Teknologi Maklumat: Mencari Jodoh Di Facebook. Posted by: Hilal - TopicsExpress



          

Teknologi Maklumat: Mencari Jodoh Di Facebook. Posted by: Hilal Asyraf Posted date: September 05, 2012 In: Teknologi | comment : 21 393503_479648992059550_1969635658_n Penikahan saya. Zaman sekarang zaman teknologi. Jika dahulu pelajar luar negara akan bertanya: “Di manakah tempat tinggal kami?”, kini soalan pertama adalah: “Macam mana nak dapatkan internet di sini?” Internet dengan kehidupan hari ini, memang tidak mampu dipisahkan. Dan antara fenomena alam maya adalah Facebook. Laman sosial paling berjaya abad ini, paling popular, dan paling melekat di dalam hati pengguna-penggunanya. Kini, suara-suara hati dapat didengari kerana ramai yang menulisnya di Facebook. Namun berserta dengan itu, fitnah juga semakin menjadi-jadi kerana pembaca bebas menginterprestasi apa-apa yang dibacanya. Ada orang menggunakan Facebook untuk kebaikan, dan ada yang menggunakannya untuk tujuan jahat. Antara isu yang menarik sepanjang saya menggunakan Facebook adalah isu mendapatkan jodoh melalui Facebook. Ya, Facebook menjadi tempat mendapatkan Jodoh. Mendengar penyataan ini, apakah yang muncul di dalam hati anda? Logika Dunia Maya. Logiknya di alam maya, gambar dapat diedit. Jantina boleh ditipu. Nama boleh ditukar. Sikap boleh dilakonkan. Kerana diri yang sebenar tersembunyi di sebalik screen yang jauh dari orang ramai. Kita semua mengetahui logik ini. Dan satu perkara yang patut kita letak di dalam diri kita adalah, di internet, semua boleh jadi satu penipuan. Status Facebook yang soleh, gambar yang hensem dan cantik, aktiviti-aktiviti yang ditunjukkan, boleh jadi hanyalah satu rekaan. Melainkan kita pernah bertemunya di alam realiti. Melihatnya dengan mata kepala sendiri. Barulah sangkaan kita bahawa itu hanya satu rekaan boleh dipecahkan. Tetapi selagi mana kita belum bertemunya di alam realiti, tidak pernah melihat dia muncul di mana-mana media massa, maka kita wajib meletakkan ‘berhati-hati’ dalam setiap expectation kita di alam maya. Jodoh Di Tangan Tuhan katanya. “Ala, jodoh di tangan Tuhan, kalau di Facebook terjumpa, di Facebook la juga terjumpanya.” Ada yang akan main cara mudah, menjawab sedemikian. Ya, saya tidak pernah menafikan jodoh di tangan Tuhan. Namun, Rasulullah SAW menyuruh kita berusaha dalam mencari Jodoh, dengan memilih Jodoh yang baik. Allah SWT pula berfirman agar kita menikahi mereka yang mukmin. Ini semua menandakan bahawa usaha adalah perlu, walaupun kita meyakini bahawa Jodoh di tangan Allah SWT. Kerana perkara yang baik itu Allah akan berikan hanya kepada yang berusaha, walaupun dia bukan seorang yang beriman, kerana itulah Sunnatullah. Maka berusahalah lebih sedikit dalam mencari Jodoh. Apakah tiada lagi cara lain selain melalui Facebook yang penuh dengan 1001 syak wasangka sebenarnya? Kadangkala saya fikir, kita sekarang sudah terlalu attach dengan Facebook, sehingga perkara seperti mencari jodoh pun hendak kita lakukan di situ. Bukan sekali dua orang mengadu kepada saya mereka putus cinta dengan orang yang disangka mereka baik di Facebook. Di Facebook, orang jahat pun silap haribulan boleh buat fake account, letak gambar orang pakai serban, setiap hari post