UCAPAN DASAR PENGERUSI PSM UNTUK KONGRES PARTI KE 15(5) 2013 - TopicsExpress



          

UCAPAN DASAR PENGERUSI PSM UNTUK KONGRES PARTI KE 15(5) 2013 PENGENALAN Terlebih dahulu saya selaku Pengerusi PSM ingin mengucapkan salam berkongres. Saya percaya ramai tidak sabar menunggu, ingin membentangkan pandangan dan usul masing-masing supaya dikongsikan bersama. Semoga cadangan-cadangan yang bernas dapat dikukuhkan lagi dengan analisis dan semangat perjuangan agar masa depan parti kita lebih cerah lagi. Diharapkan juga rakyat makin selesa mendampingi kita memperjuangkan amalan kesamarataan dan menentang segala jenis penindasan. Kali ini, saya tidak mengikut protokol yang lalu dan terus berbicara tentang masa depan PSM, mengharungi berbagai-bagai cabaran ke arah dunia Sosialisme yang bermaruah lagi berprinsip. Tujuan saya adalah menegur dan ingin pertingkatkan lagi intensiti perjuangan kita ke alaf baru yang memperkasakan rakyat menuju kesejahteraan, kesaksamaan dan keharmonian hidup. Ada program telah dan sedang dilaksanakan dan tugas kita adalah mengkaji semula keberkesanannya. Semoga teguran ini mencetuskan debat demi masa depan perjuangan Sosialisme. PILIHAN RAYA KE-13 Pilihanraya ke-13 membawa perasaan yang bersimpul dalam suka dan duka, istimewa sekali apabila rakyat mengenali perjuangan PSM menegakkan kebenaran, menentang penindasan termasuklah menghuraikan hubungan yang rapat antara Sosialisme dengan Islam. Sebelum ini, bila komrad PSM ditahan bawah EO6 dalam pelbagai tuduhan yang menggerunkan, ramai membuka mata ingin tahu tentang Sosialisme. Kita menerima sokongan yang memberangsangkan daripada masyarakat madani (civil society). Ada yang ingin menyertai PSM dan ada juga sudah mencadangkan penubuhan badan politik baru di bawah naungan Kuasa Ketiga (Third Force). HUBUNGAN DENGAN PAKATAN RAKYAT (PR) Hubungan kita dengan PR kucar kacir semasa pilihan raya dan pada masa lain, bersatu dalam usaha membanteras ketidakadilan dan salahgunakuasa. Kami diasak (bully); dimungkiri janji; lembap menangani masalah PSM; mementingkan kedudukan masing-masing dan sebagainya. Sebenarnya perkara ini berlaku dalam keadaan kita tidak kuat (dari segi jumlah ahli dan sokongan yang mantap), lantas mengharap sangat kepada ahli-ahli PR untuk meraih kejayaan dalam pilihan raya. Namun begitu, sebagai kawan PR, kita sanggup bertolak ansur bagi memudahkan PR menuju ke Putrajaya. Malangnya tindakan ini dipandang remeh dan dianggapkan satu kelemahan. Akibat daripada tindakan PR yang lekehkan semangat setia kawan ini, ramai kawan NGO, mahasiswa, individu bersimpati dan menawarkan bantuan material dan meluangkan masa menyertai ceramah-ceramah semasa pilihan raya. Apabila calon PR kalah dalam pilihan raya, maka timbullah tohmahan baharu bahawa PSM tidak membantu. Mereka tidak sebut langsung tentang sabotaj yang mereka lakukan secara terbuka dan bersekongkol (senyap) menentang calon PSM menjelang Pilihan Raya. Maka saingan satu lawan satu menjadi saingan banyak penjuru dan berpecahlah undi, memberi kemenangan mudah kepada pihak musuh. Justeru itu tidak hairanlah sekiranya PSM ingin mengkaji semula hubungannya dengan PR. KITA BERGERAK BUKAN DALAM KEKUATAN Kita cukup sedar bahawa kita memasuki arena Pilihan Raya, bukan dalam kekuatan dan mengharap sangat kepada pertandingan satu lawan satu dan menagih undi PR untuk menjaminkan kemenangan selain kerja-kerja yang pernah kita