RADANG PELVIS Apakah dia Radang Pelvis / Pelvic Inflammatory - TopicsExpress



          

RADANG PELVIS Apakah dia Radang Pelvis / Pelvic Inflammatory Disease (PID)? Radang Pelvis atau Pelvic inflammatory disease (PID) adalah penyakit yang merujuk kepada jangkitan kuman pada rahim (uterus), tiub fallopio (saluran yang membawa telur dari kilang telur ke uterus untuk disenyawakan) dan lain-lain organ peranakan wanita. Radang pelvis mengakibatkan komplikasi serius terhadap organ peranakan yang kebiasaannya diakibatkan oleh jangkitan penyakit kelamin, terutamanya Chlamydia andGonorrhea. Radang pelvis boleh mengakibatkan kerosakan kekal pada tiub fallopio, rahim (uterus) dan tisu-tisu di dalam dan di luar rahim dan kilang telur (ovari). Radang pelvis yang tidak dirawat akan menyebabkan komplikasi buruk terhadap organ peranakan seperti mandul, kehamilan ektopik iaitu kehamilan di luar rahim, dan rasa sakit yang teruk pada pelvis (tulang pinggul) akibat jangkitan teruk pada organ peranakan. Adakah Radang Pelvis (PID) sesuatu yang biasa terjadi/dijangkiti? Seks rambang dan bertukar pasangan seksual adalah faktor utama yang menyumbang kepada tejadinya radang pelvis. Dengan meningkatnya kadar penyakit kelamin yang disebabkan oleh seks rambang dan bertukar pasangan, kadar jangkitan pelvis juga turut meningkat. Semakin ramai wanita mandul akibat serangan radang pelvis dan kadar kandungan luar rahim juga turut meningkat. Ini mengakibatkan meningkatnya jumlah kematian akibat penyakit atau kesan penyakit radang pelvis pada wanita. Bagaimana wanita boleh dijangkiti Radang Pelvis (PID)? Radang pelvis terjadi apabila terdapat jangkitan bakteria pada faraj memasuki pangkal rahim, seterusnya merebak ke organ peranakan wanita. Terdapat berbagai organisma dan bakteria yang boleh mengakibatkan radang pelvis tetapi penyubang utama radang pelvis adalah penyakit kelamin Gonorrhea dan Chlamydia, iaitu 2 jenis penyakit kelamin yang lazim menjangkiti rakyat Malaysia. Wanita yang aktif secara seksual dan selalu bertukar pasangan seks atau wanita yang mempunyai pasangan yang kerap bertukar pasangan seks adalah sangat berisiko untuk dijangkiti radang pelvis. Wanita yang melakukan “douche” (memancit ubat/air ke dalam faraj untuk tujuan kebersihan) turut mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat radang pelvis berbanding dengan wanita yang tidak melakukan “douche”. Ini kerana “douche” akan turut membunuh “bakteria baik” yang hidup di dalam faraj wanita dan ianya juga boleh menolak bakteria jahat atau kuman masuk lebih jauh ke dalam organ peranakan wanita. Wanita yang memakai alat di dalam rahim (IUD) sebagai cara merancang keluarga juga mempunyai risiko yang lebih tinggi dijangkiti radang pelvis apabila dia ataupun suaminya mempunyai pasangan seks yang ramai jika dibandingkan dengan hubungan monogami (satu pasangan). Walau bagaimanapun, risiko ini dapat dikurangkan jika seseorang wanita itu diuji terlebih dahulu dan jika perlu, dirawat bagi STD sebelum memakai IUD. Apakah tanda-tanda dan gejala Radang Pelvis (PID)? Gejala PID mungkin berbeza dan bergantung kepada jenis bakteria dan tahap keseriusan jangkitan. Apabila PID disebabkan oleh jangkitan chlamydia, seorang wanita mungkin lebih cenderung untuk hanya mengalami gejala ringan walaupun apabila kerosakan serius sedang berlaku kepada organ-organ pembiakan. Chlamydia juga boleh menyebabkan jangkitan tiub fallopio tanpa sebarang gejala. Oleh kerana gejala-gejala yang tidak jelas, PID lazimnya tidak disedari atau disyaki oleh wanita tersebut dan doktor mereka. Bagi wanita yang mempunyai tanda-tanda PID pula, lazimnya mengalami kesakitan di bahagian bawah abdomen. Tanda-tanda dan gejala lain termasuk demam, lelehan faraj yang tidak normal