UMNO mesti tegas, berani UMNO tidak boleh hanya bergantung - TopicsExpress



          

UMNO mesti tegas, berani UMNO tidak boleh hanya bergantung kepada desakan-desakan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk melaksana agenda memperkasa bangsa Melayu. Presiden Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar berkata, UMNO mesti ke hadapan dan mengambil tanggungjawab memperjuang agenda Melayu berdasarkan kuasa politik yang dimiliki dan hak yang sedia termaktub dalam Perlembagaan negara. Katanya, dalam beberapa perkara UMNO sekarang lebih banyak hendak mengambil hati kaum lain sehingga menjadi kurang lantang sekali gus menyebabkan banyak NGO berasa kesal dan sedih. Bagi saya, UMNO tidak boleh lagi bersikap apologetik, UMNO mesti tegas dan berani menggunakan taring iaitu kuasa yang dimiliki, tiada apa yang perlu takut kerana apa yang UMNO perjuangkan termaktub dalam Perlembagaan negara, katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Menurut Kamaruddin, perjuangan agenda Melayu yang dilaksana UMNO masih banyak yang belum selesai terutama dalam meningkatkan pendidikan kaum Melayu serta melahirkan lebih ramai profesional daripada kaum ini. Apa yang kita harapkan setiap ahli UMNO memikir, merancang dan melaksana segala dasar untuk mencapai keberkesanan matlamat dasar itu. Kita berharap ahli-ahli UMNO jangan leka dan syok sendiri, UMNO kena kembali kepada perjuangan asal seperti perjuangan dahulu yang mana matlamat perjuangan bukan mengenai kesenangan peribadi tetapi perjuangan parti," katanya. Dalam pada itu, Penasihat Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Dr. Ahmad Zaki Ismail berkata, UMNO perlu menjunjung agenda kaum sendiri kerana selama ini rakyat melihat parti itu tidak berpijak di bumi nyata dalam memberi fokus kepada matlamat perjuangan itu. Beliau berkata, oleh itu, pemimpin-pemimpin yang bakal membarisi kepimpinan parti selepas pemilihan minggu depan perlu meletakkan agenda utama itu sebagai pelan strategik demi meraih kembali sokongan rakyat tanpa hanya mengejar agenda peribadi atau semata-mata mendapat jawatan dalam kerajaan. Jelas beliau, pemimpin UMNO perlu sedar hak dan ketuanan Melayu dicabar pihak-pihak tertentu dan mereka wajib mempertahankannya sebelum berlaku perkara tidak diingini sehingga boleh meruntuhkan kaum sendiri. Semua pemimpin yang akan bertanding perlu mempunyai agenda dan pelan meraih sokongan rakyat kepada UMNO. Mereka perlu mempunyai manifesto untuk dilaksanakan secara komited sekiranya diberi mandat memegang jawatan dalam parti sekali gus mereka wajib dinilai semula adakah mereka benar-benar mengotakan apa yang dijanjikan," katanya.
Posted on: Thu, 10 Oct 2013 03:00:00 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015