Yang Berbahagia Datu Abdul Ghafur S. mencetuskan rangsangan untuk - TopicsExpress



          

Yang Berbahagia Datu Abdul Ghafur S. mencetuskan rangsangan untuk saya berkongsi aartikel saya tentang aspek bahasa dan penterjemahan. Diharapkan ada manfaatnya bagi mereka yang belum membaca artikel saya ini yang pernah diterbitkan dalam majalah Pelita Bahasa...selamat membaca BAHASA DAN PENTERJEMAHAN oleh Abang Patdeli bin Abang Muhi Lazimnya, perkembangan dan kemajuan sesuatu bahasa itu adalah seiring dengan taraf perkembangan serta kemajuan yang dicapai oleh masyarakat bahasanya. Bahkan perkembangan dan kemajuan yang bergerak pantas dalam pelbagai bidang ilmu sains dan teknologi yang dialami oleh sesebuah negara itu turut mempengaruhi perkembangan dalam bidang bahasa. Harus diingat yang Bahasa Melayu tergolong ke dalam bahasa aglutinatif, yakni jenis bahasa yang kebanyakan perkataannya dibentuk secara mencantumkan kata dasar dengan imbuhan mengikut urutan mendatar. Bagi membolehkannya memainkan peranan sebagai bahasa moden yang sempurna dan cekap, program pengekodan bahasa itu dipergiatkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Dengan adanya program pengekodan Bahasa Melayu yang sistematik dan berdaya maju, baik dari aspek ejaan, perkamusan, tatabahasa mahupun peristilahan, bahasa Melayu mampu memikul peranan dan beban sebagai bahasa sasaran dan bahasa sumber dalam bidang penterjemahan. Ratusan ribu istilah dalam pelbagai bidang yang telah digubal dan disebarluaskan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka seharusnya dimanfaatkan oleh masyarakat pengguna bahasa baik di pusat pengajian tinggi mahupun oleh pelbagai pihak dalam sektor-sektor industri dan ekonomi di negara ini. Pemindahan ilmu dan budaya daripada tamadun, bangsa serta bahasa lain atau antar-budaya dan antar-bahasa sesungguhnya memerlukan para penterjemah, yang profesional, pakar mahupun amatur, menguasai dua bahasa, yakni bahasa sumber dan bahasa sasaran. Jika ilmu atau budaya itu daripada bahasa Inggeris dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu, maka bahasa sumbernya ialah bahasa Inggeris, manakala, bahasa sasarannya ialah Bahasa Melayu. Seseorang penterjemah juga hendaknya memahami pelbagai aspek budaya bahasa sumber dan bahasa sasaran kerana masing-masing bangsa dan bahasa mempunyai makna, konsep dan tafsiran budaya yang berbeza-beza. Ungkapan “as dump as a statue” dalam Bahasa Inggeris membawa erti terus membungkam, membisu atau tidak mahu berbicara. Ungkapan itu tidak boleh diterjemahkan secara hurufiah atau harfiah, “bisu seperti tugu”, melainkan harus mengambil kira makna tersiratnya. Dalam konteks permasalahan bahasa dalam proses penterjemahan, aspek-aspek yang akan dibincangkan mencakupi permasalahan bahasa dalam sarana leksikal, sarana nahu dan sarana stilistik. Ketiga-tiga permasalahan ini perlu diketahui sebagai asas untuk menjadi penterjemah yang baik. Sarana Leksikal i. Kepelbagaian Makna Perkataan-perkataan dalam sesuatu bahasa boleh sahaja terdiri daripada kata dasar, yakni bentuk kata terkecil yang tidak menerima sebarang imbuhan mahupun bentuk terbitan, yakni yang terbentuk daripada proses perluasan kata dasar tadi melalui pelbagai cara pembentukan kata. Lazimnya dalam komposisi leksikal bahasa, kata mengandungi aneka makna ataupun bersifat polisemi. Dengan kata lain, polisemi bermaksud sesuatu bentuk kata yang mempunyai lebih daripada satu makna yang bertalian dengan satu sama lain. Lazimnya juga sistem