SUNGAI PETANI – Kisah wanita hamil yang maut selepas makan - TopicsExpress



          

SUNGAI PETANI – Kisah wanita hamil yang maut selepas makan lemang sekitar Sik hangat diperkatakan sejak minggu lalu menimbulkan situasi cemas penduduk sekitar terutama penggemar juadah itu menjelang Aidilfitri. Penyebaran khabar angin palsu melalui laman sosial Facebook itu dikatakan telah tersebar meluas melalui beberapa blog tempatan. Ini berikutan amaran berjaga-jaga yang dikeluarkan melalui kenyataan sama yang menasihati orang ramai supaya berhati-hati ketika membeli lemang kerana takut menerima nasib sama. Dalam kenyataan itu, seorang wanita maut selepas didakwa makan lemang yang dibeli suaminya di tepi jalan kerana mengidam mahukan juadah tersebut. Dalam kenyataan sama, wanita yang sarat mengandung sembilan bulan itu dikatakan terus merasai lemang yang baru dibawa balik suami dengan mencubit bahagian atas yang lembik di mana ia mengandungi lemak santan berlebihan. Sejurus makan, si isteri dipercayai muntah dan terus dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. Doktor yang membuat pemeriksaan bagaimanapun meminta suami wanita itu pulang dan membelah lemang dimakan itu terlebih dahulu untuk mengenal pasti kandungan sebenar di dalamnya. Alangkah terkejut suami apabila ternampak ular tedung panjang sejengkal berada di dalamnya. Akibat itu, isteri dan anak dalam kandungannya dikatakan telah meninggal dunia akibat termakan bisa ular terbabit. Kes terbabit dikatakan dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani. Bagaimanapun, Jurucakap Jabatan Forensik HSAH mengesahkan tiada laporan mengenai kes terbabit dirujuk ke hospital berkenaan sepanjang minggu ini. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, polis tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian dan maklumat itu dipercayai disebarkan individu tidak bertanggungjawab serta mengelirukan pengguna. “Kita tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian ini di Sik atau mana-mana tempat lain dan diharap agar orang ramai tidak terpengaruh dengan berita palsu atau menyebarkan mana-mana maklumat yang tidak sahih,” katanya.
Posted on: Sun, 11 Aug 2013 14:07:27 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015