UCAPAN PENANGGUHAN SAYA (SATEES MUNIANDY) DALAM MESYUARAT MAJLIS - TopicsExpress



          

UCAPAN PENANGGUHAN SAYA (SATEES MUNIANDY) DALAM MESYUARAT MAJLIS PENUH MPSP YANG KE 470 PADA 29 OGOS 2013 Selamat Pagi dan Salam Bersih, Puan Yang Di Pertua, Tuan Setiausaha Perbandaran, Ahli-ahli Majlis, Ketua-ketua Jabatan, Rakan-rakan Media, Tuan-Tuan dan Puan-Puan, Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Terima Kasih kepada Pimpinan Kerajaan Negeri yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk memikul tanggungjawab yang amat bermakna sebagai Ahli Majlis – Majlis Perbandaran Seberang Perai. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Puan Yang Di-Pertua, Tuan Setiausaha Perbandaran dan semua kakitangan Majlis yang memberikan kerjasama penuh kepada saya dan rakan-rakan saya yang lain demi menjadikan Seberang Perai lebih Bersih dan lebih Hijau. Saya harap, kerjasama erat di antara ahli-ahli Majlis dan kakitangan Majlis akan terus dipelihara supaya kita dapat mencapai kejayaan yang dapat kita semua banggakan di masa akan datang. Puan YDP dan Rakan-rakan yang dihormati, Seperti yang kita semua maklum, Kerajaan Pakatan Rakyat telah kembali ke tampuk pemerintahan di Pulau Pinang untuk kali yang kedua. Sebelum tahun 2008, kita tiada satu pasukan ataupun satu manifesto yang selaras, tetapi kita telah dapat menawan Pulau Pinang. Tetapi, tahun 2013 penuh berbeza, di mana kita telah mengeluarkan satu manifesto yang bertemakan Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat, Selamat! Seperti yang kita sedar, semua Jabatan dan Badan Berkanun di bawah Kerajaan Negeri harus memberikan komitment seratus peratus untuk merealisasikan Manifesto Rakyat tersebut, yang diberi kepercayaan oleh rakyat Pulau Pinang. Majlis Perbandaran Seberang Perai juga tidak terkecuali daripada komitmen tersebut. Saya harap, kesemua daripada kita akan memberikan komitmen seratus peratus untuk mencapai matlamat Seberang Perai Bersih, Hijau, Sihat, Selamat, supaya visi untuk Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat, Selamat dapat dicapai. Topik Bersih dan Hijau, saya rasa, rakan-rakan saya yang lain akan mengupas. Bab “sihat” juga mempunyai kaitan langsung dengan kebersihan, jadi saya biarkanya untuk rakan-rakan saya untuk berbincang mengenainya. Saya ingin memberi pandangan saya mengenai aspek keselamatan dan antara langkah yang boleh diambil oleh kita di MPSP supaya, Seberang Perai muncul sebagai satu perbandaran yang lebih selamat berbanding dengan lain-lain perbandaran di Malaysia. Kita sedar, tahap keselamatan awam di Malaysia semakin merosot semakin hari, dengan kes-kes bunuh dengan tembakan sedang meningkat. Jenayah jalanan seperti samun bersenjata juga sedang meningkat, walaupun ada pihak yang cuba menenangkan kita dengan statistic yang direka. Walaupun, saya sedar aspek keselamatan adalah di bawah penyeliaan kerajaan Pusat, malah Kerajaan Negeri pun mempunyai kuasa yang amat terhad dalam hal-hal keselamatan. Tetapi saya percaya Majlis Perbandaran juga boleh memainkan peranan dalam menjadikan sesebuah kawasan itu lebih selamat. Sebagai contohnya, MPSP telah mengambil langkah untuk menerangkan cahaya lampu jalan dan kita sering mengambil langkah untuk memastikan kawasan gelap yang menjadi tumpuan jenayah jalanan, diterangi dengan lampu jalan, dengan meminta pemasangan lampu jalan yang baru. YAB Ketua Menteri, Saudara Lim Guan Eng juga telah mengumumkan bahawa lebih banyak CCTV akan dipasang, sebagai salah satu langkah untuk memerangi jenayah. Kesemua langkah ini bukan sahaja disokong oleh kami, ahli-ahli Majlis, tetapi juga oleh Rakyat jelata. Saya mengambil kesempatan ini untuk merekod di Mesyuarat ini bahawa, kawasan Perindustrian Prai, terutamanya kawasan di mana kilang-kilang multinasional seperti Canon dan Flextronics beroperasi, sudah menjadi hotspot jenayah jalanan seperti samun dan penjenayah sering mensasarkan pekerja