benda-benda baik, agar orang contact dia, mesej dia, dan kemudian dia pergunakan orang-orang yang desperate ini untuk kepentingan dirinya sendiri. Jangan terlalu naif. Jodoh di tangan Tuhan. Tetapi usaha pun kena betul juga. Di Luar Pengetahuan Ibu Bapa. Kadangkala, hanya tertarik dengan status-status yang baik, kita pun memberanikan diri mendekati. Mula dengan selalu ikuti di status, kita selalu like dan comment, share sekali, seterusnya kita mesej dia. Hingga satu tahap, kononnya nak berta’aruf sebab nak dijadikan isteri, atau hajatkan si fulan menjadi suami. Mulalah dengan ta’aruf, hingga ke tahap bertukar-tukar gambar. Jumpa tak pernah pun. Sua muka tak pernah pun. Seronok bertukar-tukar berbalas-balas mesej. Dan lebih buruk, ini semua di luar pengetahuan Ibu Bapa. Bila benda ini mengakar di dalam jiwa, tertanam kemas di dalam hati, saat perasaan merasuk diri, bila tiba-tiba semuanya pecah di alam realiti menyedari penipuan berlaku ke atas diri, mulalah menangis tidak berlagu. Kepada siapa diri mahu mengadu? Ibu bapa pun tidak tahu. Kepada rakan yang lebih kurang sama kepala dengan kita? Semestinya tidak. Akhirnya kepada Ustaz-ustaz Facebook juga diadukan masalahnya. Semua Facebook. Akhirnya? Masalah tidak selesai. Jiwa tidak tenang. Hidup tunggang langgang. Sedangkan, kalaulah kita meminati seseorang, atau berhajatkan hendak berkahwin, mengapa tidak berbicara pada ibu bapa, atau ustaz ustazah yang baik dengan kita, atau pun rakan yang lebih dewasa yang kita yakin dia baik dan boleh bantu kita? Untuk saya, kala sebaik sahaja saya punya perasaan cinta, saya akan luahkan kepada Ibu bapa saya, kepada ustaz saya, kepada sahabat terbaik saya, agar saya mendapat pandangan dan komentar untuk menyeimbangkan perasaan saya dengan realiti yang perlu saya hadapi. Di situ, peratus untuk membuat keputusan yang silap adalah kurang. Dan saya amat yakin, mencari jodoh di Facebook, kalau kita bincang dengan Ibu bapa, rakan yang soleh/solehah, ustaz dan ustazah, pastinya perkara ini akan dibangkang awal-awal. Kerana logika maya yang saya utarakan tadi. Penutup: Hiduplah di Alam Realiti. Berjalanlah. Melihatlah. Belajarlah. Jangan terlalu attach dengan Facebook dan alam maya sehingga kita ini buta akan realiti kehidupan yang sebenarnya. Logiknya, kita mahukan jodoh yang baik. Justeru, jodoh yang baik itu mustahil semudah status-status yang baik di Facebook, mustahil semudah wajah tampan di Pic Profile dan sebagainya. Sedangkan kita hendak hidup dengan orang itu bukan setahun dua. Gunalah jalan cinta yang benar. Kongsikan perasaan dengan orang tua. Berpijaklah pada realiti dunia. Risik dahulu latar belakang orang yang kita suka. Kalau apa yang kita lihat di Facebook itu realiti, orangnya betul-betul ada, maka selidik dahulu profilenya, aktivitinya, sembang-sembangnya dengan rakan-rakan dari jauh. Tahu dulu wajah sebenarnya bagaimana, check dahulu sikapnya bagaimana, berikanlah diri masa, jangan terus-terus tergoda. Istikharahlah, istisyarah(bermesyuarat)lah. Jangan semberono sahaja. Semoga yang baik itu, hidup bersama kita. Jangan menyesal di kemudian hari, dan tiada siapa dapat membantu lagi.
Posted on: Tue, 24 Sep 2013 14:01:44 +0000

Trending Topics



Recently Viewed Topics




© 2015