dilaksanakan bersama rakyat dalam kawasan tertentu. Ini tidaklah bermakna kita tidak mempunyai pengikut setia dan sokongan simpati namun sekira bersendirian tidak mencukupi untuk membawa kemenangan. Akibat daripada pelbagai rintangan dan sabotaj, kita terpaksa bersendirian, mengatur langkah menghadapi musuh kita dalam PR dan juga UMNO/BN. Mereka pula mengambil peluang mengeksploitasikan keadaan sepertimana yang berlaku di Kota Damansara di mana PAS penuh yakin boleh menang apabila dapat sokongan sebahagian daripada PKR dan UMNO. Namun mereka tidak berjaya menang tetapi berjaya memecah undi dan menyerah DUN Kota Damansara ke UMNO di atas dulang emas. Begitulah, mereka menang sorak tetapi kampung halaman tergadai. DUN Semenyih dan DUN Jelapang juga mengalami cerita yang agak sama iaitu kita diserang dan disabotaj oleh rakan-rakan dari PR. Apakah iktibar kita dalam kesemuanya ini ? PILIHAN RAYA BERASAKAN PERSEPSI / TANGGAPAN Bahawasanya, kita semakin sedar, politik dan Pilihan Raya bergerak atas persepsi / tanggapan (perception) dan tidak berkaitan langsung dengan berapa banyak dan nilai kerja yang dilakukan di kawasan-kawasan tertentu. Mereka yang mengeksploitasikan persepsi ini berjaya menanamkan perasaan takut; harapan tinggi; keadaan huru hara; negara akan hancur lebur akibat gangguan ekonomi; sudah terhidu dan merasakan Putrajaya dalam genggaman tangan. Kesemua persepsi ini bersilih ganti hingga masyarakat yakin bahawa apa yang ditonjolkan adalah benar belaka. Maka persahabatan, prinsip hidup, kaum, agama dan etika dijaja serta dikorbankan demi mengejar jawatan ADUN / MP / MB / PM. Maka segala tindakan haram dihalalkan. Kemungkinan besar juga, pergeseran dan persaingan antara parti-parti PR telah ditafsirkan oleh rakyat dan UMNO / BN bahawa PR lemah dan belum bersedia untuk mentadbirkan Negara. Mungkin juga kita tidak cekap menghadapi serangan (damage control) yang bertubi-tubi pada saat-saat terakhir. Kesemuanya ini mendedahkan betapa lemahnya kematangan rakyat mengupas keadaan dan masih tidak berani membuat keputusan sendiri serta dibelenggu dengan budaya duitan dan pautan (culture of dependency). Kelemahan PSM pula adalah tidak berupaya membatalkan tohmahan palsu terhadap peranan Sosialisme dan tidak gigih menanamkan semangat dan analisis Sosialisme ketika bersama rakyat menentang kezaliman dan penindasan pada masa-masa yang lampau. Di samping itu, rakyat sentiasa diracuni dengan berbagai-bagai tohmahan palsu yang menggerunkan khususnya daripada media perdana yang dimiliki pemerintah. MINDA RAKYAT DIRACUNI Justeru itu, sekiranya kita tidak mengubahkan minda yang telah diracuni itu, maka lambat laun kita pula akan percaya bahawasanya keluhan dan kehendak rakyat itu adalah benar belaka. Maka kita terikut-ikut dengan putar belit kaum, agama, wang, samseng dan video seks. Keadaan ini ada persamaannya dengan kejatuhan Sosialisme yang bermula dari Parti Rakyat menjadi PSRM (Sosialisme ala Scientifik Sosialisme) ditukar menjadi PSRM (Sosialisme Islam) bertukar lagi menjadi PSRM (Sosialisme) dan diakhiri dengan PRM (tiada Sosialisme). Ini adalah gara-gara pucuk pimpinan Sosialis yang pada masa itu tidak agresif mematahkan dan membatalkan segala tohmahan palsu terhadap ideologi Sosialisme di kalangan rakyat jelata. Mereka pula mengubah ideologi dan program mengikut rentak kehendak rakyat, yang sudah pun diracuni dengan hujah-hujah yang membencikan