best cerpen nih,lg best daripada SSID Ili memandang foto di - TopicsExpress



          

best cerpen nih,lg best daripada SSID Ili memandang foto di dalam bingkai kayu berukir itu dengan mata berkaca. Gambarnya bersama Najwa berangkul mesra di tepi dinding al-Hambra di Sepanyol, ditatapi dengan penuh rasa. Itu tiga tahun yang lalu. Ketika itu musim sejuk. Ili, Najwa dan beberapa orang lagi rakan-rakan mereka telah mengambil keputusan untuk melarikan diri dari cuaca maha sejuk di Russia dengan pergi berjaulah ke Sepanyol yang cuacanya tidaklah terlalu kejam. Jaulah. Jalan-jalan. Perkataan yang masih asing buat Ili ketika itu. Persahabatan dengan Najwa bukanlah suatu persahabatan yang sengaja. Bukan juga dirancang. Sekurang-kurangnya pada pandangan mata mereka berdua. Mereka sudah berkenalan sejak di bangku kolej lagi. Ketika itu mereka menuntut di Kolej Mari Belajar, sebuah kolej persediaan ke luar negara. Namun kedua-duanya ibarat langit petala ketujuh dengan kerak bumi lapisan ketiga. Najwa yang sememangnya berasal dari sekolah agama, bertudung labuh, sentiasa berjubah, lembut dan sopan-santun percakapannya memang kelihatan amat berbeza sekali dengan Ili. Ili yang berasal dan dibesarkan di bandar besar, amat ranggi orangnya. Rambut lepas menggerbang, suka berbaju tee sendat dan berseluar jeans; mana-mana lelaki yang yang melaluinya pasti tidak gagal untuk memandangnya buat kali kedua. Orangnya cantik dan manis sekali. Juga ceria dan peramah orangnya. Ketika di kolej dahulu, mereka ibaratnya kenalan bila perlu sahaja. Maknanya, apabila ada urusan-urusan tertentu yang memerlukan mereka berhubungan, baharulah mereka akan bertegur-sapa. Selebihnya, mereka adalah dua orang yang punya kehidupan dan urusan yang tersendiri. Masakan tidak, Najwa sering sibuk dengan program-program keagamaannya. Hampir setiap malam pasti ada aktiviti atau liqa yang perlu dihadirinya. Hujung minggu pula pasti dipenuhi dengan daurah atau rehlah. Ili? Malamnya akan dipenuhi dengan lepak-lepak di kafe bersama rakan-rakan sekepala. Atau sekali-sekala dia akan bertemu-janji dengan kekasih hati, Zaki. Hujung minggunya, sama ada ayahnya akan datang mengambilnya dengan Audi Q5 berwarna perak keputihan itu untuk pulang ke rumah, atau dia akan keluar ke bandar bersama rakan-rakannya. Tahun akhir mereka di kolej itu, berlaku sesuatu yang kurang enak yang menyebabkan berlaku perang dingin antara geng usrah dengan geng free hair. Kisahnya bermula apabila Majlis Perwakilan Pelajar yang ingin menganjurkan Majlis Makan Malam Perpisahan untuk para pelajar senior tahun itu. Majlis Perwakilan Pelajar berhasrat untuk meletakkan kod pemakaian dalam memberi panduan kepada para pelajar agar tidak memakai pakaian yang menjolok mata atau yang pelik-pelik. Hal ini telah mendapat tentangan yang hebat daripada segelintir pelajar. Antara kepalanya adalah Ili. Mereka yang aktif dengan program-program agama pula telah mengugut untuk memboikot majlis itu seandainya Majlis Perwakilan Pelajar tunduk kepada tekanan geng free hair. Akibatnya, huru-hara satu kolej dengan insiden tersebut. Ili merasakan geng usrah ini terlalu kolot. Jumud! Dan Najwa bersama rakan-rakannya yang lain pula pening memikirkan keekstreman Ili dan rakan-rakannya. Buntu. Akhirnya selepas campur tangan pihak atasan kolej, Majlis Perwakilan Pelajar terpaksa menarik semula kod pemakaian yang telah dikeluarkan. Ili dan rakan-rakannya merasakan satu kemenangan manis buat mereka. Geng usrah bertekad untuk tidak menghadiri Majlis