wanita. Dalam 3 minggu ini sahaja, saya difahamkan 6 kes samun melibatkan mangsa wanita di kawasan tersebut telah dilapor. Walaupun perkara ini boleh dibawa dalam mesyuarat tahap Jawatankuasa, saya berharap atas keseriusan masalah ini, Majlis akan meminta kerjasama pihak TNB untuk menerangkan kawasan tumpuan jenayah yang dimaksudkan itu. (Sudah pun diuruskan, dan lebih 50 tiang lampu akan dipasang di kawasan ini untuk menerangkan jalan berkenaan. Telah berjumpa dengan pegawai berkenaan semalam) Puan YDP, Walaupun, kuasa kita dalam memerangi jenayah adalah amat terhad, tetapi saya percaya kalau kita ada kesanggupan untuk melawanya, kita boleh melawanya dari akar umbi lagi. Puan YDP, seperti yang kita semua sedia maklum, selain daripada penagih dadah, satu lagi kumpulan yang giat dalam jenayah jalanan adalah mereka yang menagih perjudiaan. Perjudian haram muncul sebagai punca salahlaku jenayah di kalangan pemuda. Apabila, seseorang kaki judi itu kalah semua duit dalam poketnya pada mesin judi, dia mengalihkan pandanganya dan tidak teragak-agak untuk mencuri ataupun menyamun, untuk mendapatkan duit untuk berjudi ataupun untuk menguruskan perbelanjaan lain selepas kalah semua duit gajinya di mesin judi. Gejala ini sangat serius dan saya hairan pihak berkuasa yang harus bertanggungjawab tidak mengendahkanya sehingga, pusat-pusat perjudian haram tumbuh bagaikan cendawan di mana-mana sahaja, secara terbuka. Di dalam kompleks Megamal Pinang sahaja, terdapat lebih kurang 6 hingga 7 Pusat Perjudian haram, antaranya beroperasi berselimutkan Kedai Permainan Komputer ataupun Kafe Berinternet. Saya rasa, pihak polis tidak cukup kuat dalam melawan sindiket judi haram ini. Oleh itulah saya berpendapat, sebagai PBT yang mempunyai kuasa untuk mengeluarkan Lesen Operasi kafe berinternet, kita boleh memastikan gejala perjudian haram ini dapat diperangi. Puan YDP, Mengikut jawapan yang saya terima dari pihak MPSP, dalam 6 bulan pertama tahun ini sahaja, MPSP telah mengeluarkan 24 Lesen Premis Kafe Internet, berbanding dengan 8 sepanjang tahun 2012 dan 11 pada tahun 2011. Saya ingin tahu adakah ini kerana, kita di MPSP sudah melonggarkan syarat-syarat untuk lesen premis kafe berinternet ini. Sehingga Jun 2013, hanya 15 kompaun dikeluarkan oleh MPSP kepada mereka yang menjalankan operasi tanpa lesen. Tetapi, kes-kes penyalahgunaan lesen premis dan pelanggaran undang-undang yang nyata dalam pengoperasian pusat judi haram yang berselimut kafe berinternet ini amatlah tinggi berbanding dengan statistic yang kita ada. Saya rasa, pihak Majlis perlu bertindak lebih tegas apabila berhadapan dengan pengusaha kafe berinternet yang menjalankan operasi perjudiaan haram di premis mereka. Walaupun saya diberitahu hanya PDRM mempunyai kepakaran dalam mengenalpasti kewujudan aspek jenayah siber dalam kes-kes berkenaan, namun sebagai PBT kita juga mempunyai kuasa untuk menyita premis tersebut dan untuk mengenakan denda yang berat kepada pemilik bangunan yang membenarkan operasi kegiatan yang menyalahi undang-undang di premisnya. Jika Undang-undang yang sedia ada tidak cukup untuk kita mengambil tindakan sedemikian, kita harus ada satu Undang-Undang Kecil yang baru untuk berbuat demikian. Dengan berbuat demikian, saya rasa kita akan mula memerangi jenayah dari akarnya, dan lambat laun, pusat-pusat perjudian haram ini akan berkurangan, jika perlaksanaan undang-undang dijalankan dengan penuh tegas. Puan YDP, Saya harap cadangan saya ini untuk melawan jenayah dari puncanya itu sendiri akan sedikit sebanyak membantu dalam visi kita untuk menjadikan Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat, Selamat. Saya berharap, jabatan-jabatan berkenaan, terutamanya Jabatan Perundangan akan mulakan kajian untuk kita mencari satu penyelesaian. Sekian ucapan saya, Terima Kasih dan Salam Bersih!
Posted on: Thu, 29 Aug 2013 04:25:35 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015