Firma Malaysia digesa manfaat pasaran Iraq 9 September 2013 - TopicsExpress



          

Firma Malaysia digesa manfaat pasaran Iraq 9 September 2013 * SYARIKAT Malaysia digesa memanfaatkan peluang besar di Iraq terutamanya dalam pembinaan, pengangkutan, prasarana dan tenaga, kerana negara itu kini sudah sudah hampir selamat sepenuhnya setelah bertahun-tahun bergelumang dalam kancah keganasan. Menteri Pengangkutan Iraq, Hadi Farhan Al-Amiri berkata, Iraq berharap dapat memanfaatkan kepakaran Malaysia dalam usaha ia membina semula negaranya, dengan menawarkan peluang pelaburan besar kepada syarikat Malaysia. "Kami memilih Malaysia disebabkan kepelbagaian budayanya, dan ia juga merupakan satu dari negara Islam yang membangun dengan pesat. Kami mahu menjadi seperti negara ini," katanya kepada Bernama. Bercakap menerusi jurubahasa, beliau berkata, Iraq berminat mempelajari bagaimana Malaysia membangunkan ekonomi, prasarana, pendidikan, sains dan teknologinya serta keupayaan pentadbiran. Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Safuan Group, Datuk Seri Matshah Safuan berkata, Iraq menawarkan peluang pembangunan besar dengan rizab minyak kedua terbesar dan legasi ekonomi yang stabil dan sederhana sebelum krisis kira-kira 10 tahun lalu. Ketika ini, pelabur terbesar Malaysia di Iraq ialah Petronas, perbadanan minyak dan gas nasional Malaysia, yang merupakan rakan kongsi dalam konsortium yang dianugerahkan kontrak untuk membangunkan beberapa lapangan minyak terbesar di negara itu. Beliau berkata demikian selepas pelancaran Majlis Perniagaan Iraq-Malaysia-Korea (IMK), di sini. Matshah berkata, kumpulan itu bekerjasama dengan syarikat Korea Selatan dalam aktiviti minyak dan gas, pembangunan perumahan dan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dalam industri penerbangan. "Dalam sektor minyak dan gas, kami bekerjasama dengan pihak berkuasa Iraq untuk mencari pasaran baharu bagi meningkatkan pengeluaran mentah mereka. "Kami melaksanakan tawaran daripada kerajaan Iraq bagi projek perumahan dengan kerjasama bersama entiti perniagaan Korea Selatan, dan ketika ini kami sedang memuktamadkan urus niaga itu," katanya. Kumpulan itu memeterai dasar induk perjanjian dengan Goodflight Korea untuk membina kemudahan MRO di Malaysia di samping bekerjasama rapat dengan industri aeroangkasa Korea menerusi Goodflight untuk memajukan projek tersebut. "Dalam pada itu, Malaysia dan rakan kongsi Korea akan bekerjasama untuk mengurus dan mengusahakan kemudahan MRO di Iraq. "Ini ialah beberapa projek yang kami sedang bangunkan tetapi peluang adalah besar dan memerlukan penyertaan banyak entiti dari Iraq, Malaysia dan Korea untuk melaksanakan dan merealisasikan usaha perniagaan yang tersedia," katanya. - Bernama S.H
Posted on: Mon, 09 Sep 2013 10:34:03 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015