ideologi Sosialisme. Malangnya golongan intelektual yang pernah mengusulkan ideologi Sosialisme adalah intelektual yang sama yang menghancurkan ideologi Sosialisme tersebut. MEWUJUDKAN KEADAAN BARU DENGAN PENDEKATAN BARU Mungkin juga kita tidak arif dengan politik kotor semasa pilihan raya. Tidak sanggup bertindak menggunakan taktik kotor kerana berpegang teguh kepada prinsip hidup yang murni. Akibatnya, kita dilanyak habis-habisan. Oleh kerana kekuatan prinsiplah maka kita harus mendalami apa yang sudah berlaku di merata-rata tempat dan bersedia mewujudkan satu keadaan di mana kita tidak perlu mengikuti amalan musuh dan musuh pula tidak dapat melakukan keadaan yang jijik seperti ini (create an environment that they cannot attack us). Ini dapat dilakukan sekiranya kita menganalisis kelemahan dan kekuatan rakyat; parti sendiri; dan juga parti kawan dan lawan. Mungkin kita kena secara serius belajar dari buku Sun Tzu “ The Art of War (Seni Peperangan)” yang ditulis 3000 tahun dahulu menggunakan konsep dialektika dan persepsi untuk berstrategi dan mematahkan serangan musuh. Termasuklah buku “The Prince” oleh Machiavelli supaya kita mengenali ragam musuh kita dengan lebih jelas lagi. Benar, kita tetap bermasalah apabila kawan sendiri membelot dan menikam kita dari belakang kerana pada hemat kami mereka ini bukanlah musuh utama. Namun kita tetap dilanyak dan kita cuba bertolak ansur (atas kehendak rakyat atau perlukan sokongan PR untuk menang) dengan harapan dapat bersatu. Walhal kalau mengikut sejarah perjuangan PSM, kita tidak gentar menghadapai musuh utama (principal enemy), sanggup kena pukul dipenjara dan diheret ke Mahkamah. Masih bangun melawan. Kita pula makin sedar bahawa selagi kita tidak berusaha (secara serius) memperkasakan rakyat dengan ilmu dan analisis selagi itulah mereka dipergunakan untuk kepentingan pihak tertentu atau parti politik tertentu. Selagi itulah jugalah mereka tidak dapat menghayati perjuangan Sosialis. Sering kali pertelingkahan yang berlaku dalam parti politik sendiri (dalaman) atau antara parti-parti politik pakatan akan tertumpah di kawasan tertentu semasa pilihan raya kerana bilangan kerusi yang direbut boleh menentukan siapa harus menjadi MB dan jumlah menteri dan timbalan menteri yang harus diperolehi oleh parti politik tertentu. KEHADIRAN HALUAN KIRI MENIMBULKAN KERESAHAN Lagi pun, menjadi kebiasaan di mana banyak pihak tidak senang dengan parti berhaluan kiri kerana mampu mendedahkan kerakusan untuk cepat kaya; melahirkan kroni kawan dan keluarga, gelisah dengan perubahan yang drastik; dan berjinak-jinak dengan program kapitalis yang memiskinkan lagi rakyat. Kerana matlamat akhir pada golongan kiri bukanlah ubahsuai (fine tuning) tetapi perubahan yang menyeluruh (overhaul) terhadap sistem yang menindas dan pincang ini. Maka sesiapa saja yang ingin memegang tampuk kerajaan pusat haruslah mengambil kira tuntutan ini dan mempertikaikan acuan kapitalis yang menindas secara kejam demi mempertingkatkan keuntungan. Sambil itu, kita perlukan pemantauan yang ketat oleh rakyat jelata, agar pucuk pimpinan baru tidak menggeluncur dan kembali ke takuk lama (kapitalisme). Walaupun begitu, perubahan ini sukar dilaksanakan kerana pucuk pimpinan yang memerintah tidak memiliki ideologi yang berjiwa rakyat dan lama kelamaan terpaksa berjinak-jinak dengan kapitalis yang kaya raya, lantas memutar belitkan isu-isu kaum dan