Makan Malam tersebut, walaupun ia dianjurkan untuk mereka juga. Ili tidak peduli, yang penting dia dapat berseronok dan bergaya pada malam itu nanti. Puas! Selepas insiden tersebut, seolah-olahnya ada dua aliran di kolej tersebut; sekurang-kurannya di kalangan para pelajar perempuan. Sama ada mereka bersama dengan geng usrah atau dengan geng free hair. Tiada antara tengahnya. Hubungan antara dua kumpulan ini kadangkala boleh menjadi sangat tegang, sehinggakan di blok asrama juga mereka mengasingkan bilik mengikut ideologi masing-masing. Masing-masing keras kepala. Masing-masing mahu mempertahankan ego dan kepentingan bersama. Kononnya. Akhirnya masing-masing bersetuju untuk membawa urusan dan hal masing-masing, tanpa menjaga kain, seluar mahupun tudung orang lain. Para pelajar lelaki hanya tertawa geli hati melihatkan karenah dan perangai rakan-rakan perempuan mereka. Macam budak-budak, kata mereka. Dan hal ini berterusan sehinggalah semuanya habis belajar di Kolej Mari Belajar itu. Tiada majlis bermaaf-maafan. Tiada bersalam tangan atau berpeluk cium tanda tiada lagi dendam perasaan. Tiada. Ketika keputusan penempatan universiti diumumkan, Ili terasa seperti hendak pengsan apabila mengetahui dia adalah satu-satunya daripada rakan-rakan baiknya yang akan melanjutkan pelajaran ke Russia. Moscow Medical Academy. Lebih mengharu-birukan apabila dia mendapat tahu yang Najwa juga mendapat tempat yang sama. Bertungkus-lumus dia turun naik pejabat MARA untuk merayu agar permohonannya untuk menukar universiti diterima. Dia ingin ke United Kingdom, bersama Girlfriends Forever-nya yang lain. Puas juga dipujuk-rayu ayahnya, seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk untuk menggunakan kabel yang ada untuk memudahkan urusan pertukaran universiti. Mujurlah ayahnya enggan bermain kotor. Mujur juga MARA tidak meluluskan permohonannya. Mujur. Kerana bukan kebetulan Ili dan Najwa akhirnya akan bersahabat di bawah teduhan pohon-pohon syurga. Bukan kebetulan, tetapi sudah suratan. Hari itu Ili dirudum masalah. Bukan calang-calang masalah, tapi masalah yang menyebabkan dia tidak dapat tidur malam. Masalah yang menyebabkan dia tidak lalu makan. Masalah yang mengakibatkan hatinya resah gelisah sepanjang masa dan ketika. Segala apa yang dilalukannya tidak kena. Zaki menelefonnya. Nun jauh dari Australia sana. Pada mulanya agak berat untuk Zaki menuturkannya. Namun selepas dipaksa dan didesak Ili, akhirnya terpacul juga daripada mulutnya. Zaki mahu putus. Ya, Zaki mahu memutuskan hubungan mereka yang sudah mahu masuk tahun kedua Oktober itu. Ili tergamam mendengarnya. Dia tidak tahu bagaimana mahu memberikan reaksi. Hanya air matanya sahaja yang berkata-kata. Ya, dia tahu sejak kebelakangan ini mereka banyak bergaduh dan bertekak. Semuanya gara-gara hubungan jarak jauh yang dijalinkan mereka. Ili rasa tidak selamat. Cemburu. Buta. Dan Zaki menjadi rimas dengannya. Namun tidak pernah disangkanya yang Zaki akan mengambil keputusan sedrastik itu. Ilu cuba memujuknya dalam sedan. Dia merayu dalam sedu. Ili berjanji yang dia tidak akan cari fasal lagi selepas ini. Dia berazam untuk menjadi teman wanita terbaik buat Zaki. Namun Zaki sudah tawar hati. Dia merasakan perhubungan itu tidak akan menjadi. Tidak ke mana. Dia berulang kali mengucapkan maaf kepada Ili. Dia berharap selepas itu mereka dapat berkawan seperti biasa, dan tidak bermasam muka berkata cuka. Selamat maju jaya! Teeeetttt. Telefon diletakkan. Ili mencampakkan iPhonenya. Protes. Dia menjerit