makna kata dalam sesuatu bahasa tidak sepenuhnya sama dengan sistem makna kata yang sepadan dalam bahasa lain. Sebagai contoh, kata bahasa Inggeris general, yang bererti umum dalam bahasa Melayu, sesuai dengan salah satu maknanya, iaitu bersifat menyeluruh. Sedangkan kata general juga mendukung makna-makna yang berikut: agung dalam Secretary-General (Setiausaha Agung), ketua dalam Director-General (Ketua Pengarah) dan negara dalam Attorney-General (Peguam Negara). Contoh-contoh lain : Bahasa Inggeris Bahasa Melayu General Jeneral (jawatan) General Degree Ijazah am General election Pilihan raya umum General Hospital Hospital Umum General Manager Pengurus Besar General public Orang awam Inspector-General of Police Ketua Polis Negara ii. Keluasan Pengertian/Kesempitan Pengertian Di samping kepelbagaian makna, wujud juga gegala keluasan pengertian atau “non-differential”. Ertinya, suatu kata dalam sesuatu bahasa tertentu yang mengandungi pengertian lebih luas (non-differential), dan yang berkemungkinan mengandungi pengertian yang lebih sempit (differential). Contohnya, kata body dalam bahasa Inggeris yang boleh diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu menjadi dua kata atau lebih, yakni badan, tubuh atau mayat yang masing-masing mempunyai pengertian yang lebih sempit berbanding kata body. Demikian juga dengan kata rice dalam bahasa Inggeris, boleh sahaja diterjemahkan menjadi padi, beras dan nasi yang setiap satu mengandungi pengertian yang lebih sempit berbanding kata rice. Bayangkan sahaja permasalahan yang bakal kita hadapi apabila menterjemahkan ayat yang berikut : The chicken eat rice. Apakah agaknya yang dimakan oleh sang ayam : nasi, beras atau padi? Kata chicken secara harfiahnya bermaksud ayam, bagaimanapun, dalam budaya Inggeris, chicken juga menyirat makna penakut atau pengecut. Justeru, chicken-hearted bukan bermaksud “berhati ayam”, tetapi mendukung makna pengecut atau penakut. Manakala, chicken out bermaksud menikus, kerana tikus dianggap haiwan yang penakut dalam budaya Melayu. Gejala aneka makna ataupun keluasan pengertian dan kesempitan pengertian boleh sahaja menimbulkan masalah dalam proses terjemahan. Memilih kata-kata yang mengandungi pengertian yang sempit ialah satu-satunya jalan terbaik dalam penterjemahan, bagaimanapun, para penterjemahan harus melihat konteks penggunaan kata-kata tersebut seperti kata rice dalam contoh ayat di atas; tentu sahaja ayam biasanya makan padi. iii. Medan semantik Wujud juga gejala dalam ilmu linguistik yang dinamai medan semantik, iaitu kelompok kata yang maknanya mengandungi komponen semantik umum. Contohnya, kata sifat red (merah), light blue (biru muda) atau apple green (hijau daun pisang) yang masing-masing mempunyai makna leksikal kendiri, bagaimanapun, menurut medan semantiknya pula berkaitan dengan warna. Namun, apabila digunakan dalam ayat atau ungkapan tertentu, ada yang membawa makna yang berbeza. Perhatikan contoh ayat dan ungkapan yang berikut : He turned red with awkwardness diterjemahkan sebagai Mukanya menjadi merah padam kerana malu. Green fruit diterjemahkan sebagai buah muda, manakala out of the blue membawa maksud muncul dengan tidak disangka-sangka. Kata brown juga mendukung pelbagai makna dalam bahasa Inggeris. Brown (warna) boleh bermaksud perang atau coklat bergantung pada penggunaannya dalam sesuatu ayat. Malahan, kata itu boleh juga mendukung makna “asyik” dalam konteks ayat “Be in a brown study” (sedang asyik berfikir), manakala, ungkapan