agama dan menerima rasuah. Andainya perkara seperti ini berlaku maka sudah tentu isu-isu penswastaan, cukai GST, perdagangan bebas FTA / TPPA dan undang-undang yang memihak kepada kapitalis akan berterusan. Pendek kata perubahan yang diinginkan itu bersifat kosmetik dan sementara belaka. HUBUNGAN MASALAH SETEMPAT DAN NASIONAL DENGAN IDEOLOGI Apa yang kita perjelaskan dalam kegiatan membantu masyarakat adalah penyaksian bagaimana kita menangani isu-isu semasa (resolving immediate / impending problems). Namun usaha ini tidak berkesan sekira kita tidak anjak isu-isu tersebut ke tahap yang lebih tinggi dan perlihatkannya secara menyeluruh (holistic / bigger picture). Setiap pergerakan, setiap kemenangan dan setiap kekalahan menegur kita supaya bersandarkan kepada ideologi supaya merangsangkan nafas baru, pendekatan baru dengan maklumat baru agar tidak ketinggalan dalam usaha memancarkan sinar yang dinamik kepada perjuangan rakyat. Soalnya, dengan peristiwa yang lalu, haruskah kita lebih serius lagi bubar semula wawasan kita mengikut kegiatan jangka pendek dan jangka panjang. Sejauh mana kita harus melawan arus demi menegakkan Sosialisme dan di samping itu tidak pula terpisah dengan perjuangan rakyat. Seperti pujangga Camus berkata, “ Don’t walk behind me I may not lead. Don’t walk in front of me, I may not follow. Just walk beside me and be my friend (comrade)”. Terjemahan, “ Jangan ikut belakang ku, aku tak semestinya memimpin. Jangan jalan di hadapan ku, aku tak semestinya mengikut. Jalanlah bersama ku dan jadilah kawan ku sejati.” Jelas bahawa kita perlu mengkaji kembali sejauh mana atau tahap manakah kita sudah berkembang sebagai sebuah Parti Sosialis supaya mudah mengatur langkah bertitik tolak dari kajian tersebut. IDEOLOGI YANG DINAMIK MENGAMBIL KIRA SIFAT-SIFAT SETEMPAT Justeru itu, haruskah kita analisis secara berterusan (continuous) dan berkala (periodic) terhadap perkembangan sistem ekonomi kapitalis, sistem ekonomi Islam dan ragam masyarakat serta impaknya / kesannya terhadap kehidupan harian rakyat jelata. Mengikut analisis Marx, sesuatu tamadun itu haruslah sampai ke tahap produktiviti yang tertinggi sebelum Sosialisme mengambil alih tempatnya. Namun kita juga tahu Soviet Union, China dan Cuba melangkah tahap ini menuju ke dunia Sosialisme. Walaupun kemudiannya timbul pelbagai masalah, namun begitu, setiap Negara terpaksa mengkaji kedudukan, kewibawaan dan kematangan rakyat sendiri untuk bertindak melawan arus. Bagaimana pula dengan Negara Cuba dan Negara Venezuela yang berkembang maju. Adakah sesuatu yang wujud yang dapat kita kupas supaya memberi makna kepada perjuangan kita di Malaysia. SOSIALISME DIKAMBING-HITAMKAN Bagaimana pula dengan ideologi Sosialisme di dalam Negara sendiri. Malangnya sekali, kita dibebankan dengan sejarah kekejaman semasa pemerintahan Stalin dan pembunuhan yang berlaku semasa komunis mengambil alih pemerintahan dalam beberapa minggu di Malaya. Kesemuanya ini memang ada sebab musababnya tetapi kepada musuh (pemerintah) tragedi ini dicanang habis-habisan hingga bahang kebencian dirasai oleh pendukong Sosialis kini hari, khususnya semasa pilhan raya atau pun ketika musuh sengaja ingin mencari kambing hitam untuk menutup kelemahan masing-masing. Soalnya, bagaimana kita hendak membanteras atau mendedahkan serangan seperti ini. Bagaimana kita hendak memberitahu bahawa ilmu (dialektika) atau ideologi Sosialisme