sekuat hatinya. Mujurlah dia tinggal di dalam bilik seorang diri. Jika tidak pasti akan ada yang menyangkanya sudah tidak waras atau ringan kepala. Dia buntu. Dia haru. Dia biru. Dia benar-benar tidak keruan ketika itu. Dan rakan-rakannya baik semuanya ribuan batu jauhnya darinya. Dia memerlukan seseorang. Dia memerlukan bahu untuk dia menangis sepuas-puasnya. Entah mengapa tiba-tiba dia teringatkan Najwa. Dia berkira-kira untuk menelefon perempuan itu. Ah gila. Dia capai iPhonenya kembali. Mujur masih ok. Dia tatal senarai kenalan yang ada di dalam telefon pintarnya itu. Najwa. Ya, nama dan nombor telefon Najwa ada di situ. Hatinya berdebar-debar. Dia terdesak. Ini gila! Seperti dikawal oleh pengawal jarak jauh, tangannya tiba-tiba menekan paparan Send Message. Dan entah mengapa tangannya laju menekan aksara-aksara pada paparan digital telefonnya itu. Salaam. Najwa, r u free nw? I need 2 talk. Ili menunggu penuh debar jawapan balas. Dia separuh menjangkakan yang mustahil Najwa akan menjawab mesejnya itu.Separuh lagi dia amat berharap Najwa akan membalasnya. Selang beberapa minit selepas itu, iPhonenya berkicau, tanda ada mesej baru yang masuk. Dia segera menyambar telefonnya itu. Wsalaam. Hmm, sory. Ada usrah la. Nething? Ili hampa. Dia sudah mengagaknya. Perempuan itu tidak mungkin mahu bercakap dengannya. Apa yang aku fikirkan...?? Ssokay. Dia menghempaskan badannya ke katil. Air matanya tidak tertahan-tahan lagi. Tidak pernah seumur hidupnya merasakan sesuatu seperti itu. Kosong. Dia merasakan dirinya ketika itu ibarat tunggul kayu yang tiada gunanya lagi. Jasad tanpa ruh. Kosong. Kosong... Ili terlena dalam rengekannya. Entah berapa lama selepas itu, dia bermimpi. Dia berada di tengah-tengah hutan tundra. Pokok-pokoknya jarang-jarang. Salji putih memenuhi ruang-ruang kosong yang ada. Dia menggigil kesejukan. Dan dia keseorangan. Dia berjalan-jalan tanpa arah, mahu mencari jalan keluar. Keliru. Tiba-tiba muncul seekor arnab putih yang berlari-lari betul-betul di hadapannya. Kemudian arnab itu berhenti dan memerhatikannya. Comel. Ili sedikit terhibur melihat gelagat makhluk putih itu. Kalau bukan kerana matanya yang berwarna hitam, sudah tentu dia tidak dapat membezakan arnab itu dengan timbunan salji yang ada. Tergerak hatinya untuk mendekati arnab itu. Telinga panjang arnab itu berkuis-kuis. Lantas ia berlari lagi. Kali ini Ili mengejarnya. Arnab itu berlari laju. Mengah Ili mengejarnya. Kini mereka sedang berlari-lari di sebuah dataran putih ditutup salji. Sudah naik beku kaki Ili dibuatnya. Namun Ili terus mahu mengejar arnab putih itu. Seolah-olahnya dia tidak punya pilihan melainkan mengejarnya. Tidak semena-mena arnab itu berhenti. Arnab itu berhenti di hadapan sebuah pintu besar kayu berukir indah. Entah bagaimana pintu itu tiba-tiba berada di situ. Ili yang baru sahaja tiba, masih mencari nafas bagi melegakan lelahnya. Arnab itu kini berdiri betul-betul di sebelahnya. Tidak takut. Dan tidak berlari lagi. Ili kini lebih berminat dengan pintu itu berbanding arnab tembam di sebelahnya. Tiba-tiba pintu itu diketuk dari arah yang berlawanan. Ili kaget. Pintu itu hanyalah sebingkai pintu, tidak terlekat pada mana-mana dinding atau binaan. Masakan ada orang yang mengetuknya? Pintu ajaibkah? Ili kehairanan. Dia penuh keterujaan berbanding ketakutan. Ili. Ili..! Namanya dipanggil di sebalik pintu itu. Dia tekad. Dia mahu memusingkan tombol pintu berwarna gangsa keemasan itu dan meneroka apa yang ada di sebaliknya. Apa yang nak jadi, jadilah! Dia