"Terpecahnya Dar al-Islam menjadi negara-negara bangsa yang lebih - TopicsExpress



          

"Terpecahnya Dar al-Islam menjadi negara-negara bangsa yang lebih kecil dalam tempoh yang menyusul selepas kejatuhan Khilafah adalah kesan dramatik dan terancang akibat hilangnya kedaulatan politik yang terus dideritai oleh umat Islam hingga hari ini. Negara-negara secara literalnya dicipta dengan melukis garisan-garisan di peta. Lagu-lagu dan bendera kebangsaan yang kemudiannya akan membangkitkan linangan air mata emosi warga-warga yang bersemangat berkobar-kobar telah dicipta dengan harga premium di Barat. Di bawah label palsu kemerdekaan suatu perlembagaan telah dipaksakan secara legal ke atas negara-negara baru tersebut. Perlembagaan menjadi acuan kepada undang-undang ekonomi yang mengatasi undang-undang Islam yang mana ia memihak kepada model dominasi riba pihak Barat, khususnya, dengan membawa masuk Bank Negara, Hutang Negara dan Wang Sah. Cara muamalat tradisional dihapuskan, dipadamkan dan diabaikan oleh golongan elit baru "constitutionalist" (pendukung perlembagaan) ini yang mengetuai proses yang dinamakan kemerdekaan. Amat penting untuk kita menyedari bahawa konsep keperlembagaan dalam sejarah moden Islam adalah label untuk sebarang organisasi anti-Khilafah dan anti-Islam dan kumpulan-kumpulan yang bekerja untuk menghancurkan Dar al-Islam. Kumpulan-kumpulan ini secara majoriti dikuasai oleh golongan sekular, Freemason, humanis, tali-barut penjajah (seperti Abduh, sang Mufti British) dan pengkhianat terang-terangan kepada Islam (seperti Syed Ahmed dari Aligarh) yang kemudiannya diangkat dalam cahaya populis dan diberi sifat-sifat kultus hebat yang melampaui sebarang realiti sebagai "revivalist" (pengerak kebangkitan semula) atau dalam beberapa kes, "bapa-bapa kebangsaan" melalui propaganda Negara. Sekularisme terkandung dalam Perlembagaan melalui konsep-konsep seperti toleransi agama (maka berakhirlah Hukum Kafir Zimmi dan jizyah), demokrasi, kewarganegaraan, dan cukai (maka zakat menjadi sesuatu yang sukarela). Validasi tersirat terhadap perlembagaan-perlembagaan adalah pengakuan bahawa mulai sekarang Islam yang rasmi iaitu yang diiktiraf oleh Negara, akan memaparkan suatu formulasi baru Islam yang mana sekularisme adalah bahagian yang amat penting. Maka natijahnya ialah Fiqh tradisional yang berdasarkan mazhab dimansuhkan atau dengan lebih tepat digantikan oleh Undang-undang Konstitutional dan Negara." [petikan daripada "The Gold Dinar in Pakistan" Shaykh Umar Ibrahim Vadillo]
Posted on: Wed, 02 Oct 2013 04:00:10 +0000

Recently Viewed Topics




© 2015