UMMU `IMARAH: PERIBADI WANITA PEJUANG ISLAM M SERIKANDI - TopicsExpress



          

UMMU `IMARAH: PERIBADI WANITA PEJUANG ISLAM M SERIKANDI TELADAN: UMMU `IMARAH: PERIBADI WANITA PEJUANG ISLAM Muqaddimah adinah Al-Munawarrah ialah kota yang telah dipilih oleh Allah S.W.T untuk menjadi pusat penegakan Daulah Islam yang pertama. Sirah Nabawiyah merakam usaha maksimum Rasulullah S.A.W meminta bantuan ( tholab an-nusroh ) daripada setiap kabilah Arab di Mekah yang mempunyai kekuatan, demi memperoleh kekuasaan mandiri untuk mendirikan sebuah Daulah Islam tanpa campur tangan kaum kafir. Hasil usaha bertahun-tahun, dengan izin Allah S.W.T, Rasulullah S.A.W berjaya menambat hati kaum Ansar di Madinah dengan Nur Islam. Maka bermulalah episod baru dalam sejarah Islam dengan penyertaan kaum Ansar. Pengorbanan kaum Ansar melayakkan mereka memperoleh cinta dari seluruh orang beriman. Sabda Rasulullah S.A.W, “Kaum Ansar, tidaklah mencintai mereka melainkan seorang Mukmin dan tidaklah membenci mereka melainkan seorang munafik. Barang siapa mencintai mereka nescaya Allah akan mencintainya dan barang siapa membenci mereka nescaya Allah akan membencinya" [HR Bukhari dan Muslim]. Ketokohan Wanita Ansar Sesungguhnya golongan para sahabiyah Ansar tidak pernah ketinggalan dalam mengerjakan kebaikan, malah mereka berlumba-lumba untuk mencapainya termasuk dengan berjihad. Tercatat dalam sirah sahabiyah kisah seorang tokoh wanita Ansar yang amat mencintai ilmu dan jihad serta terkenal dengan sikap gagahnya. Beliau berada di barisan hadapan ketika membela Rasulullah S.A.W di medan peperangan. Beliau adalah seorang ibu yang mulia, isteri yang setia, ahli ibadah dan juga ahli hadis. Wanita yang mulia ini digelar Ummu ‘Imarah. Nama sebenarnya Nusaibah binti Ka’ab bin Amr bin Auf bin Mabzul al- Ansariyah al-Khazriyah an-Najjariyah al- Maziniyyah. Ummu ‘Imarah banyak melakarkan corak kepahlawanan dalam lembaran hidupnya. Beliau juga termasuk penduduk Madinah yang terawal memeluk Islam dan wanita yang terawal melakukan bai’at taat kepada Rasulullah S.A.W ketika peristiwa Bai’at al- Aqabah II . Imam adz-Dzahabi rahimahullah berkata, “Ummu ‘Imarah yang mulia adalah mujahidah, beliau turut serta dalam Bai’at al-Aqabah , perang Uhud, Hudaibiyyah, Hunain dan Yamamah. Peristiwa ( masyhad ) pertama yang dapat kita lihat adalah dalam Bai’at al-Aqabah yang juga disertai oleh seorang wanita lain yang bernama Ummu Mani’ atau Asma’ binti Amrin”. Pada malam Bai’at al-Aqabah yang penuh keberkatan itu, kaum Ansar telah membuat janji setia terhadap Rasulullah S.A.W bahawa mereka akan taat kepada baginda dalam apa jua keadaan. Saat itu, baginda membacakan al-Quran dan berbicara kepada mereka sambil menyeru mereka kepada Islam seraya berkata, “Aku (balas) bai’at kalian bahawa kalian akan melindungi aku sebagaimana kalian melindungi wanita dan anak-anak kalian.” Peristiwa ini telah membuka lembaran baru buat Ummu ‘Imarah yang meletakkan nama beliau dalam senarai wanita Ansar yang menyertai perjuangan Islam. Sejurus kembali dari Aqabah ke Madinah, Ummu ‘Imarah tidak pernah berehat. Beliau sentiasa merancang strategi untuk mempersiapkan umat dengan aqidah serta pemikiran Islam agar mereka sama-sama mendokong pembentukan Daulah Islamiyah pimpinan Rasulullah S.A.W. Sifat kepahlawanan yang amat mengagumkan ditunjukkan oleh Ummu ‘Imarah semasa menyertai Perang Uhud bersama suami dan anak-anaknya. Asalnya beliau menggalas tugas menyediakan minuman bagi pasukan Muslimin yang kehausan dan mengubati orang-orang yang terluka. Namun apabila situasi tidak berpihak kepada pasukan Muslimin, sebahagian