TAJUK : PRESIDEN DAN TIMBALAN PRESIDEN PAS MESTILAH DARIPADA - TopicsExpress



          

TAJUK : PRESIDEN DAN TIMBALAN PRESIDEN PAS MESTILAH DARIPADA KALANGAN ULAMA’ DEFINISI ULAMA Ulama adalah mereka yang mempunyai dua ciri iaitu BERILMU DAN BERTAQWA. Berilmu tapi tidak bertaqwa bukanlah ulama. Mungkin juga digelar Ulama pada bahasanya tetapi digelar Ulama Suu’. Bertaqwa tanpa ilmu pula hanya bergelar ‘Abbad. Maka, Allah Ta’ala berfirman dalam surah Fatir, ayat 28: Maksudnya : "Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang Yang melata serta binatang-binatang ternak, ada Yang berlainan jenis dan warnanya? sebenarnya Yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang Yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun." Imam Ibn Kathir (tafsir Al-Qur’an Al-Azim juz 6, hlm 545) ketika menghuraikan ayat ini menukilkan beberapa pandangan Ulama dalam menjelaskan hakikat maksud Ulama itu sendiri. Antaranya Imam Hasan Basri menyatakan orang ‘Alim ialah orang yang takutkan Ar-Rahman di kala ghaib, suka pada perkara yang digalakkan oleh Allah dan berzuhud dalam perkara yang dimurkai oleh Allah. Ibnu ‘Abbas pula menyatakan bahawa orang berilmu tentang al-Rahman ialah orang yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun, menghalalkan apa yang dihalalkan oleh-Nya, mengharamkan apa yang diharamkan oleh-Nya, memelihara wasiat-Nya dan meyakini bahawa dirinya pasti menemui Allah serta dirinya pasti dinilai berdasarkan perlakuannya. RELEVANSI PRESIDEN DAN TIMBALAN PRESIDEN DARI KALANGAN ULAMA 1. Kemampuan Ijtihad dalam Ilmu Syara’ dan Keperluan Semasa Setelah kejatuhan Khalifah Islamiyyah yang terakhir, maka tiada lagi yang berperanan untuk menjaga maslahah umat Islam dan memelihara segala kerahsian dalam pengurusan umat Islam melainkan terpikul di atas bahu Jemaah Islam yang cukup syaratnya yang telah digariskan oleh Rasulullah SAW.[3] Apabila mengepalai sebuah gerakan Islam pada masa kini dalam menyelesaikan permasalahan ummah Islam, tidak dapat tidak perlunya seorang yang pakar dalam rujukan berkaitan dengan Al-Qur’an dan As-Sunnah sebagai dasar perjuangan. Dari titik inilah, perlunya pimpinan utama PAS iaitu Presiden dan Timbalan Presiden adalah dari kalangan Ulama. 2. Timbalan Presiden adalah Presiden PAS Ketika ketiadaan atau keuzuran Presiden PAS, Timbalan Presiden adalah Presiden. Berdasarkan dari penerangan Kemampuan Ijtihad dalam Ilmu Syara’, maka Timbalan Presiden semestinya arif tentang rujukan dasar perjuangan Islam iaitu berasaskan Al-Qur’an dan As-Sunnah sekiranya berhajat kepada ijtihad semasa ketika ketiadaan Presiden PAS. 3. PAS adalah Gerakan Islam PAS adalah sebuah Gerakan Islam yang merangkumi segala aspek samada gerakan Tarbiyah, Dakwah dan Siasah. PAS bukanlah sebuah parti politik semata-mata. Oleh yang demikian, kemampuan pemimpin tertinggi membawa PAS menghayati roh sebuah Gerakan Islam sangat diperlukan. Sesiapa sahaja mampu memimpin sebuah parti politik, tetapi belum tentu dia berupaya untuk memimpin sebuah Gerakan Islam. 4. Siapa lagi yang layak menduduki kerusi Presiden dan Timbalan Presiden sekiranya bukan Ulama Sistem pendidikan di Malaysia bukanlah sama dengan sistem pendidikan di Mesir atau negara-negara arab yang lain. Sebagai contoh, Jurutera dan Doktor di negara mereka bukan sahaja menguasai bidang mereka, bahkan mereka juga pakar dalam ilmu Feqah, Usul Feqah, Tafsir, Usul Tafsir, Hadis, Ulum Hadis dan ilmu-ilmu syara’ yang lain. Berbanding dengan golongan profesional di negara kita tidak mampu menguasai ilmu syara’ tersebut. Memang tidak dinafikan bahawa terdapat sebahagian dari kalangan ini pandai menguasai Bahasa Arab, tetapi kemampuan bahasa sahaja belum lagi berupaya untuk menguasai semua disiplin ilmu tersebut. 5. PAS perlu berbeza dengan parti politik yang lain dan terus mara dengan identiti kita sendiri PAS telah meletakkan Ulama sebagai tunggak dan benteng utama bagi PAS tidak seperti parti-parti yang lain yang mana sesiapa sahaja boleh berada di hieraki tertinggi bagi parti mereka. Lebih baik dan lebih bermakna kita kekalkan keunggulan kita. 6. Kewajipan kita adalah memperkukuhkan Intitusi Ulama dan memartabatkan Ulama Kepimpinan Ulama perlu diteruskan kerana ianya adalah keputusan yang telah dibuat dalam Muktamar PAS sebelum ini terutamanya pada tahun 1982 di mana Dewan Pemuda ketika itu begitu bersemangan untuk menaikan imej Ulama dan memperanankan Ulama dalam sebuah Gerakan Islam. Dari titik tolak inilah, terbentuknya sebuah jawatankuasa Ahli Majlis Syura Ulama dan semakin rancak aktiviti Dewan Ulama PAS. SAYA TEGASKAN PRESIDEN DAN TIMBALAN PRESIDEN PAS MESTILAH ULAMA DAN MENYOKONG PENUH AGENDA KEPIMPINAN ULAMA Wallahu A’lam. Disediakan oleh : MOHAMAD HANIF BIN ABDULLAH Kuliah Usuluddin, Universiti Al-Azhar, Kaherah. Sumber rujukan : [1] Al-Qur’an Al-Karim [2] Tafsir Ibnu Kathir [3] Jundullah Tanziman karangan Syeikh Sa’id Hawwa [4] Jundullah Thaqafatan wa Akhlaqan karangan Syeikh Sa’id Hawwa [5] Ucaptema Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Muktamar PAS kali ke-58
Posted on: Tue, 10 Sep 2013 13:28:06 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015