10 tip percutian semasa hamil Bagaimanakah saya boleh - TopicsExpress



          

10 tip percutian semasa hamil Bagaimanakah saya boleh mengurangkan stres semasa bercuti? Rancang perjalanan anda sebaik mungkin. Berikan lebih masa bagi perjalanan, kelewatan, sesat jalan, kesesakan lalu lintas, berhenti rehat untuk ke tandas dan sebagainya. Dengan cara ini, anda tidak perlu bimbang tentang kemungkinan terlepas kapal terbang, keretapi atau feri dan tergesa-gesa untuk mengejarnya. Merancang perjalanan dan percutian bukan mudah, lebih-lebih lagi ketika anda sedang hamil dan sukar untuk menumpukan perhatian. Cuba buat senarai segala-gala yang anda perlukan daripada minuman, snek dan buku hinggalah kepada panduan arah dan dokumen perjalanan. Kelewatan harus dijangka. Gunakanlah masa yang membosankan sementara menunggu dalam barisan atau untuk menaiki pesawat dengan mendengar muzik melalui iPod anda atau membaca majalah. Bagaimanakah saya boleh berehat ketika bercuti semasa hamil? Adakah aktiviti-aktiviti lasak, membeli-belah tanpa henti dan masa yang panjang untuk melawat tempat-tempat menarik merupakan sebahagian daripada percutian anda yang biasa? Kini memandangkan anda sedang hamil, mungkin anda perlu mengubahnya. Berilah masa untuk berehat beberapa kali sehari. Rehat adalah penting bagi wanita hamil, maka duduklah dengan kaki diangkat, nikmatilah keadaan sekeliling dan kembalikan tenaga anda. Cubalah berehat dengan mandi, tidur sebentar, membaca di tepi pantai, duduk di kafe sambil memerhatikan orang yang lalu lalang atau duduk di bilik hotel sambil memesan makanan dan menonton filem? Setelah anda kembali bertenaga, anda akan lebih menikmati percutian ini. Bagaimana saya boleh makan dengan baik apabila bercuti semasa hamil? Wanita hamil memang mudah berasa lapar. Jika anda tidak makan dan minum selama beberapa jam, anda mungkin akan rasa loya atau hendak pitam. Maka rancanglah dan bawa banyak snek seperti buah-buahan kering dan kepingan bijirin dalam beg galas anda. Simpan beberapa bungkus snek dalam beg pakaian sebagai bekalan sehingga anda jumpa kedai di destinasi percutian yang anda kunjungi. Adalah penting bagi anda mengelak daripada ternyahhidrat, maka jangan lupa membawa sebotol air ke mana-mana sahaja untuk anda minum. Janganlah malu untuk memberitahu teman percutian anda bahawa anda perlu berehat dan makan. Setelah tiba di destinasi yang dituju, teruskanlah amalan pemakanan yang baik. < adalah penting bagi anda dan bayi dalam kandungan. Minum banyak air, makan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran untuk mengelakkan sembelit. Jika anda bimbang tentang makanan segar semasa bercuti, tanyalah doktor anda mengenai vitamin atau mineral tambahan yang boleh anda ambil. Berapa kerapkah saya perlu berehat memandangkan saya hamil? Badan anda sedang bekerja keras untuk bayi dalam kandungan anda. Anda membawa pemberat tambahan dan tahap hormon anda juga sedang berubah. Tidak hairanlah jika anda sering rasa letih dan perlu lebih banyak rehat. Berehatlah beberapa kali sehari, sebelum anda rasa benar-benar letih. Anda juga mungkin perlu pergi ke tandas lebih kerap daripada yang anda bayangkan. Tandas di dalam pesawat sangat kecil dan tandas awam pula mungkin meloyakan tekak, maka ambillah kesempatan apabila anda jumpa tandas yang selesa dan bersih! Jika boleh, pilihlah tempat duduk berdekatan lorong laluan di dalam kapal terbang atau keretapi supaya anda boleh bergerak tanpa mengganggu penumpang lain. Jangan duduk terlalu lama kerana ini boleh menyebabkan bengkak pada tapak kaki dan buku lali serta kejang kaki. Berjalan-jalanlah dan buat senaman regangan ringkas semasa di dalam kapal terbang atau keretapi sekurang-kurangnya setiap sejam sekali. Jika anda di dalam kereta berhentilah seketika sekurang-kurangnya setiap 90 minit sekali. Buka kasut dan tinggikan kaki bila-bila anda boleh. Apabila hamil, kaki anda mungkin membengkak, jadi pakailah kasut yang selesa. Memakai stoking tekanan (flight socks) yang benar-benar padan semasa dalam penerbangan atau perjalanan yang jauh boleh membantu melancarkan peredaran darah. Ini penting untuk mengurangkan risiko berlakunya trombosis vena dalam dan urat simpul. Jika anda mengalami sakit belakang, cuba letakkan baju atau tuala yang digulung di belakang pinggang anda. Bolehkah saya mengambil vaksinasi perjalanan semasa hamil? Cara terbaik ialah jangan melawat negara-negara di mana vaksinasi diperlukan semasa anda sedang hamil. Jika anda perlu pergi ke tempat di mana vaksinasi diperlukan, jumpalah doktor anda. Beliau pasti tahu vaksin apa yang anda perlukan di negara tersebut dan yang mana selamat diambil semasa hamil. Jika anda sedang mencuba untuk hamil dan merancang untuk