memegang kemas tombol pintu itu. Ditariknya udara sejuk hutan tundra yang segar itu dalam-dalam. Ili! Dia terjaga dari lenanya. Kelopak matanya dibuka perlahan-lahan. Dia mamai sebentar, tidak pasti dia berada di alam yang mana. Kemudian dia terdengar ketukan pada pintunya. Perlahan tapi tegas. Assalamu alaikum. Ili, are you there..? Najwa. Ili menggosok matanya. Tahi mata memenuhi kelopak matanya, dek air mata yang kekeringan. Perlahan-lahan dia bangkit menuju pintu. Dia tidak pasti sama ada dia mahu membenarkan Najwa masuk atau tidak. Ili..? Pintu terkuak. Kelihatan Najwa yang berseluar jeans, berbaju blaus labuh dengan kardigan tebal dan bertudung litup tercokoh di depannya. Najwa tersenyum manis. Namun keningnya memberikan isyarat kehairanan. There you are. Awak ok..? Tidak semena-mena Ili menyambar Najwa. Dipeluknya Najwa erat-erat sehinggakan Najwa sedikit kaget dengan tindakan Ili itu. Dada Ili berombak kuat. Sedu-sedan mula kedengaran. Hey.. Kenapa ni..? Najwa membiarkan bahunya dipinjam Ili untuk ditangisi puas-puas. Diusapnya belakang Ili dengan cermat. Janggal, tapi seperti ada sedikit kasih di situ. Selepas beberapa ketika, baharulah Ili mengangkat kepalanya. Mukanya monyok. Hidungnya comot dengan hingus. Matanya merah dengan tangis. Rambutnya masai, tidak terurus. Diajaknya Najwa masuk ke dalam biliknya. Itulah pertama kali, semenjak dua bulan mereka di negara bekas komunis itu, dia masuk ke dalam bilik Ili. Mewah. Penuh dengan pelbagai hiasan dan aksesori. Entah beraneka poster artis dan selebriti yang ditampal di dinding. Seorang pun tidak dikenali Najwa. Namun Najwa tidak punya masa untuk menelaah bilik Ili. Mungkin lain kali. Fokusnya kini pada Ili. Ili mengajak Najwa untuk duduk di atas katil. Najwa terasa sedikit kekok. Ili pantas bersila di atas katilnya. Dengan hanya berseluar pendek, Najwa segan melihat teletah Ili. Najwa duduk di hujung katil, tidak pasti apa yang patut dilakukannya. Tidak pasti mengapa dia di situ. You...came. Najwa tersenyum nipis mendengar dua patah perkataan itu. Awak patut berterima kasih pada Allah. Dia yang suruh saya datang ni.. Huh..? Maksud awak..? Najwa berkira-kira untuk memberitahu Ili apa yang berlaku. Well.. Kan saya bagitau yang saya ada usrah tadi kan..? Ili mengangguk perlahan. Usrah. Hmmm... Tadi ditakdirkan baca surah Abasa... Oh. Meaning..? Err... Ah.. Allah tegur saya. Dia tanya saya.. Dia tanya kenapa saya berpaling, bila awak sms tadi. Dia (Muhammad) telah berwajah masam dan berpaling. Kerana seorang buta telah datang kepadanya. Dan tahukah engkau (Muhammad) barangkali dia ingin menyucikan dirinya (dari dosa), atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, yang memberi manfaat kepadanya? [Abasa, 80:1-4] Huh..? Allah tanya awak? He literally asked you..? Mata Ili membundar. Dia sedikit terkejut mendengar kata-kata Najwa. Dia ibaratnya terlupa sebentar dengan masalah yang sedang dihadapi. Teruja. Najwa tertawa kecil. Never mind. Hah, awak ni kenapa..? Macam orang meroyan je saya tengok ni. Ili tersenyum kelat. Walhal dia sedang krisis. Namun perkataan meroyan itu menggelikan hatinya. Kini dia teringat kembali pada Zaki. Pada perhubungan cinta yang telah terputus. Air matanya tumpah membasahi pipi. Thanks Najwa. Er. Untuk..? Thanks...for being here. Thank you. Ili tersenyum. Ikhlas. Matanya berkaca. Wala gholib ilallah. Dan tiada penakluk selain daripada Allah. Penuh dinding-dinding di Istana al-Hambra dengan ukiran tersebut. Memukau. Hanya mata-mata yang pernah