brown bag bermaksud bekal dalam Bahasa Melayu. Ayat To save money, I always brown bag at the middle of the month (Untuk menghemat, saya selalu membawa bekal sendiri pada setiap pertengahan bulan). Perkataan neck juga mendukung pelbagai makna, selain daripada makna leher. Risk one’s neck bermaksud menggadai nyawa. Save one’s neck bermakna melepaskan ataupun menyelamatkan diri, manakala turtle-neck (pakaian) bermaksud cekak musang, dan necklace membawa maksud kalung atau rantai leher. Kata honey dalam bahasa Inggeris mempunyai pelbagai makna, dan bahasa Melayu pula kata itu secara hurufiahnya bermaksud madu. Perkataan honeymoon boleh bermaksud berbulan madu ataupun bulan madu, bergantung pada konteks penggunaan dalam sesuatu ayat. Ungkapan “my honey” bukan bermakna “maduku” , melainkan bermaksud “sayangku” . Kata honey juga mendukung makna buah hati atau jantung hati. Peribahasa “Air one’s dirty linen (laundry) in public bermaksud mendedahkan atau menyatakan keaiban diri sendiri di khalayak umum. Peribahasa itu boleh sahaja bermaksud “membuka pekung di dada” atau “menampar air di dulang terpercik ke muka sendiri”. Demikian juga dengan peribahasa “as dumb as a statue” seperti yang dinyatakan pada awal rencana ini boleh mendukung pelbagai makna. Ayat “When I asked for her consent take my leave, she is as dumb as a statue.” boleh diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu menjadi “Semasa saya meminta persetujuannya atas kepergian saya, dia membisu seribu bahasa.” Dari segi semantiknya kata dumb itu akan membawa pengertian yang lain daripada makna bisu jika diterbitkan menjadi kata majmuk. Dumb-waiter mempunyai dua makna yang berbeza. Pertama, kata majmuk itu bermaksud “sejenis alat seperti rak (biasanya yang boleh dipusing) untuk meletakkan makanan. Makna keduanya ialah kotak yang bertingkat-tingkat di dalamnya dan diturun-naikkan melalui satu lubang untuk membawa makanan dari satu tingkat bangunan ke satu tingkat yang lain. Hal yang dinyatakan di atas penting diambil tahu oleh para penterjemah, khususnya sewaktu mencari padanan kalimat atau ungkapan dalam proses penterjemahan. Seboleh mungkin kata-kata, ungkapan ataupun kalimat yang mempunyai medan semantik yang sama diutamakan dalam penterjemahan. Sarana Nahu i. Bentuk-bentuk Tunggal dan Jamak Seseorang penterjemah juga sering terjebak dengan permasalahan bahasa yang mencakupi soal perbezaan sistem nahu kedua-dua bahasa, sama ada bahasa Melayu ataupun bahasa Inggeris. Baik dalam bahasa Melayu mahupun bahasa Inggeris, nominal terdiri daripada bentuk tunggal (singular) dan jamak (plural). Bagaimanapun, berbanding dengan bahasa Inggeris, bahasa Melayu tidak memiliki ciri-ciri khusus yang membezakan bentuk kata nama tunggal dengan kata nama jamak. Umumnya bentuk jamak dalam bahasa Melayu dinyatakan dengan kaedah penggandaan kata-kata yang berkenaan, seperti rumah menjadi rumah-rumah, tinggi menjadi tinggi-tinggi, putih menjadi putih-putih dan lima menjadi kelima-lima . Bentuk jamak boleh juga dinyatakan dengan membubuh kata bilangan seperti sembilan ringgit, segala perubahan, beberapa perkara, para menteri dan banyak gejala. Dalam bahasa Inggeris, bentuk jamak ditandai oleh morfem -s (kingmaker – kingmakers), morfem –en ( ox – oxen), dan dengan perubahan vokal –oo- kepada –ee- (tooth – teeth) serta vokal –a kepada –e (woman – women). Tambahan pula, dalam bahasa Inggeris ada beberapa nominal yang memang dalam bentuk jamak, bagaimanapun, membawa makna tunggal. Bentuk-bentuk