Khutbah Jumaat (24 Januari 2014 / 22 Rabiulawal - TopicsExpress



          

Khutbah Jumaat (24 Januari 2014 / 22 Rabiulawal 1435H) “KERJASAMA MEMBANTU NEGARA” Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah, Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah S.W.T dengan sebenar-benar taqwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga ketaqwaan yang ditambah nilai itu, membentuk kita menjadi insan soleh dan mulia. Oleh itu, mimbar pada hari ini akan membincangkan khutbah bertajuk: “ KERJASAMA MEMBANTU NEGARA”. Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah, Secara umumnya penciptaan alam ini adalah bertujuan untuk manusia bekerja dan mencari rezeki. Namun, perlu diingat bahawa menggunakan alam sebagai tempat mencari rezeki dan kemudahan kehidupan adalah tidak mutlak, bahkan kita sebagai umat Islam perlu menyedari beberapa perkara antaranya ialah: pertama: Manusia hanya sekadar wakil yang mengurus isi alam, pemilikan hanya bersifat sementara. Kedua: Harta kekayaan adalah wasilah untuk melakukan kebajikan dan ianya bukanlah matlamat kehidupan. Ketiga: Harta yang dikurniakan bukannya untuk di bangga-banggakan tetapi ianya perlu di edar dalam kitaran manusia bagi memastikan kemakmuran sesebuah negara dan keempat: Manusia akan pasti dipersoalkan di akhirat atas apa yang mereka gunakan dan belanjakan di dunia ini. Imam al-Ghazali pernah menyatakan bahawa penghalang antara manusia dengan tuhannya banyak bersangkut paut dengan urusan mencari rezeki, dimana tidak sempurna urusannya dengan Allah S.W.T disebabkan dia terkejar-kejar mencari rezeki. Perlu diingat bahawa agama Islam telah menetapkan garis panduan dalam kita mencari dan memiliki harta. Ada harta yang menjadi hak individu dan hak umum kepada masyarakat. Namun begitu ada juga harta yang menjadi hak milik negara yang mana Pemerintah berhak memungut bayaran secara syar’ie seperti cukai perolehan dari hasil pertanian, perdagangan dan aktiviti industri dan hasil tersebut dibelanjakan untuk kemaslahatan negara dan rakyat. Mimbar ingin menyatakan bahawa pengambilan harta secara cukai adalah dibenarkan oleh syarak yang dipungut oleh pemerintah sebagaimana firman Allah S.W.T di dalam surah at-Taubah ayat 41: Maksudnya: “Pergilah kamu (untuk berperang), dalam keadaan ringan atau berat; dan berjihadlah dengan harta dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui”. Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah, Di negara kita, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berperanan untuk memungut hasil negara dan membantu pihak pemerintah dalam hal berkaitan perkastaman. Sehubungan dengan itu sebagai warga negara yang beriman dan bertanggungjawab, sewajarnya kita mesti sama-sama menghargai dan tidak melupakan jasa dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh seluruh warga Kastam Diraja Malaysia, yang bukan sahaja memastikan pungutan cukai dan duti kastam tepat, cekap dan berkesan sesuai dengan perkembangan dasar dan strategi percukaian negara. Malahan membantu melaksanakan dasar pembangunan perindustrian dan aktiviti ekonomi negara dalam mempermudahkan urusan perdagangan, perindustrian serta kerjasama serantau dan antarabangsa, serta mempertingkatkan aktiviti mencegah kegiatan penyeludupan barangan import dan eksport yang bertentangan dengan kepentingan negara dari segi keselamatan dan perlindungan sosial. Justeru, marilah kita dengan penuh rasa rendah diri dan tawaduk memanjatkan doa dan penghargaan yang tidak terhingga ke hadrat Ilahi agar Kastam Diraja Malaysia dan warganya secara khusus dan seluruh kaum muslimin secara umum akan sentiasa terpelihara dari sebarang mehnah keburukan dan bencana. Semoga golongan warga yang sanggup berkorban demi mencari keredhaan Allah S.W.T termasuk di dalam golongan mereka yang mendapat pujian dan kasih sayang Allah sebagaimana yang telah dirakamkan di dalam al-Quran melalui firman Allah S.W.T di dalam surah at-Taubah ayat 111: Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka Dengan (balasan) Bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada Yang membunuh dan terbunuh” Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah, Mimbar ingin mengingatkan kepada para jemaah dan umat Islam sekalian, sedarlah dengan kita membayar cukai, sudah pasti hasil pungutan itu dapat diagih dan digunakan untuk