melihatnya dari dekat sahaja yang dapat menghargai keindahan dan keunikan Istana al-Hambra. Dan sepasang mata yang satu ini, sejak menjejakkan kakinya ke dalam perkarangan al-Hambra, hampir-hampir tidak berkelip, menikmati setiap inci daripada ukiran yang cukup mempesonakan itu. Lidah Ili juga tidak henti-henti mengucapkan syukur dan tasbih memuji kebesaran Allah. Binaan ratusan tahun itu cukup memukau dirinya. Dia yang sememangnya minat pada seni fotografi tidak henti-henti menekan punat kamera Nikon D5000 miliknya. Entah beraneka sudut dan bermacam sisi yang telah diabadikan dalam kameranya. Najwa hanya tersenyum melihatkan gelagat Ili. Lebih tersenyum apabila memikirkan Ili yang pada mulanya enggan menyertai jaulah ke Sepanyol itu. Segan - alasan yang diberikan Ili. Najwa faham benar dengan alasan Ili itu. Kalau dia berada di dalam kasut Ili, sudah tentu dia sendiri yang akan segan. Masakan tidak. Baru sebulan lebih Ili menyertai geng-geng usrah. Ili masih bertatih lagi dalam mengenal erti tarbiyah. Dia masih merangkak lagi dalam menauti tali ukhuwwah. Benarlah hidayah itu milik Allah. Namun ia perlu dicari. Syukur sekali Ili telah membuka pintu untuk hidayah masuk dan menyantuni hatinya. Siapa sangka, Iliya Maisarah binti Datuk Ahmad Rustam, suatu ketika dahulu ketua kumpulan anti-usrah, kini bersama-sama dengan gerabak usrah dan dakwah. Semuanya tidak dirancang dan berlaku dengan tidak sengaja. Tidak dirancang dan tidak sengaja pada pandangan mata manusia. Wala gholib ilallah. Benarlah tiada penakluk selain Allah. Dan kini, hati Ili telah berjaya ditakluki dengan hidayahNya. Najwa amat kagum dengan perubahan yang ditunjukkan oleh Ili. Kesungguhannya dalam mahu berubah. Semangatnya dalam mempelajari ilmu dan perkara-perkara baru. Kesanggupannya meninggalkan jahiliyyah yang berkarat di hati.. Sungguh, kalau bukan kekuatan hidayah yang mendorongnya untuk melakukan pengorbanan sebegitu rupa, Najwa tidak tahu dari mana Ili memperoleh kemahuan yang sebegitu kuat untuk berubah! Subhanallah. Yang lebih mengejutkan Najwa adalah keputusan Ili untuk memakai tudung. Semenjak Ili menyertai usrah yang dibawa Najwa, seingatnya, tidak pernah sekali pun dia menyebut tentang tudung atau kewajipan menutup aurat; semata-mata mahu meraikan Ili yang masih amat baru dengan usrah dan tarbiyah. Maka apabila pada suatu hari Ili datang ke usrah dengan memakai tudung, semuanya terkedu, terpesona dengan bidadari dunia yang menyertai taman-taman syurga mereka. Najwa masih ingat, betapa hari itu, bibirnya tidak henti-henti mengucap syukur, dek terharu dengan hadiah agung yang Allah kurniakan kepadanya. Berkali-kali dia terpaksa mengesat matanya yang basah, terlalu gembira dengan insan baru yang mendakap dalam ukhuwwah fillah. Ahli-ahli usrah lain turut terharu dan gembira dengan perubahan yang ditunjukkan Ili. Masing-masing tahu akan latar belakang Ili dan siapa dia sewaktu di kolej dahulu; sama ada melalui pengalaman sendiri atau gosip-gosip liar yang didengari mereka. Semacam sudah ada poster yang tergantung di lehernya untuk memberitahu seluruh dunia siapa dirinya sebelum ini. Maka perubahan Ili adalah sesuatu yang cukup bermakna pada mereka semua. Ili adalah manifestasi betapa sentuhan rabbani yang membasahkan hati, bisa menundukkan sesiapa sahaja yang bergelar manusia. Ili adalah bukti bahawa sejahat atau sekeji mana pun seseorang itu, namun apabila dia mahu dan sudi menerima hidayah yang datang menyapa hati, dia bisa sahaja menjadi sebaik-baik manusia. Najwa