dan mungkin disertai dengan bau busuk, persetubuhan yang menyakitkan, sakit semasa kencing, pendarahan haid yang tidak teratur, dan sakit di bahagian kanan atas abdomen (jarang berlaku). Apakah kesan dan komplikasi Radang Pelvis (PID)? Rawatan segera dan sewajarnya boleh membantu mencegah komplikasi PID, termasuk kerosakan kekal pada organ pembiakan wanita. Bakteria penyebab jangkitan boleh menyerang tiub fallopio tanpa disedari, menyebabkan tisu normal bertukar menjadi tisu parut. Parut boleh mengganggu dan menghalang pergerakan telur ke dalam rahim. Jika tiub fallopio tersekat sepenuhnya oleh tisu parut, sperma tidak dapat berenang untuk mencari telur, dan persenyawaan tidak dapat berlaku, lantas mengakibatkan wanita tersebut menjadi tidak subur/mandul. Kemandulan juga boleh berlaku jika tiub fallopio separuh tersumbat atau walaupun sedikit rosak. Sehingga 10-15% wanita dengan PID boleh menjadi mandul, dan jika seseorang wanita mempunyai berbilang episod PID, risiko kemandulan adalah tinggi. Di samping itu, tiub fallopio separuh tersumbat atau sedikit rosak boleh menyebabkan telur yang disenyawakan gagal memasuki rahim, lantas kekal di dalam tiub fallopio. Jika telur yang disenyawakan mula berkembang di dalam tiub fallopio seolah-olah ia berada di dalam rahim, ianya dipanggil kehamilan ektopik. Kehamilan ektopik boleh menyebabkan tiub fallopio pecah dan mengakibatkan kesakitan yang teruk, pendarahan dalaman, dan juga kematian.Parut di tiub fallopio dan lain-lain struktur pelvis juga boleh menyebabkan sakit pelvis yang kronik (sakit yang berlangsung selama berbulan-bulan ataupun bertahun-tahun). Wanita dengan episod PID yang berulang-ulang adalah lebih berkemungkinan untuk mengalami ketidaksuburan, kemandulan, kehamilan ektopik, dan sakit pelvis kronik. Bagaimana Radang Pelvis (PID) dikesan? PID adalah sukar untuk dikesan kerana gejala-gejalanya yang ringan dan tidak jelas, maka seringkali mengakibatkan wanita yang dijangkiti tidak mengendahkan gejala ringan tersebut. Oleh kerana tidak ada ujian yang tepat untuk PID, diagnosis biasanya dibuat berdasarkan penemuan klinikal. Jika gejala-gejala seperti sakit perut di bahagian bawah abdomen terjadi, doktor anda perlu melakukan pemeriksaan fizikal untuk menentukan jenis dan lokasi kesakitan, memeriksa sekiranya ada demam, lelehan faraj/serviks yang tidak normal, dan memeriksa sekiranya terdapat bukti jangkitan gonorrhea atau chlamydia. Jika keputusan pemeriksaan mencadangkan terdapatnya PID, rawatan adalah diperlukan. Doktor anda juga mungkin meminta anda menjalani ujian untuk mengenal pasti organisma yang menyebabkan jangkitan (contohnya, jangkitan chlamydia atau gonorrhea) atau untuk membezakan antara PID dan masalah-masalah lain yang mempunyai gejala yang sama. Ultrasound pelvik adalah satu prosedur yang berguna untuk mengesan PID. Ultrasound membolehkan pakar perubatan melihat bahagian dalam pelvis untuk memastikan sama ada tiub fallopio membesar/bengkak atau sama ada lendiran/nanah hadir. Dalam kes-kes tertentu, laparoskopi mungkin perlu untuk mengesahkan diagnosis. Laparoskopi adalah satu prosedur pembedahan di mana tiub nipis dan kamera (laparoskop) dimasukkan ke dalam abdomen melalui hirisan/torehan kecil di perut. Prosedur ini membolehkan doktor melihat organ dalaman pelvis dan mengambil spesimen untuk kajian makmal, jika perlu. Apakah rawatan untuk Radang Pelvis (PID)? PID boleh dirawat dengan beberapa jenis antibiotik. Doktor anda akan menentukan dan menetapkan rawatan yang terbaik. Walau bagaimanapun, rawatan antibiotik tidak dapat merawat kerosakan yang telah berlaku kepada organ-organ pembiakan. Jika seorang wanita mempunyai sakit pelvis dan gejala PID yang lain, adalah penting bahawa dia mendapatkan rawatan