ini sudah wujud semenjak zaman purba lagi (primordial knowledge) dan bukan semata-mata hak mutlak Karl Marx. IDEOLOGI DILUNAKKAN Walaupun kita berusaha mengukuhkan ideologi Sosialisme di kalangan ahli-ahli PSM namun kita sering terperangkap (dan mungkin tidak dapat dielakkan) dalam pembelaan masalah rakyat yang tertindas hinggakan masa untuk mengaitkannya dengan ideologi Sosialis terpaksa dilunakkan atau ditangguhkan. Pengalaman ini pernah kami lalui semasa zaman 80an dan awal 90an kerana tak cukup ahli (dua orang sahaja !!), sibuk lari ke sana dan ke mari, mempertahankan perobohan rumah dan menghalang penangkapan secara haram dan memang tidak ada masa untuk berideologi. Benar-benar tindakan kami itu bersifat ‘crisis oriented / fireman approach’. Kini keadaan sudah berubah dan dengan pendekatan baru dan golongan intelek yang mengambil kira amalan praxis (theory and practice), kita berpeluang sematkan ideologi Sosialis dalam segala tindak tanduk bersama rakyat hingga mereka sedar bahawa setiap tindakan ada penyebabnya dan bertalian daripada peringkat kawasan sendiri (mikro) hinggalah ke peringkat Negara (makro) yang membabitkan penguatkuasaan undang-undang yang sentiasa berat sebelah. Kesemuanya ini menjadi mudah, sekiranya kita dapat menjadualkan atau menguruskan tugas-tugas kerja supaya tidak membebankan komrad-komrad tertentu walhal orang lain juga mampu melaksanakan. Tugas ini boleh silih berganti supaya semua faham dan dapat menjalankan semua jenis tugas dengan baik. Kita sedar bahawa pihak-pihak lain juga memperjuangkan hak rakyat, namun kita berharap masyarakat umum makin mengenali sifat-sifat dan semangat Sosialisme yang sudah diabadikan dalam pelbagai aktiviti PSM. Kita sedar bahawa penyelesaian berpunca daripada masalah yang timbul dan menjadi lebih berkesan lagi apabila kita dapat suntikan pengalaman sendiri, pengalaman di tempat lain dan juga di Negara lain. Dengan cara ini penyelesaian bukan sahaja dapat mengatasi masalah setempat tetapi juga memberi pengajaran bahawa isu yang berlaku pernah juga di alami di tempat lain. Justeru kita kena memperkenalkan pemimpin-pemimpin dari tempat lain bagi mewujudkan semangat setia kawan dan solidariti. Tidak terlanjur sekiranya kita berwawasan dalam jangka panjang untuk membentuk cooperatif rakyat dan juga kilang milikan golongan pekerja. BUDAYA MEMBACA Bagaimana dengan komrad PSM tentang budaya membaca dan membincang / berdebat tentang penulisan orang-orang yang arif dalam ideologi dan ilmu lain. Mungkin ini menjadi kelemahan besar. Sepanjang kehadiran kami, kurang sangat komrad datang untuk bertanya / berbincang secara individu atau berkelompok tentang ideologi dan cuba mendapat pandangan bagaimana mengupas keraguan umum tentang ideologi Sosialisme. Kita ada kelas ideologi, bagaimana dengan sambutannya. Adakah kelas ini mewujudkan debat hangat hingga terpaksa disambung pada hari lain. Ataupun lebih banyak menerima maklumat sahaja (didactic). Kalau mereka tidak menggunakan ilmu ini semasa berbicara dengan orang lain maka kemungkinan besar mereka tidak faham. Bagaimana pula dengan dokumentasi terhadap perjuangan yang lalu. Adakah kita khaskan satu bab tentang ideologi atau sepintas lalu menyebutnya / menyelitkannya dalam pelbagai aktiviti / program. [documentation and analysis (situational and ideological) of local struggles.] Kekuatan PSM adalah pada cabang-cabangnya khususnya dalam amalan