sebegini diterjemahkan ke dalam bahasa lain dalam bentuk tunggal. Antara contohnya ialah afterwards (kemudian, kelak) , checkers (permainan dam), lazybones (pemalas) dan lens (kanta). ii. Kategori Kata Bantu Aspek Kata bantu aspek dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris boleh diperlihatkan dengan penunjuk waktu. Antara bentuk kata bantu aspek ialah sudah, telah, pernah, baru, sedang, masih, akan, mula dan belum. Perkara ini boleh dilihat daripada contoh ayat tunggal dan ayat majmuk bahasa Inggeris yang berikut : The General Manager will be on leave for a fortnight (Pengurus Besar akan bercuti selama dua minggu). ii. Kategori Genus Sistem nahu yang kedua yang sering kali menimbulkan permasalahan kepada penterjemah ialah kategori genus. Bahasa Melayu seperti juga bahasa Inggeris mempunyai kategori genus seperti –wan, –man, –wati dan –nita. Antara contohnya ialah jelitawan (beautiful lady atau beautiful girl), seniman (artiste) , biarawati (nun) dan biduanita (female artiste). Bagaimanapun, apabila menterjemahkan kata monk, akan ada dua terjemahan untuk kata tersebut, dan si penterjemah hendak tahu konteks : rahib (Kristian) dan sami (Buddha). Demikian juga jika menterjemahkan ungkapan beautiful lady: jelitawan, gadis anggun, wanita cantik atau gadis rupawan? Sarana Stilistik Satu lagi permasalahan bahasa yang barangkali akan dihadapi oleh para penterjemah ialah perbezaan norma-norma stilistik antara bahasa sumber dan bahasa sasaran. Mana-mana bahasa mempunyai sistem fungsional yang berkait rapat dengan gaya bahasa (stilistik). Kendatipun, terjemahan tidak akan cacat dari perspektif norma-norma nahu dan leksikal, namun demikian, boleh sahaja terencat lantaran melanggar norma-norma stilistik bahasa sumber. Kata bahasa Inggeris imperative yang bermaksud penting atau mustahak dalam Bahasa Melayu, gaya bahasanya agak bersifat formal berbanding dengan important yang juga membawa makna penting, perlu atau mustahak, bagaimanapun, boleh digunakan dalam perbualan harian. Satu lagi contoh ayat dalam bahasa Inggeris yang dipetik daripada novel Midnight’s Children yang mungkin tidak terlalu sukar untuk diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, bagaimanapun, yang perlu diberikan perhatian ialah aspek stilistiknya: His beard was thick and red – and annoyed his mother, who said only Hajis, men who had made a pilgrimage to Mecca, should grow red beards (Janggutnya lebat dan perang kemerah-merahan – dan menjengkelkan ibunya, yang mengatakan bahawa hanya Haji, orang yang telah menunaikan fardu haji ke Mekah, patut menyimpan janggut). Kata seteru atau musuh juga berkait dengan gaya bahasa seperti halnya karyawan memilih untuk menggunakan kata foe atau enemy dalam bahasa Inggeris. Demikian adanya beberapa contoh yang menjadi penanda penting dalam penterjemahan yang mematuhi peraturan yang tidak hanya terikat dengan norma-norma leksikal dan nahu, bagaimanapun, juga berkaitan dengan norma stilistik bahasa sasaran dan bahasa sumber. Sistem gaya yang fungsional, yakni yang sama ataupun hampir-hampir sama dalam aneka bahasa, acap kali bercirikan tanda-tanda yang berbeza. Justeru, memindahkan begitu sahaja ciri-ciri stilistik bahasa sasaran kepada bahasa sumber tidak akan menghasilkan terjemahan yang mencukupi. Pada kesempatan lain, kita akan berbincang tentang pelbagai jenis terjemahan, dan aspek budaya dalam penterjemahan yang wajar diketahui oleh bakal penterjemah.
Posted on: Wed, 06 Nov 2013 23:33:00 +0000

© 2015