segera. Rawatan antibiotik yang cepat dapat mengelakkan kerosakan teruk kepada organ-organ pembiakan. Semakin lama seseorang wanita menangguhkan rawatan PID, semakin besar kemungkinan untuk menjadi mandul atau mempunyai kehamilan ektopik pada masa depan akibat kerosakan pada tiub fallopio. Kerana kesukaran dalam mengenal pasti organisma yang menjangkiti organ-organ pembiakan dalaman dan akibat lebih daripada satu organisma yang mungkin bertanggungjawab bagi sesebuah episod PID, PID biasanya dirawat dengan sekurang-kurangnya dua antibiotik yang berkesan terhadap pelbagai jangkitan. Antibiotik ini boleh diberi melalui mulut atau melalui suntikan. Gejala-gejala PID mungkin hilang sebelum jangkitan itu sembuh. Walaupun gejala telah hilang, wanita tersebut harus menghabiskan kesemua ubat yang ditetapkan. Ini akan membantu mencegah jangkitan daripada kembali. Wanita yang dirawat untuk PID harus diperiksa semula oleh doktor mereka tiga hari selepas memulakan rawatan untuk memastikan antibiotik berkesan bagi menyembuhkan jangkitan. Di samping itu, pasangan seks wanita tersebut perlu dirawat untuk mengurangkan risiko jangkitan semula, walaupun pasangan mereka tidak mempunyai apa-apa gejala. Ini kerana, walaupun pasangan mereka tidak mempunyai gejala, mereka masih boleh dijangkiti dengan organisma yang boleh menyebabkan PID. Seseorang wanita mungkin disyorkan untuk ditahan di hospital untuk merawat PID sekiranya sakit yang teruk (contohnya, loya, muntah, dan demam tinggi) mengandung tidak bertindak balas kepada atau tidak boleh mengambil ubat oral dan memerlukan antibiotik intravena mempunyai nanah dalam tiub fallopio atau ovari (tubo-ovari bernanah) perlu dipantau untuk memastikan gejala tidak disebabkan keadaan lain yang memerlukan pembedahan kecemasan (contoh: apendiks) Jika gejala-gejala terus berlaku atau jika nanah berulang, pembedahan mungkin diperlukan. Komplikasi PID seperti sakit pelvis kronik dan parut sukar untuk dirawat, tetapi kadang-kala boleh bertambah baik dengan pembedahan. Bagaimana Radang Pelvis (PID) boleh dicegah? Wanita boleh melindungi diri mereka daripada PID dengan mengambil tindakan untuk mengelakkan jangkitan STD (penyakit kelamin) atau dengan mendapatkan rawatan awal jika mereka dijangkiti STD. Cara terbaik untuk mengelakkan jangkitan STD adalah untuk menahan diri dari melakukan hubungan seks, atau berada dalam hubungan jangka panjang yang mana pasangan adalah saling monogami, dengan pasangan yang telah diuji dan disahkan secara klinikal sebagai tidak dijangkiti. Penggunaan kondom secara konsisten dan betul, boleh mengurangkan risiko jangkitan chlamydia dan gonorrhoea seterusnya mengurangkan risiko Radang Pelvis (PID). Penyebaran STD (penyakit kelamin) tidak boleh dielakkan dengan membasuh kemaluan, membuang air kecil, atau douching selepas seks. Apa-apa gejala genital seperti keputihan, lendiran yang luar biasa, rasa pedih (atau terbakar) yang tidak normal, keputihan dengan bau, rasa sakit semasa membuang air kecil, atau pendarahan antara kitaran haid mungkin bermakna berlakunya jangkitan STD . Jika seseorang wanita mengalami mana-mana dari gejala-gejala tersebut, dia perlu berhenti melakukan hubungan seks dan mendapatkan nasihat dari doktor mereka dengan segera. Merawat STD dengan segera atau pada tahap awal boleh mencegah PID. Wanita yang disahkan dijangkiti STD perlu dirawat dan bertanggungjawab untuk memberitahu semua pasangan seks mereka untuk diperiksa bagi memastikan sama ada pasangan mereka telah dijangkiti dan mendapatkan rawatan jika perlu. Aktiviti seksual tidak boleh dilakukan sehingga semua pasangan seks telah diperiksa dan, jika perlu, dirawat.
Posted on: Sat, 16 Nov 2013 16:29:39 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015