pasukan Muslimin melarikan diri dari medan peperangan. Maka beberapa orang yang tinggal, termasuk Ummu ‘Imarah, membentuk kubu pertahanan bagi melindungi Rasulullah S.A.W dengan menghunuskan pedang ke arah musuh yang menghampiri. Kesungguhannya melindungi Rasulullah begitu ketara sehingga baginda berkata, “Aku tidak menoleh ke kiri dan ke kanan kecuali melihat Ummu ‘Imarah berperang di hadapanku” . Dalam kegentingan itu, satu tikaman mengenai Abdullah, putera Ummu ‘Imarah hingga mencederakannya dengan parah. Ummu ‘Imarah mengikat luka anaknya lalu berkata, “Bangun wahai anakku”. Bingkas Abdullah bangun dan kembali melawan musuh. Rasulullah yang menyaksikan peristiwa itu bersabda, “Wahai Ummu ‘Imarah, siapakah yang mampu melakukan seperti mana yang engkau lakukan?” Tatkala Rasulullah S.A.W ternampak musuh yang menikam Abdullah kelihatan hampir, Rasulullah S.A.W memaklumkannya lalu Ummu ‘Imarah menikam betis musuh itu. “Ya Ummu ‘Imarah! Engkau berjaya membalasnya,” sabda Rasulullah melihat kesungguhan beliau. Dalam peristiwa ini, wanita mulia ini telah mengalami luka yang banyak, terutamanya di bahagian bahu. Dhamrah bin Sa’id al-Mazini meriwayatkan dari neneknya yang mengikuti perang Uhud, bahawa Ummu ‘Imarah mengalami 13 luka yang mengambil masa setahun untuk sembuh. Rasulullah S.A.W memeriksa lukanya lalu meminta Abdullah, anaknya untuk mengikat luka tersebut sambil berkata, “Semoga Allah sentiasa memberkati dan merahmati kamu semua.” Mendengar sahaja kata-kata Rasulullah itu, beliau dengan penuh harapan berkata, “Ya Rasulullah! Mohonlah kepada Allah agar kami boleh menemanimu di syurga nanti,” . Maka Rasulullah pun berdoa, “Ya Allah! Jadikanlah mereka semua ini penemanku di syurga kelak”. “Aku tidak akan mengeluh setiap musibah yang menimpa diriku di dunia ini,” balas Ummu ‘Imarah. Pengajaran Ya, inilah sifat sebenar insan yang benar- benar beriman dengan ayat-ayatNya serta mendambakan syurga-Nya. Kenikmatan serta keindahan syurga Allah dijadikan sebagai motivasi untuk bersungguh-sungguh beramal dan berjuang di jalanNya. Tidak mustahil untuk para Muslimah di zaman ini beraksi sepertimana wanita mulia ini kerana perjuangan menegakkan Islam tidak pernah pudar dalam sejarah kehidupan manusia walaupun zaman beredar. Hakikatnya, kini sejarah Nabi Muhammad S.A.W seolah-olah berulang kembali. Jika dahulu Rasulullah menjalankan dakwah berupa perang pemikiran terhadap masyarakat Arab Jahiliah, kini perkara yang sama juga dilakukan. Bezanya, dahulu yang disembah adalah patung-patung berhala, tapi kini yang “disembah” ialah sistem kufur Kapitalisme! Wahai Muslimah yang (semoga) di rahmati Allah S.W.T sekalian, saatnya kini kalian mencurahkan dan bergabung tenaga, harta dan jiwa kalian demi menjalankan kewajipan yang utama iaitu berjuang menegakkan kembali kedaulatan hukum syara’ di dunia. Sesungguhnya inilah perniagaan yang amat menguntungkan bagi mereka yang benar- benar beriman dengan hari Akhirat. Allah S.W.T berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman, mahukah kamu Aku tunjukkan satu perdagangan (perniagaan) yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? Iaitu kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui. Nescaya Allah mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan ke tempat-tempat tinggal yang baik di dalam syurga ‘Adn. Itulah kemenangan yang agung. Dan (ada lagi) kurnia lain yang kamu cintai (iaitu) pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang orang Mukmin” [TMQ as-Saff (61): 10-13 ]. Wallahu’alam.
Posted on: Mon, 19 Aug 2013 08:04:24 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015