TAHUKAH ANDA :: KEJAHATAN YANG TERLALU BANYAK Daripada Ummul - TopicsExpress



          

TAHUKAH ANDA :: KEJAHATAN YANG TERLALU BANYAK Daripada Ummul Mu’minin, Zainab binti Jahsy (isteri Rasulullah SAW) beliau berkata, “Rasulullah SAW masuk ke dalam rumahnya dengan keadaan cemas sambil bersabda, ‘La ilaaha illallah’. Binasa bagi bangsa Arab dari kejahatan (malapetaka) yang sudah hampir menimpa mereka. Pada hari ini sudah terbuka dari dinding Yakjuj dan Makjuj seperti ini (Baginda menemukan hujung ibu jari dan hujung jari telunjuk menjadi bentuk seperti bulatan. Saya (Zainab) lalu bertanya: “Ya Rasulullah. Apakah kami akan binasa sedangkan dalam kalangan kami masih ada orang yang soleh?” Lalu Nabi SAW bersabda: “Ya, jikalau kejahatan sudah terlalu banyak.” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Kejahatan terlalu banyak Berdasarkan hadis berkenaan, Rasulullah menyatakan ‘jikalau kejahatan sudah terlalu banyak’, maka kebinasaan akan menimpa kepada bangsa Arab. Baginda mengaitkan kemunculan kejahatan dan bangsa Arab itu susulan mukjizat dikurniakan kepadanya yang mampu melihat perkara ghaib iaitu hal ‘lubang pada dinding yang membelenggu Yakjuj dan Makjuj semakin besar’. Perlu diketahui bahawa persoalan Yakjuj dan Makjuj serta tembok yang mengurung mereka disebut dua kali dalam al-Quran, iaitu dalam surah al-Kahfi ayat 94 dan surah al-Anbiya ayat 96. Dalam surah al-Kahfi, Yakjuj dan Makjuj dijelaskan sebagai orang yang membuat kerosakan di muka bumi yang ditakuti suatu kaum yang tinggal di antara dua pergunungan sehingga ketika Zulkarnain datang ke tempat itu, kaum berkenaan memohon kepadanya supaya dibina tembok penghalang daripada serangan mereka. Manakala dalam surah al-Anbiya pula, Yakjuj dan Makjuj dijelaskan akan turun dengan cepat dari tempat tinggi ketika tembok penghalang mereka terbuka sebagai tanda semakin dekatnya janji Allah SWT, iaitu hari kiamat. Persoalannya kini, adakah hanya bangsa Arab saja yang akan mengalami kebinasaan manakala bangsa lain terselamat tidak mengalami sebarang kerosakan yang dicetuskan Yakjuj dan Makjuj. Dalam hadis berkenaan, walaupun disebutkan secara khusus adalah bangsa Arab tetapi dalam realiti kehidupan manusia hari ini, kebinasaan itu bukan saja dialami bangsa Arab tetapi apa juga bangsa yang ada di dunia ini. Bangsa Arab disebut secara khusus kerana Nabi Muhammad SAW adalah dari kalangan mereka dan pada waktu itu, mereka yang menerima Islam pada masa permulaan penyebarannya adalah kebanyakannya bangsa Arab dan sedikit sekali bangsa lain. Akan tetapi, hubungan di antara bangsa Arab dengan bangsa lain amat berkait rapat. Bangsa Arab amat sinonim dengan agama Islam. Dalam Islam, bahasa Arab diangkat sebagai bahasa rasmi kerana al-Quran itu diturunkan dalam bahasa Arab. Hari ini, kemajuan dan kemunduran umat Islam dipengaruhi dengan kuat apa yang berlaku pada bangsa Arab seperti yang berlaku pada hari ini. Pergolakan di Mesir, Syria beri kesan. Negara Arab seperti Mesir dan Syria mengalami pergolakan dan ia bukan saja memberi kesan secara langsung kepada negara berkenaan serta bangsa Arab saja, bahkan negara serta bangsa lain turut terkena tempiasnya. Dapat difahami di sini, apabila suatu tempat atau negeri berlaku banyak kejahatan, kemungkaran dan mungkin juga peperangan, maka kebinasaan akan menimpa semua orang yang berada di tempat itu. Tidak hanya kepada orang jahat saja, tetapi orang yang soleh juga akan terkena tempiasnya. Justeru, hadis ini sebenarnya menyeru umat manusia supaya sentiasa berusaha membasmi dan menghalang sebarang bentuk kerosakan, kejahatan dan kemungkaran daripada berlaku di sekeliling mereka.
Posted on: Sat, 24 Aug 2013 05:28:05 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015