pergi ke luar negara, dapatkan vaksinasi yang diperlukan sekurang-kurangnya empat minggu sebelum tarikh yang anda anggarkan anda akan mula hamil. Apakah yang saya tidak boleh buat dalam percutian semasa hamil? Elakkan aktiviti yang boleh menyebabkan anda terjatuh seperti luncur salji, menunggang kuda, luncur air, luncur angin dan mendaki. Selam skuba dan sukan bertekanan yang lain juga harus dielakkan kerana buih udara boleh terbentuk dalam salur darah anda dan disalurkan kepada bayi. Selain itu, elakkan juga permainan roller coaster dan gelongsor air di taman tema. Pendaratan kuat dan kecepatan atau kelambatan secara tiba-tiba tidak baik untuk anda. Baik juga jika anda lupakan sementara kolam air panas dan sauna kerana kepanasan yang keterlaluan tidak baik untuk bayi. Jadi apakah yang boleh saya buat dalam percutian semasa hamil? Ada banyak aktiviti menyeronokkan yang anda boleh buat semasa hamil, jadi ambillah peluang ini untuk melakukan sesuatu yang berbeza. Cubalah yoga, Pilates, berurut, berenang atau berjalan, kelas membuat tembikar, seni kraf tangan, belajar bermekap atau memasak. Jika sebelum ini anda terlalu aktif melawat tempat-tempat menarik berunsur kebudayaan, galeri seni dan muzium, apa kata buat sesuatu yang berbeza kali ini. Pada percutian ini, cubalah menonton persembahan, duduk di kafe atau berehat dengan buku di tangan sambil dihembus angin pantai. Buat sesuatu yang akan jadi sukar untuk dilakukan setelah bayi anda lahir, contohnya berdandan dan keluar makan bersama suami di restoran tepi pantai atau menghabiskan masa di spa. Jangan lupa beritahu ahli terapi di spa tentang kehamilan anda. Apakah yang perlu saya bawa apabila bercuti semasa hamil? Kasut yang selesa dan memberi sokongan seperti kasut sukan sangat berguna jika anda merancang untuk banyak berjalan. Bawa juga penebat melecet kerana kaki anda mungkin melecet jika ia membengkak, walaupun anda menggunakan kasut yang selesa. Kasut yang rata seperti kasut balet biasanya tidak menyakitkan kaki dan cantik dipakai, tetapi kurang memberi sokongan. Bergantung kepada tempoh percutian anda, bentuk badan anda mungkin berubah, maka pastikan pakaian yang anda bawa cukup besar untuk menampung penambahan saiz. Anda mungkin banyak berpeluh atau mungkin lebih banyak duduk daripada biasa dan mula merasa sejuk. Jadi pastikan anda bawa pakaian yang cukup. Sebelum bertolak, pastikan pakaian mandi anda muat dipakai dan seluar dalam anda selesa. Tak seronoklah jika anda terpaksa berhempas pulas cuba memuatkan perut yang cantik ini ke dalam pakaian yang tiba-tiba sahaja menjadi sempit! Kehamilan membuatkan anda lebih berkemungkinan mengalami jangkitan kulat atau “thrush” terutamanya dalam cuaca yang panas dan lembap. Bawalah seluar dalam yang diperbuat daripada kapas serta pakaian yang longgar. Tinggalkan sahaja pakaian dalam daripada nilon dan seluar ketat anda di rumah. Mintalah doktor anda atau ahli farmasi mengesyorkan ubat anti kulat yang selamat diguna semasa hamil dan masukkannya ke dalam kotak pertolongan cemas anda. Bagaimanakah saya akan mengimbau kembali percutian semasa hamil ini? Jangan malu untuk mengambil gambar kenang-kenangan semasa bercuti walaupun anda sedang hamil. Fikirkan bagaimana gembiranya anda nanti tatkala membelek semula gambar-gambar ini di masa hadapan sambil mengingati percutian ini. Anda juga dapat menunjukkan gambar-gambar tersebut kepada anak anda di masa hadapan, bagaimana dia bercuti di dalam perut, dan anda juga mungkin terkejut melihat betapa cantiknya anda ketika itu! Selain itu, cuba simpan jurnal percutian. Catatkan bukan sahaja mengenai tempat-tempat yang anda lawati, perkara-perkara yang anda lakukan dan makanan yang anda makan, tetapi juga bagaimana perasaan anda ketika itu. Ini adalah satu cara yang baik untuk merekodkan kehamilan anda dan meluahkan perasaan. Bagaimanakah saya boleh benar-benar menikmati percutian semasa hamil ini? Lupakan perasaan malu apabila orang lain menegur mengenai perut anda yang memboyot dan nikmatilah perhatian yang diberi itu. Wanita hamil, terutamanya di negara-negara Asia dan Mediterranean, sering mendapat perhatian dan diberi layanan seperti permaisuri. Nikmatilah layanan khas ini semasa anda bercuti. Terimalah jika orang menawarkan tempat duduk dan membuka pintu untuk anda atau menawarkan sebarang bantuan. Jika anda ditawarkan untuk memotong barisan, senyum dan ucaplah terima kasih. Di masa hadapan, anda boleh membuat perkara yang sama kepada wanita-wanita lain yang sedang hamil seperti anda ketika ini. ================================ Admin perlukan 100++ likes dari mommies & akk sume :( Please LIKE Pasti Hamil
Posted on: Mon, 29 Jul 2013 15:40:00 +0000

Recently Viewed Topics




© 2015