demokratik sentralisasi dan dialektik, maka komrad-komrad haruslah fasih tentang ideologi termasuklah penggunaan taktik dan strategi. PERANAN GOLONGAN PEKERJA DALAM PERJUANGAN SOSIALISME Kekuatan Sosialis berkisar kepada fahaman bahawa golongan pekerja (yang merangkumi rakyat jelata) adalah tulang belakang kepada ekonomi negara dan mereka mempunyai potensi untuk mengubah hala tuju negara kerana menerima pendedahan secara langsung terhadap penindasan dan mengenali pengurusan kapitalis yang melipatgandakan keuntungan. Namun begitu di merata-rata tempat, potensi ini tidak menjadi realiti dan sudah timbul pandangan bahawa ‘golongan pekerja sebagai kuasa revolusioner’ semakin pudar. Banyak alasan boleh diberi termasuklah kedudukan mereka lebih selesa bila dibandingkan dengan masa dulu dan jumlah pekerja dalam sektor perkhidmatan makin membesar. Sebaliknya, haruskah kita mencari arah baru seperti mendampingi tuntutan masyarakat madani (civil society) untuk terus berjuang. Ataupun mengkaji kembali nasib dan peranan golongan pekerja dalam zaman serba moden ini di mana penindasan sungguh halus dan sofistikated di sebalik pendedahan penindasan semasa yang ketara, ganas dan terbuka. PERANAN MASYARAKAT MADANI (CIVIL SOCIETY) Soalan tambahan, berapa kukuh usaha kita untuk merapatkan diri dengan golongan belia dan benar-benar memahami minda, keluhan dan wawasan mereka. Bagaimana kita dapat imbangkan idealisme dengan realiti kehidupan. Berapa rapat diri kita dengan badan-badan NGO, persatuan pangsapuri, kesatuan dan sebagainya berasaskan kepada wawasan dan kehendak setempat (fulfilling their felt needs / winning their hearts and minds). Dalam zaman yang serba moden dan perubahan yang sungguh pesat ini, peranan masyarakat madani (civil society) makin menonjol dan memberi impak kepada dunia politik dan pembangunan Negara. Oleh itu, apa yang harus kita lakukan untuk gembleng tenaga ini, kuasa ini supaya dapat mengimbangkan keperluan ekonomi / material dengan keperluan sosial. Gramsci telah membuka jalan ke arah itu. Penulisannya menunjukkan bahawa ideologinya tetap kukuh, tetapi memberi penghormatan dan tumpuan kepada peranan masyarakat madani yang mampu menjadi kuasa besar bagi mengubahkan dunia politik dan ekonomi. Walaubagaimana pun sekiranya kita ingin berkembang dalam kekuatan maka kita perlu tingkatkan jumlah ahli-ahli supaya mereka dapat menjelajahi seluruh pelosok negara membawa berita tentang perjuangan Sosialisme. PENUTUP Bukan semua yang kita pinta / idamkan itu dapat dimakbulkan. Lambat laun, kita terpaksa menghadapi realiti logistik, kekurangan ahli, isu kewangan, tidak dapat sokongan daripada pihak tertentu dan sebagainya. Maka kita kena menyusun keutamaan mengikut kemampuan kita dan rakyat. Kita pula sentiasa waspada, tidak terlalu khusus memilih lantas bergerak seperti NGO. Jelas, kita kena cari imbangan yang membebaskan mereka yang teraniaya, tertindas dan terabai serta memastikan keselesaan, keharmonian, keselamatan rakyat dan alam sekitar. Biarlah kita ambil iktibar daripada kata-kata dialektika komrad Che Guevara, “ Lets be realistic...and do the impossible” Terjemahan “ Biarlah kita bersifat realistik ...dan lakukan perkara yang mustahil.” SELAMAT BERKONGRES DAN SALAM PERJUANGAN DR. NASIR HASHIM PENGERUSI NASIONAL PARTI SOSIALIS MALAYSIA (PSM)
Posted on: Mon, 01 Jul 2013 04:41:19 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015