memenuhi keperluan asas rakyat seperti makanan, pakaian dan membantu golongan fakir dan miskin, membiayai kebajikan rakyat yang memerlukan, menyedia dan melengkapkan kemudahan awam seperti jalan raya, hospital, masjid, sekolah dan seumpamanya. Selain itu, cukai yang dibayar boleh memotivasikan jiwa dan minda rakyat selepas ditimpa bencana seperti banjir, ribut taufan, gempa bumi, tanah runtuh, kebakaran dan juga sebagai keperluan jihad di jalan Allah S.W.T. Inilah masanya untuk kita sedar wahai umat Islam, jadilah kita sebagai umat yang bijaksana iaitu umat yang mampu berfikir dan bertindak ke arah kebaikan dan mampu menolak kebatilan. Sesungguhnya tidak ada mana-mana tempat pun dalam dunia ini yang mana rakyatnya tidak terikat oleh undang-undang dan boleh lari sewenang-wenangnya dari tanggungjawab melainkan akhirnya pasti musnahlah negara itu. Oleh itu, usahlah kita terpengaruh dengan golongan tertentu yang hanya berpaksikan keuntungan duniawi semata-mata dan suka berbantah-bantah kerana tanggungjawab membayar cukai juga termasuk dalam prinsip keadilan. Mana mungkin segala kekayaan yang diperolehi mahu diambil sepenuhnya tanpa dikenakan sebarang cukai?. Ingatlah, kelemahan dalam bidang ekonomi boleh menjadi faktor yang menyebabkan sesuatu bangsa itu makin lemah, mudah ditindas dan sering dimanipulasi. Percayalah, ekonomi umat Islam pasti lebih kukuh dan terjaminnya survival ummah jika semua bekerjasama antara satu sama lain, terutamanya dalam agenda bagi memperkasakan ekonomi umat Islam. Tidak akan ada golongan lain yang akan membela kita melainkan kita umat Islam sendirilah mesti bergandingan sesama kita. Renungilah kisah semut sebagaimana yang telah dirakamkan oleh Allah S.W.T di dalam al-Quran. Kisah ini menjadi contoh teladan bagi umat manusia, supaya mereka memahami keadaan makhluk. Bagaimana jeneral semut telah mengarahkan bala tenteranya supaya bersatu padu untuk menyelamatkan diri dari kebinasaan terpijak oleh tentera Nabi Allah Sulaiman A.S. Demikian juga mereka bersatu padu untuk mencari kebaikan bersama. Ingatlah bahawa mengelak diri apabila sempurna syarat yang sepatutnya dengan tidak membayar cukai merupakan ancaman terhadap ekonomi dan keselamatan negara. Malah kredibiliti kerajaan yang memerintah akan menjadi lemah disebabkan oleh gejala negatif sesetengah pihak akibat tindakan yang boleh dikategorikan sebagai seorang yang berhutang. Sabda Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang menegaskan kesan mereka yang tidak membayar hutang sebagaimana sabdanya : Mafhumnya: “Sesungguhnya Allah S.W.T mengampunkan segala dosa orang yang mati syahid (di jalan Allah) kecuali (dosa yang melibatkan) hutang piutangnya.” Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah, Mengakhiri khutbah pada minggu ini, bersempena dengan sambutan Hari Kastam Sedunia kali yang ke 32 yang disambut pada 26 Januari ini, mimbar menyeru kepada semua pihak marilah sama sama kita memberi sokongan kepada warga Kastam Diraja Malaysia agar mereka mampu menjalankan perkhidmatan dengan penuh amanah, ikhlas dan dedikasi. Tanpa penglibatan masyarakat dalam usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak kastam, maka tidak mungkin visi dan misi mereka boleh terlaksana dengan jayanya. Semoga dengan membudayakan elemen inovasi, mutu perkhidmatan akan menjadi lebih berkualiti dan dapat membantu mensejahterakan rakyat dan membangunkan negara. Marilah sama-sama kita menyokong setiap usaha yang dilaksanakan demi kebaikan ummah dan negara. Ingatlah dengan kita membayar cukai, dapatlah kita membantu pihak pemerintah dan dapat meringankan beban kehidupan sesetengah pihak yang memerlukan. Marilah sama sama kita merenung firman Allah S.W.T dalam surah an-Nuur ayat 33: Maksudnya: “Dan berilah kepada mereka dari harta Allah yang telah dikurniakan kepada kamu. Dan janganlah kamu paksakan hamba-hamba perempuan kamu melacurkan diri manakala mereka mahu menjaga kehormatannya, kerana kamu berkehendakkan kesenangan hidup di dunia. Dan barang sesiapa yang memaksa mereka, maka sesungguhnya Allah sesudah paksaan mereka itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” ................................................ Jemput like : https://facebook/DatoHjOthmanMustapha
Posted on: Fri, 24 Jan 2014 07:31:45 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015