terus memerhatikan gelagat Ili yang tidak habis-habis menekan punat kameranya. Dia tersenyum. Wa, jom tangkap gambar sama-sama? Najwa tersentak. Kemudian dia tersenyum dan mengangguk-angguk tanda setuju. Apabila rakan-rakan lain turut mahu menyertai mereka, Ili menghalangnya. Ok saya tahu korang sume ni fotogedik. Eh. Fotogenik. Tapi tolong beri peluang, saya nak tangkap gambar dua orang je dengan Najwa! Haha.. Najwa hanya tertawa melihat telatah Ili. Kedengaran rakan-rakan lain merungut dengan permintaan Ili itu. Masakan tidak, ada sahaja peluang bergambar, mereka pasti tidak mahu melepaskannya. Sudahlah Ili pandai pula menangkap gambar. Mana boleh lepas peluang! Tipikal. Klik. Kliiikk. Ili dan Najwa berangkul mesra, tersenyum gembira. Dalam dakapan ukhuwwah. Ukhuwwah fillah. Gambar itulah yang akan sentiasa menjadi bukti kepada persahabatan mereka yang abadi. Dan al-Hambra menjadi saksi kepada persahabatan yang terjalin hanya keranaNya. Wala ghalib ilallah. Ili, jom? Jom mana..? Generalife. Generalife? Apa tu..? Berkerut-kerut dahi Ili mendengar ajakan Najwa. Taman syurga. Dibina oleh Sultan Muhammad III. Baginda nak tiru kebun-kebun syurga yang disebut dalam al-Quran. Wah.. Yep. Dan saya nak duduk-duduk di bawah bayangan pohonan di taman syurga tu dengan awak Ili. Supaya kita sama-sama tanam impian untuk sama-sama masuk syurga yang sebenar nanti. Najwa tersenyum. Matanya sedikit berkaca. Dia menggenggam erat tangan Ili. Ili cepat-cepat mengesat matanya. Dia mengangguk. Tersenyum. Wala ghalib ilallah! *** Ili membiarkan air mata membasahi pipinya. Dia seperti tidak mahu melepaskan bingkai gambar yang dipegangnya dengan kejap itu. Ditatapnya lama-lama gambarnya bersama Najwa di tepi al-Hambra tiga tahun yang lalu. Dia hanya sempat bersama dengan Najwa di Russia selama setahun sahaja. Najwa terpaksa pulang ke Malaysia dek masalah keluarga yang amat membutuhkan keberadaannya di sana. Bunga persahabatan yang baru hendak mekar segar kini ibaratnya sekelip mata dihancurkan oleh tangan-tangan yang kasar. Ili masih ingat ketika Najwa memberitahunya tentang berita tersebut. Ketika itu mereka berada di Malaysia untuk cuti musim panas. Ili benar-benar tidak dapat menerimanya. Kata Najwa, keputusan itu adalah muktamad. Puas dia cuba memujuk keluarganya, namun mereka berkeras agar Najwa menyambung pelajarannya di Malaysia. Sanggup awak tinggalkan saya, terkontang-kanting sorang-sorang kat Russia tu.. Ili... Kan ramai lagi kawan-kawan kita kat sana..? Saya yakin mereka akan jaga awak... Tak sama Wa, tak sama.. Awak tahu tu.. Ili... Najwa tidak mampu untuk menghabiskan kata-katanya. Dadanya sebak. Air matanya mengalir tidak tertahan-tahan lagi. Ili juga begitu. Dia seperti tidak mahu memandang pun wajah Najwa. Tidak mampu. Dia rasa seperti dikhianati. Ili segera mendapatkan Najwa dan memeluknya sepenuh hati. Dalam sedu-sedannya, dia cuba dengan payah berbisik, untuk menghabiskan kata-katanya. Ili... Allah.. Allah yang telah mempertemukan kita. Dulu.. Dulu kita jauh. Jauh sangat. Jauh.. Dari rahmat dan kasih.. Dan kasih sayangNya. Lalu Allah.. Allah dekatkan kita. Tautkan hati kita. In Shaa Allah Ili, hubungan ni tak...tak akan habis di sini. Hanya Allah je yang tahu...betapa...be-tapa sayangnya saya pada awak. Wa... Ili... Awak ingat tau. Walau apa pun yang terjadi, saya nak masuk syurga dengan awak. Saya nak duduk-duduk bawak pohon syurga, berborak mesra dengan awak, macam dekat Andalus dulu. Kalau...awak rindu pada saya bila-bila pun... Awak bagitau