Syarikat Tempatan Harus Gunakan Logistik Halal - MILS KUALA - TopicsExpress



          

Syarikat Tempatan Harus Gunakan Logistik Halal - MILS KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- MISC Integrated Logistics (MILS), sebuah syarikat penyedia perkhidmatan logistik setempat, mahu pihak kawal selia Malaysia menggesa syarikat-syarikat tempatan menggunakan logistik halal untuk mengeksport barangan mereka. "Sesetengah syarikat, terutamanya dalam perkhidmatan pengeluaran makanan, enggan menggunakan logistik halal kerana produk mereka telah disahkan oleh Jakim," kata Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Aziz Miskon, kepada Bernama semasa berlangsungnya Sidang Kemuncak Perdagangan dan Logistik Halal Global Kedua di sini. Beliau berkata, sebagai sebuah negara Islam yang berhasrat menjadi hab halal global, memastikan produk sampai ke destinasi melalui logistik halal adalah penting. "Ia juga merupakan nilai tokok bagi syarikat-syarikat itu. Ada kalanya kami ditanya oleh pelanggan kami, terutamanya dari Timur Tengah, sama ada barangan dihantar kepada mereka melalui cara halal," katanya. Dengan menggunakan logistik halal, produk-produk halal akan diasingkan daripada yang tidak halal, dan diletakkan dalam simpanan yang berasingan pada suhu tertentu untuk mengekalkan keadaannya. Abdul Aziz berkata walaupun syarikat itu mengambil risiko dengan memasuki perniagaan logistik halal, namun beliau percaya usaha niaga itu akan berkembang. Sebagai penyedia logistik pertama di Malaysia yang diperakui oleh Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) pada 2009, MILS mencatatkan peningkatan pendapatan tiga kali ganda sejak memulakan operasi. Selain logistik halal, syarikat yang merupakan vendor berdaftar Petronas itu juga menyediakan perkhidmatan logistik biasa, kebanyakannya bagi produk farmaseutikal, bahagian-bahagian kereta dan alat-alat elektronik. "Kami mengharapkan pertumbuhan berganda tahun ini," kata Abdul Aziz. Beliau berkata perniagaan logistik halal di Malaysia masih setahun jagung dan cabarannya ialah menimbulkan kesedaran dalam kalangan syarikat-syarikat besar tentang faedahnya. "Di sinilah pihak berkuasa boleh membantu. Walaupun menggunakan logistik halal melibatkan lebih kos, namun syarikat-syarikat akan meraih faedah jangka panjang," tegas beliau. Bagi hab logistiknya di Pulau Indah, Selangor, MILS telah melabur RM150 juta. Hab itu bertindak sebagai pusat setempat bebas cukai bagi logistik halal. Antara perkhidmatan yang disediakan termasuk pengurusan inventori, perkhidmatan pengangkutan dan pengedaran, pengurusan fret dan kastam dan sebuah pekarangan kontena, perkhidmatan pensterilan, inventori urusan vendor, pemasangan ringan, dan penyatuan kargo. -- BERNAMA
Posted on: Thu, 20 Jun 2013 14:48:23 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015