Terokai kehebatan Hungary, Austria & Jerman Oleh RENE YASIN - TopicsExpress



          

Terokai kehebatan Hungary, Austria & Jerman Oleh RENE YASIN Menaiki bot mewah antara aktiviti yang terdapat di Sungai Danube. MINGGU lalu saya telah berkongsi pengalaman mengembara di dua buah negara di Eropah Timur iaitu Republik Czech dan Slovakia, menerusi keluaran ini saya akan membawa pembaca ke Hungary, Austria dan Jerman pula. Perjalanan saya ke Eropah Timur selama dua minggu dengan 24 anggota rombongan kendalian agensi pelancongan Poto Travel & Tours ini melewati pelbagai lokasi menarik yang amat mengagumkan. Saya bangga melihat bagaimana bangunan bersejarah di negara-negara berkenaan benar-benar dijaga dengan rapi sehingga mampu dikomersialkan untuk menarik kunjungan pelawat. Destinasi berikutnya ialah Budapest, Hungary, sebuah negara yang kaya dengan air panasnya. Dianggarkan terdapat seratus mata air panas yang mampu menghasilkan beribu liter air panas sehari. Sungai Danube yang adalah simbol kemegahan Budapest kerana ia sebelum ini memisahkan dua bahagian bandar iaitu Buda dan Pest sebelum kedua-duanya disatukan menjadi sebuah bandar. Di negara ini juga pengembara wajib melawat kastil Buda yang dibina pada pertengahan abad ke 14 yang turut diangkat sebagai tapak warisan dunia, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) pada tahun 1987. Istana berkenaan menjadi lambang kemegahan King Sigismund dan King Matthias pada abad berkenaan dan telah beberapa kali melalui proses pembaik pulih akibat peperangan. Semasa perang dunia kedua, kastil ini menjadi tempat perlindungan tentera Jerman yang jatuh di tangan tentera Soviet. Di Budapest juga kita boleh bergambar di Dataran Heroes yang dibina pada tahun 1896 sebagai mengingati penaklukan tentera ke atas Hungary. Di tengah-tengah monumen ini dapat dilihat simbol tujuh pemimpin yang mengetuai negara berkenaan ke Carpathian Basin pada 896 Masihi. Terletak kira-kira 140 meter ketinggian, jangan melepaskan peluang untuk melangkahkan kaki ke Bukit Gillert yang suatu ketika dahulu terkenal sebagai lokasi mubaligh Kristian menyebarkan agamanya. Di bukit itu juga terdapat monumen kebebasan yang didirikan pada tahun 1947. Ia pada asalnya dibina sebagai penghormatan terhadap tentera Soviet yang membebaskan bandar itu daripada cengkaman Nazi semasa perang dunia ke-2. Jika ada wang lebih, gunakanlah peluang menaiki feri menyusuri Sungai Danube untuk menyaksikan kecantikan bangunan parlimennya. Peninggalan sejarah Perjalanan diteruskan ke Vienna, Austria dan tumpuan diberikan di Istana Schonbrunn yang bermakna musim bunga yang indah, salah satu mercu tanda kota itu. Mengikut sejarahnya dataran ini dibina pada tahun 1569 oleh maharaja Holy Maximilian II. Maharaja berkenaan telah menjadikan kawasan ini sebagai destinasi rehatnya untuk memburu. Di Vienna, sebuah istana iaitu Hofburg adalah mercu tanda yang memperlihatkan pengaruh dan kuasa dalam sejarah Eropah dan juga Austria termasuk dinasti Habsburg. Istana itu telah berkembang menjadi tempat kediaman, gereja muzium, pusat teater dan juga perpustakaan. Selain destinasi itu, salah satu lokasi yang harus dikunjungi ialah bandar Salzburg yang dikenali sebagai bandar muzik sebagai mengingati kehebatan ahli muzik legenda Mozart yang dilahirkan pada 27 Januari 1756. Kehebatan Mozart terletak kepada bakatnya seawal usia tiga tahun apabila sudah mengenali muzik. Pada usia enam tahun dia sudah mampu menghasilkan gubahan muzik untuk dimainkan secara orkestra. Populariti ciptaan Mozart itu membuatkan namanya diangkat serata dunia selain menjadi tema dalam festival muzik antarabangsa. Perjalanan seterusnya dari Salzburg, Austria ke Munich, Jerman yang mengambil masa tiga jam membawa satu suasana luar biasa apabila ahli rombongan melalui pengalaman melihat hujan batu ketika melalui di satu kawasan. Bayangkan, ketulan-ketulan batu putih memenuhi jalan raya dan bumbung bas yang dinaiki ahli rombongan juga hingar dengan bunyi hujan itu. Apabila kejadian ini berlaku, pemandu kenderaan akan memperlahankan kenderaan masing-masing dan ada juga yang berhenti di tepi-tepi jalan kerana bimbang kemalangan disebabkan jalan akan menjadi lebih licin. Menariknya cermin kenderaan pula tidak akan retak atau pecah kerana ia dibuat untuk kalis hujan batu. Di Munich yang terkenal dengan industri automotif khususnya pembuatan kereta BMW, sesiapa yang berkunjung ke bandar ini wajarlah melawat bilik pameran kereta berkenaan. Malah, kita juga akan berpeluang melihat kereta BMW jenama terbaharu selain berpeluang untuk duduk dalam kenderaan yang dipamerkan. Kira-kira dua jam perjalanan dari Munich ke Schwangau, istana Neuschwanstein antara destinasi menarik yang dibina pada abad ke 19 di atas bukit perkampungan Hohenschwangau. Istana ini ialah lambang kehebatan King Ludwig II. Ia didirikan sebagai kediaman eksklusif peribadi selain tempat perlindungan raja yang memperlihatkan keajaiban seni binanya. Hiasan dalaman istana ini dihiasi dengan dekorasi lukisan yang cantik selain peralatan memasak di dapurnya adalah dari jenis tembaga. Malah ruang kamar juga sungguh memukau termasuklah terdapat saluran air pada singki si raja daripada mata air mineral asli dari gunung. Menariknya, walaupun istana ini dibina pada zaman kuno, percaya atau tidak ia dibangunkan dengan menggunakan banyak teknologi moden seperti adanya tempat pemanas dan penyejuk air, pam tandas automatik, loceng elektrik, peralatan telefon dan juga lif. Dianggarkan terdapat 1.3 juta pelancong mengunjungi istana ini pada setiap tahun. Bagi yang ingin membeli-belah, pakej kendalian Poto Travel & Tour akan membawa pengunjung ke Marienplatz yang termasuk dalam agenda lawatan. Di sini terdapat pelbagai kedai-kedai dan restoran selain ia merupakan hab pengangkutan terpenting di Munich. Artikel Penuh: utusan.my/utusan/Pelancongan/20130623/pl_01/Terokai-kehebatan-Hungary-Austria-Jerman#ixzz2ZPghw6oL © Utusan Melayu (M) Bhd
Posted on: Thu, 18 Jul 2013 00:55:21 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015