*Tempoh Kelima (1086 M-1248M)* Meskipun Andalusia masih berpecah - TopicsExpress



          

*Tempoh Kelima (1086 M-1248M)* Meskipun Andalusia masih berpecah dalam beberapa kerajaan, tetapi terdapat satu kerajaan yang besar dan kuat serta menguasai sebahagian besar wilayah Andalusia iaitu Kerajaan Murabbitun (1086 M-1145 M) dan Kerajaan Muwahhidun (1146 M-1235 M). Kerajaan Murabbitun pada asalnya sebuah gerakan agama yang dipimpin oleh Yusuf Ibn Tashfin di Afrika Utara. Pada tahun 1062 M, sebuah kerajaan didirikan yang berpusat di Morocco. Kerajaan ini mula menawan Andalusia disebabkan undangan penguasa-penguasa Islam disana yang mulai tertekan akibat serangan demi serangan yang perlu dihadapi daripada pihak kristian. Yusuf Ibn Tashfin memasuki Andalusia pada 1086 M setelah dijemput oleh seorang putera kerajaan islam ketika itu untuk mempertahankan mereka daripada serangan Alfonso VI, raja kerajaan Leon dan Castilia. Dalam peperangan yang bernama Perang Az-Zallaqah itu, tentera pimpinan Yusuf Ibn Tashfin telah mencapai kemenangan. Bertitik tolak daripada peperangan tersebut, Yusuf Ibn Tashfin terus meluaskan wilayahnya di Andalusia dan akhirnya, Andalusia menjadi sebahagian daripada wilayah Kerajaan Murabbitun. Kerajaan Murabbitun telah mengiktiraf kekhilafahan Kerajaan Bani Abbasiah yang berpusat di Baghdad menjadikan Andalusia sebagai salah sebuah wilayah Islam dibawah Khilafah Bani Abbasiah. Namun, pengganti pemerintahan Kerajaan Murabbitun selepas Yusuf Ibn Tashfin adalah pemerintah yang lemah. Akibatnya, Zaragoza telah jatuh ke tangan kristian pada tahun 1118 M. 1143 M, kekuasaan kerajaan ini berakhir dan digantikan dengan Kerajaan Muwahhidun yang juga berpusat di Afrika Utara. Kerajaan ini diasaskan oleh Muhammad Ibn Tumart pada tahun 1121 M yang berpusat di Morocco. Pada tahun 1146 M, pemerintah Kerajaan Muwahiddun kembali merebut tanah Andalusia daripada penguasaan Kerajaan Murabbitun yang semakin lemah. Kerajaan ini cuba menawan Andalusia ketika berada dibawah pemerintaha Sultan Abdul Mu’min. Antara tahun 1114 M dan 1154 M, banyak kota-kota penting umat Islam dapat dibebaskan oleh kerajaan ini seperti Cordoba, Almeria dan Granada. Dan pada tahun 1170 M, Kerajaan Muwahhidun telah menjadikan Seville sebagai pusat pemerintahan mereka. Untuk tempoh beberapa dekad, kerajaan ini mengalami kemajuan yang pesat. Tentera kristian dapat dikalahkan dan pemberontakan dan dihapuskan. Namun, seperti mana kerajaan-kerajaan yang lain, kerajaan ini turut mengalami tempoh kemunduran mereka. Pada tahun 1212 M ketika dibawah pemerintahan Sultan Muhammad III Al- Nasir, tentera islam telah mengalami kekalahan teruk dalam Peperangan Las Navas De Tolosa di Sierra. Dalam peperangan tersebut, 4 putera kerajaan kristian iaitu Kerajaan Castilia, Aragorn, Portugal dan Navarre telah bersatu untuk memerangi dan menjatuhkan Kerajaan Muwahhidun. Kekalahan tersebut sekaligus menghancurkan dominasi Kerajaan Muwahhidun di Andalusia. Akhirnya, pada tahun 1224 M, setelah kematian Sultan Abu Yaakub Yusuf II, Kerajaan Muwahhidun mulai mengalami kemerosotan yang teruk. Kekalahan demi kekalahan yang dialami oleh Kerajaan Muwahiddun di Andalusia menyebabkan pemerintahnya mengambil keputusan meninggalkan bumi Andalusia dan kembali ke Afrika Utara pada tahun 1235 M. Andalusia kembali berpecah kepada beberapa kerajaan-kerajaan kecil yang lemah. Dalam keadaan sedemikian, umat Islam tidak mampu bertahan daripada serangan demi serangan yang dilancarkan oleh kristian melalui kempen Re Conquista. Tahun 1236 M, Cordoba akhirnya jatuh ke tangan tentera kristian. Kejatuhan Cordoba bagaikan satu kejutan untuk umat Islam kerana kota mereka yang terbesar dan terkuat sudah hilang akibat kelemahan mereka. 1248 M pula, tentera kristian berjaya menawan Sevilla menyebabkan hampir seluruh Andalusia berjaya ditawan oleh kristian kecuali wilayah Granada yang merupakan wilayah terakhir yang masih dibawah pemerintahan muslim.
Posted on: Thu, 25 Jul 2013 03:28:19 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015