Dia... In Sha Allah kerinduan awak...akan sampai pada saya.. Ili hanya mampu mengangguk dalam pelukan Najwa. Terasa panas telinganya dibisikkan dengan kata-kata itu. Panas dan basah. Basah dengan ukhuwwah. Kata yang terbit dari hati pasti akan sampai ke hati jua. Ketika Najwa ikut sama menghantar Ili ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur seusai habis cuti musim panas, sekali lagi mereka mengucapkan kata-kata perpisahan. Tetapi kali ini kurang sedikit emosinya, kerana masing-masing sudah mengerti bahawa semua ini adalah sebahagian daripada perancanganNya yang Maha Bijaksana. Juga kerana mereka amat yakin untuk bertemu lagi, kalau bukan di Malaysia pada cuti musim panas yang seterusnya, pasti di alam sana nanti. Penuh bahagia. Ili. Saya...ada something untuk awak. Najwa mengeluarkan sesuatu daripada beg tangannya. Sebuah kotak berwarna ungu cair dengan corak bunga akasia menghiasi seluruh kotak itu. Cantik. Bukalah. Dengan cermat Ili membuka kotak tersebut. Perlahan-lahan dia keluarkan isinya. Matanya bersinar-sinar. Berkaca-kaca. Matryoshka. Comel. Najwa tersenyum. Saya beli kat Moscow dulu. Waktu tu lepas daurah musim bunga. Ingat tak ada satu masa tu saya kata nak pergi beli something..? Saya beli patung ni lah. Memang untuk awak. Tapi tak sangka pula akan jadi milik awak hari ini. Ili hanya tersenyum. Diperhatikannya patung bertudung litup dan berwarna-warni itu dengan penuh minat dan teruja. Lantas ditanggalkannya patung itu satu persatu. Ili, kehidupan kita ni macam patung Matryoshka ni lah jugak. Penuh dengan kejutan. Kejutan yang menggembirakan. Lepas satu, satu. Ada sahaja kejutan yang menanti kita. Dan In Sha Allah, semuanya adalah kejutan yang mengasyikkan. Terpulang bagaimana kita melihatnya. Ili terus khusyuk membuka patung-patung itu. Eh. Mana pergi patung yang ketiga..? Eh Wa, awak kena tipu ni! Awak tak periksa dulu ke waktu beli dulu..?? Alaaaa ruginya.... Najwa tertawa kecil. Eh taklah. Ada lah. Ada tu. Awak akan tahu nanti.. Ili memandang Najwa dengan penuh kehairanan. Diikutkan hatinya mahu sahaja dipaksanya sahabat baiknya itu memberitahunya apa rahsia di sebalik kehilangan patung yang ketiga. Tapi disebabkan panggilan untuk penerbangannya sudah pun diumumkan, dia terpaksa bergegas masuk ke pagar keselamatan. Tok tokkk. Ili tersentak dari lamunannya. Cepat-cepat dilapnya air mata yang berseka. Sempat dia sekilas memandang patung Matryoshka yang setia berdiri di atas meja belajarnya. Matryoshka yang misterinya masih belum berjaya dirungkai sehingga ke hari itu. Assalamu alaikum. Kak Ili..? Ini bilik Kak Ili ke..? Ili kaget. Tidak dikenalinya suara itu. Kak Ili..? Perlahan-lahan dibukanya pintu biliknya itu. Waalaikummuss.. Kak Iliiii....!! Tidak semena-mena sekujur tubuh genit menyerbunya dan memeluknya erat-erat. Ili terkesima. Dia hilang punca sebentar. Err.. Alhamdulillah, akhirnya dapat juga Yasmin jumpa Kak Ili! Ili menggaru kepalanya yang tidak gatal. Err. Yasmin? Sorry, kita pernah jumpa ke sebelum ni..? Oh hahaha. Sorry kak! Excited sangat jumpa akak sampai lupa nak perkenalkan diri..! Dalam keterujaan Yasmin itu, sempat mata Ili menangkap sesuatu pada beg yang dipakainya. Keychain Matryoshka. Amat serupa dengan patung Matryoshka yang dimiliki Ili. Cuma lebih kecil. Bulat mata Ili memerhatikannya. Nama saya Yasmin. Yasmin Mujahid. Saya belajar di Kolej Mari Belajar dulu. So akak Ili ni kira super super senior saya lah! Yasmin tertawa kecil. Memang riang budaknya! Ili masih terus mahu mendengar. Persoalan