira lebih dahulu mengetuk pintu hatinya. Menyusup kalbu. Bibirnya mengukir senyuman. “Tengok tu, dia buat hal lagi. Along, along.” “Apa pa?” “Yang along senyum sorang-sorang tu kenapa? Apa yang lucunya?” “Eh, mana ada along senyum,” nafi Firuz Eidil. Aduh, malunya! “Eh, mana ada along senyum.” Tan Sri Mikhail mengejek bicara Firuz Eidil. “Papa belum butalah. Papa nampak kamu senyum. Kamu sukakan dia ya?” duga Tan Sri Mikhail. “Hisy mana ada. Mengarut aje papa ni.” “Yalah, sekarang ni mengarut. Mulut boleh nafikan tapi hati? Along, papa ni lebih makan garam daripada along tau. Sekilas papa lihat along tenung Cik Amira tu, papa dah tahu apa yang terbuku dalam hati along.” “Papa lebih makan garam. Patutlah papa ada penyakit darah tinggi,” seloroh Firuz Eidil. “Budak ni, kita serius, dia main-main pulak,” tukas Tan Sri Mikhail. Firuz Eidil ketawa kuat. “Papa, along tak ada apa-apa perasaan dengan Cik Amira tu. Along anggap dia sebagai rakan usahasama, tu aje. Lagipun buat masa sekarang ni, along malas nak fikir soal cinta. Cukuplah dengan apa yang telah terjadi dulu.” “Along masih ingatkan Julia? Along masih cintakan dia?” “Mana ada pa. Julia dah menjadi sejarah dalam hidup along. Kami tak mungkin bersatu lagi.” “Terpulanglah pada along. Lagipun along dah cukup dewasa untuk fikir mana yang baik dan mana yang buruk. Pilihan tu ada dalam tangan along.” “Terima kasih, papa.” Pandangan mereka bertemu buat seketika. Firuz Eidil kembali fokus pada pemanduan. Arahnya ialah menuju ke Firuz Land. Firuz Eidil masih tidak dapat melupakan senyuman Amira dan dia tahu ada sesuatu yang istimewa pada senyuman itu. Senyuman itu sama cantiknya dengan senyuman Elfira. L, saya rindukan awak, bisik hatinya.
Posted on: Thu, 23 Jan 2014 01:03:50 +0000

Trending Topics



ttext" style="margin-left:0px; min-height:30px;"> Judiciarys Mutually Assured Destruction 21 October 2013 By
“It’s what non-car people don’t get. They see all cars as
Hoje eu quero mandar um beijo e um abraço para alguns autores de
THE POWER OF THE KEY!!! On the 18th of December 2008, I had

Recently Viewed Topics




© 2015