bagaimana Yasmin boleh mengenali dirinya sehingga begitu teruja masih belum terjawab. Matanya sekali-sekala melirik pada Matryoshka milik Yasmin. Di sana, saya berusrah dengan Kak Najwa... Oh. Nak dekat dua tahun jugalah saya berusrah dengan dia. Macam-macam dia cerita pasal akak! Yasmin tersenyum lebar. Ili sudah menemui jawapannya. Dia pesan suruh cari akak bila sampai Russia nanti. Dia kata, dia nak buat surprise kat akak! Yasmin tertawa lagi. Kali ini Ili turut tertawa. Najwa; sentiasa penuh dengan kejutan! Err.. Patung dekat beg anda tu.. Err, Kak Najwa ke yang bagi..? Yasmin sedikit terkejut. Mungkin tak disangkanya soalan itu yang akan ditanya. Patung orang pakai tudung ni..? Haah. Apa ntah nama dia. Matroska. Matroshka. Apa ntah. Tapi Kak Najwa cakap dia beli kat Russia dulu.. Boleh.. Boleh saya pinjam sekejap..? Eh amiklah! Sedikit gopoh, Ili mengambil keychain Matryoshka itu. Ditanggalkannya tali yang terikat pada kepala patung itu. Lantas dibawanya ke meja belajarnya. Yasmin memandang gelagat Ili dengan penuh kehairanan. Kehairanan yang bercampur dengan minat. Teruja. Ili segera mengambil patung Matryoshka miliknya. Ditanggalkan patung yang pertama. Ditanggalkan pula patung yang kedua dengan penuh teruja. Dikeluarkan pula patung yang keempat dan kelima. Kemudian disusunnya satu persatu sebelah menyebelah. Tempat yang sepatutnya diisi oleh patung ketiga dibiarkannya lompong. Diambilnya patung Matryoshka milik Yasmin dan diletakkannya di tengah-tengah. Di tempat patung yang ketiga. Sempurna. Ili tersenyum. Puas. Tidak semena-mena air mata menitis perlahan melalui pipinya. Eh, diorang serupalah! Yasmin bersuara. Ili tidak dapat menahan tawanya mendengar reaksi Yasmin. Lantas dipeluknya Yasmin erat dan kuat. Saya sudah menjumpainya. Saya sudah jumpa penggantinya.. Pengganti apa kak..? Terima kasih, Najwa. Terima kasih... Hati Ili bersuara penuh rasa. Saya nak bagi namalah pada patung-patung kita ni. Boleh..? Yasmin mengangguk. Dia tersenyum. Sedikit kehairanan. Dia masih belum boleh mencantumkan teka-teki yang bermain di kepalanya. Akak nak bagi nama apa..? Lyubov. Lyubov..? Cinta...? Ili tersenyum. Penuh makna. Dipeluknya Yasmin sekali lagi. Penuh kasih dan sayang keranaNya. Dia lantas berbisik perlahan pada seorang sahabat yang baru dikenalinya itu. Cinta. Ya.. Cinta. Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa... [al-Hujuraat, 49:13] Teman-teman karib pada hari itu saling bermusuhan satu sama lain, kecuali mereka yang bertaqwa. [az-Zukhruf, 43:67] -gabbana- Alhamdulillah, habis juga siri Matryoshka ini. Pada awalnya, saya bercadang hanya untuk menjadikannya dalam satu penulisan sahaja. Tengok-tengok, terpaksa bersiri tiga juga akhirnya. Peluh kecil. Oh kepada anda yang mungkin tertanya-tanya, jangan khuatir, saya sudah periksa fatwa. Tidak ada masalah untuk memiliki patung Matryoshka ini. Senyum. Moga persahabatan yang kita jalinkan dengan sahabat-sahabat kita adalah tidak lain melainkan untuk memngejar redhaNya dan memburu chentaNya. Moga persahabatan yang terjalin akan menjadi penaung di Mahsyar nanti, menjadi pembela di hadapanNya dan menjadi penaut kasih di sorgaNya yang abadi. Biidznillah. -angelwearsgucci.blogspot/ dakwah yang sebenar adalah kerana allah dan doa...
Posted on: Sat, 23 Nov 2013 14:50:23 +0000

Trending Topics



7149826405600">I think the biggest misconception is that Iraqi women are somehow
Let the child sweetly, you do have to pray, do not forget to pray

Recently Viewed Topics




© 2015